KEBAKARAN hutan yang berlaku di Argentina ketika ini disifatkan seperti ‘malapetaka dunia’.• Foto AFP
BUENOS AIRES: Penduduk di Argentina berharap hujan yang mula turun sejak hujung minggu lalu boleh membantu meredakan kebakaran hutan yang berlaku di utara negara ini.
Sebanyak lapan kebakaran hutan dilaporkan berlaku di wilayah Corrientes melibatkan kawasan seluas 800,000 hektar.
Kepulan asap hitam menjadikan suasana siang di wilayah itu kelihatan seperti ‘waktu malam’, selain kebakaran tersebut memusnahkan sembilan peratus kawasan keseluruhan Corrientes yang bergantung kepada sektor agrikultur.
“Tidak pernah berlaku kebakaran seperti ini. Banyak penduduk tidak tahu apa yang perlu dilakukan bagi menghentikan kebakaran ini.
“Insiden ini merupakan tamparan besar buat kami di Corrientes,” kata seorang penduduk, Jorge Ayala kepada AFP .
Angin kencang, kadar kelembapan yang rendah dan musim kemarau menyebabkan kebakaran hutan di wilayah itu bermula sejak pertengahan Januari lalu.
Agensi ramalan kaji cuaca menyatakan, hujan yang mula turun pada Ahad lalu dijangka berterusan sepanjang minggu ini, sekali gus boleh membantu pasukan bomba dan penduduk tempatan memadam kebakaran.
Luis Candia merupakan antara penduduk yang membantu pasukan bomba memadam kebakaran dan menegaskan wilayah itu berjuang untuk menyelamatkan masa depannya.
“Kebakaran ini merupakan malapetaka buat semua penduduk Corrientes. Banyak flora dan fauna terjejas akibat kebakaran ini dan jika semuanya sudah tiada, apa lagi yang tinggal untuk kami? Soalnya.
Pasukan bomba dan kumpulan sukarelawan sudah berminggu-minggu cuba memadamkan kebakaran yang tercetus, namun fenomena La Nina menyukarkan usaha tersebut.
Beberapa imej yang disiarkan media tempatan menunjukkan banyak bangkai haiwan ditemukan dan kumpulan bomba yang kepenatan memadam api.
Selain itu, pasukan bomba dari Brazil dan Bolivia juga dikerah ke Corrientes bagi membantu memadamkan kebakaran.
Pihak berkuasa negara ini menganggarkan kerugian mencecah lebih AS$240 juta (RM1 bilion) dan Corrientes bakal mengambil masa selama beberapa tahun untuk pulih sepenuhnya daripada kebakaran tersebut.-AFP