SIDANG MEDIA… Dato Sri Lee Kim Shin bercakap kepada sidang media selepas ketibaan penerbangan sulung Scoot dari Singapura ke Miri. Turut kelihatan Kamaruzzaman Razali, Adam Yii, Datuk Sebastian Ting dan Datu Buckland Bangik.
IRI : Scoot, anak syarikat tambang rendah Singapore Airlines (SIA), melancarkan perkhidmatan penumpang sulungnya antara Miri dan Singapura semalam sekali gus menjadikannya perkhidmatan penerbangan kedua syarikat penerbangan itu ke Sarawak, di samping perkhidmatan penerbangan sedia ada ke Kuching.
Penerbangan sulung, TR400, berlepas pada 12.20 tengah hari dari Singapura dan disambut dengan tabik hormat meriam air ketika pesawat A320 itu menuruni landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Miri sebaik tiba pada 2.20 petang, semalam.
Sejurus tiba, penumpang turut disambut dengan persembahan istimewa oleh kumpulan kebudayaan Sarawak, yang memberikan mereka gambaran sekilas tentang kepelbagaian budaya dan warisan Miri.
Sementara itu, penerbangan keluar pertama dari Miri ke Singapura, TR401, dijadualkan berlepas pada 3.00 petang, dengan dijadualkan tiba di Singapura pada 5.00 petang.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penerbangan sulung oleh Scoot ini menandakan permulaan yang baik bagi penerbangan terus antarabangsa ke Bandaraya Miri, destinasi terkenal untuk produk pelancongan berasaskan alam semula jadi dan pengembaraan serta industri minyak dan gasnya.
“Scoot ialah syarikat penerbangan pertama dari Singapura yang mendarat di Lapangan Terbang Miri hari ini (semalam), saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pengurusan tertinggi Scoot atas keputusan dan sokongannya untuk terbang laluan Singapura – Miri.
“Penerbangan sulung ini menandakan permulaan syarikat penerbangan asing yang terbang terus ke Bandar Raya Miri dari Singapura,” jelasnya.
Tambahnya, ia akan menjadi rangsangan kepada industri pelancongan dan perjalanan perniagaan Miri serta Miri mempunyai banyak tawaran dari segi pelancongan dan aktiviti perniagaan terutamanya minyak dan gas.
“Saya amat berharap Scoot akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Pelancongan Sarawak kami, pemain industri pelancongan, komuniti perniagaan dan Pejabat Perdagangan Dan Pelancongan Sarawak di Singapura untuk mempromosikan laluan baharu ini.
“Semoga Scoot mendapat yang terbaik dan berjaya dalam laluan baharu ini,” ujarnya lagi.
Hadir bersama di majlis ialah Menteri Muda Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Sarawak Datang Buckland Bangik, Datuk Bandar Miri Adam Yii Diet Sang dan Residen Miri Abdul Aziz Mohamad Yusuf dan Pemangku Pengurus Malaysia Airports Sdn Bhd Kamaruzzaman Razali.
Oleh ADUM LIU