SOP… Sentiasa imbas MySejahtera setiap kali masuk kedai.
TIDAK terasa sudah dua tahun pandemik Covid-19 melanda dunia.
Namun sehingga kini nampaknya masih belum menunjukkan tanda-tanda reda apatah lagi dengan kehadiran gelombang varian Omicron yang melanda seluruh dunia.
Tanggungjawab mengekang penularan wabak ini bukan hanya pada pihak berkuasa, sebaliknya setiap individu dan keluarga perlu mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa perubatan dan kesihatan.
Melawan Covid-19 bukan sekadar tanggungjawab para doktor atau jururawat mahupun pasukan barisan hadapan agensi berkaitan.
Ini ialah tanggungjawab kita.Tanggungjawab setiap seorang daripada kita.
Kekalkan displin dan terus patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerana ia terbukti berkesan untuk mencegah penularan jangkitan serta sentiasa mengamalkan 3W (Wear, Wash and Warn) dan mengelakkan 3S (Sempit, Sesak dan Sembang Rapat) bagi merendahkan risiko anda dijangkiti dan menyebar Covid-19.
Apapun, rakyat hendaklah bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan mereka dan memastikan pandemik Covid-19 tidak terus menular.
Rakyat perlu mengamalkan norma baharu sebagai budaya kehidupan harian dalam membendung pandemik yang boleh mendatangkan maut kepada orang yang dijangkiti.
Di Miri, Majlis Bandaraya Miri (MBM) memperhebat penguatkuasaan terhadap SOP ditetapkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Ini berikutan jumlah kes dan kluster baharu dikesan di seluruh negara serta di Miri semakin meningkat.
Datuk Bandar MBM, Adam Yii berkata, pihaknya dengan serta-merta memperhebatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap SOP yang ditetapkan di tamu, pasar malam dan mana-mana premis berlesen lain di bawah bidang kuasa majlis.
“Notis awam telah dikeluarkan oleh MBM untuk mengingatkan semua pemilik gerai di tamu dan pasar malam serta pengusaha semua premis berlesen terutamanya premis yang diklasifikasikan sebagai sektor berisiko tinggi supaya mematuhi SOP yang dikenakan.
“Pasukan penguatkuasa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dan MBM akan meningkatkan pemeriksaan tapak dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan semua pihak dapat mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Yii berkata, selain pengusaha perniagaan, orang ramai juga perlu diingatkan mematuhi SOP yang dikenakan seperti mendaftar masuk ke mana-mana premis menggunakan Aplikasi MySejahtera, saringan suhu badan (digalakkan), mengekalkan penjarakan sosial dan jika boleh, memakai topeng muka pada setiap masa dalam mengawal wabak pandemik Covid-19 dengan berkesan.
“Saya menyeru semua pihak untuk memberikan kerjasama penuh mereka berikutan perkembangan terkini.
“Kita tidak mampu untuk membuat pusingan U untuk menghadapi satu lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana semua sektor di Sarawak memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional,” ujarnya.
Wabak Covid-19 pada mulanya dikesan pada pertengahan bulan Disember 2019 di bandar raya Wuhan, Hubei, China, dan telah diiktiraf sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020.
Pandemik diisytiharkan apabila wabak tersebar merentasi sempadan hingga ke seluruh dunia dan membabitkan jumlah populasi yang besar dengan pantas serta menyebabkan kadar kematian yang tinggi.
Oleh LIONG CHAI LING