PANDEMIK Covid-19 meninggalkan kesan parah yang meninggalkan calar pada roman sejarah dunia secara amnya. Warga dunia, mahu tidak mahu, menerima perubahan radikal yang dilihat sebagai ‘menyekat’ segala kegiatan, sama ada yang berbentuk perhubungan serta komunikasi, mahupun yang melibatkan ranah-ranah lain. Pematuhan terhadap amalan norma baharu yang wajar diterap serta dipraktikkan bagi membendung serta melandaikan keluk penularan virus korona. Selama hampir tiga tahun, warga dunia bergelut dalam kubang parah yang menyaksikan kehilangan nyawa, yang setakat ini, melebihi 8 juta dengan Amerika Syarikat mendahului senarai catatan kematian paling tinggi, diikuti Brazil dan India.
Biarpun secara perlahan, suasana pandemik menampakkan penurunan jangkitan sehingga fasa pandemik diumumkan menganjak ke fasa endemik, namun, kemunculan varian-varian baharu virus korona, seperti Delta dan Omicron, sedikit sebanyak menimbulkan keraguan akan berlaku pemulihan seratus peratus. Covid-19 menjadi ‘penghuni’ tetap dalam kehidupan manusia dunia. Hal yang walaupun sedikit sebanyak ‘melegakan’, akan tetapi masih gagal meredakan kerisauan dan ketakutan dalam nubari.
Sepanjang tempoh pandemik, kesukaran mendepani kehidupan membawa kepada kerajaan negara di seluruh dunia mengambil tindakan proaktif bagi membantu meringankan beban yang ditanggung akibat kehilangan punca pendapatan berpunca daripada perintah sekatan pergerakan serta aktiviti ekonomi yang terpaksa dilakukan. Bantuan yang setidak-tidaknya mampu memastikan kelangsungan kehidupan terjamin. Tindakan yang dilihat sebagai wajar memandangkan tekanan perasaan yang dialami, menyebabkan beberapa individu dalam kalangan warga dunia mengambil tindakan nekad yang pengakhirannya tragis.
Malah, masih ‘melekat’ pemahaman bahawa Covid-19 berupa suatu komplot atau konspirasi terancang kumpulan tertentu yang direncanakan bagi ‘mengurangkan’ bilangan penduduk dunia yang kian meningkat, menghadirkan krisis kepadatan kependudukan yang membimbangkan, di samping kekurangan bekalan makanan. Pelbagai teori ‘muncul’ sehinggakan isu vaksin serta kempen pemvaksinan (PICK dan PICK Kids dalam konteks negara kita) bagi mengekang penularan serta ‘meneduhkan’ landaan gelombang jangkitan, masih mengawang dan kedengaran pertikaiannya. Masih melekat unsur ‘kedegilan’ sebahagian daripada kalangan masyarakat yang enggan divaksinasikan dengan melaraskan hujahan pada teori konspirasi yang dijelaskan secara meyakinkan. Memang tidak dapat dinafikan hak berkenaan berupa hak peribadi, akan tetapi melihat dari sisi pemastian keselamatan dan kesihatan yang menyeluruh sifatnya, sikap sedemikian sudah pasti menjadi faktor penghambat.
Melihat perkembangan di dalam negara secara khusus, apa-apa yang diperkatakan di atas tidak terlepas daripada dialami. Pada ketika penularan Covid-19 berada pada tahap kemuncaknya, pelbagai aksi serta reaksi dapat diperhatikan. Sekecil-kecil perkara, mampu ‘meletup’ menjadi isu yang bersifat nasional. Apatah lagi dengan kehadiran pihak-pihak tertentu dengan ‘kipas ajaib’ mereka untuk membantu memarakkan bara emosi agar nyalaan apinya membesar sehingga sukar untuk dipadamkan. Suatu aspek yang menarik untuk diberikan perhatian adalah, pelarasan tudingan jari-jemari diarahkan kepada satu pihak, iaitu pemerintah atau kerajaan. Hujahan berkisar tentang kewajaran, keberkesanan serta kejayaan langkah-langkah yang dilaksanakan dalam pembendungan wabak berkenaan. Malah, bantuan yang dihulurkan serta insentif yang diperkenal untuk dilaksanakan tidak terlepas daripada dipersoalkan, daripada persoalan jumlahnya, keterangkumannya sehinggalah kepada sumbernya. Akan tetapi apabila dilaksanakan, pihak-pihak inilah yang berada di baris hadapan dalam kalangan mereka yang mengemukakan permohonan.
Dalam situasi negara berhadapan dengan krisis, di samping kerajaan berusaha semampu boleh menghulurkan bantuan berdasarkan kemampuan atau dari segi implikasi kewangan dan faktor logistik lain, masih wujud pihak-pihak tertentu yang secara terbuka, mengambil kesempatan untuk ‘menangguk di air yang keruh’. Pendekatan sedemikian tidak lebih daripada pemanipulasian faktor ‘gangguan emosi’ manusia yang sedang ‘menggelupur’ dalam kesengsaraan akibat libasan pandemik Covid-19. Tindakan yang berupa sikap mengambil kesempatan untuk menzahirkan agenda masing-masing, sama ada untuk kepentingan diri sendiri mahupun kepentingan parti dan kumpulan yang diwakili.
Amalan sedemikian tidak lebih daripada ‘mendidik’ masyarakat untuk bersikap negatif, sarkastik, memberontak, sangsi serta berburuk sangka. Apa-apa juga yang dilaksanakan pasti akan dilihat lewat sisi pandang negatif, sedangkan kebaikan serta manfaatnya cuba diselindungkan sebalik tirai tebal. Malah, kini, amalan saman-menyaman seakan-akan membudaya, bukan sahaja dalam kalangan ahli politik serta individu berprofil tinggi, malah dalam kalangan masyarakat marhaen. Pemutarbelitan apa-apa kenyataan amat mudah sekali berlaku. Kenyataan yang bersifat komen wajar (fair comment) sudah tidak lagi wujud, dan mudah ditafsirkan sebagai kenyataan berniat jahat, memalukan, di samping menjatuhkan air muka. Hal yang mampu mengakibatkan pengemukaan saman malu yang bukannya kecil jumlahnya. Hal-hal yang diperkatakan dilihat sebagai suatu transisi pemikiran yang diacuankan berlandas pemenuhan kehendak serta kepentingan peribadi serta kumpulan. Suatu proses transisi yang membimbangkan.
Secara umum, pandemik Covid-19 dilihat bukan sahaja mengubah amalan kehidupan ke arah pengamalan norma baharu kehidupan dalam bentuk pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan, akan tetapi turut mengubah corak pemikiran serta sikap masyarakat secara umumnya, Mula terkesan pembudayaan amalan-amalan yang tidak sewajarnya diterapkan dalam konteks gagasan aspirasi Keluarga Malaysia yang harmoni dan sejahtera. Untuk mengubah pelarasan pemikiran sedemikian bukan mudah, pun tidak mustahil mampu dilakukan. Tepuk dada, tanya nubari.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!