PERANAN Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) membantu negara ke arah merealisasikan kejayaan mencapai taraf dalam Ekonomi Digital cukup berat.
Pada satu aspek, KKMM perlu mempercepatkan capaian rangkaian generasi kelima yang dinamakan sebagai ‘5G’, manakala pada satu aspek lagi, ia juga berperanan signifikan memastikan generasi muda terkawal dalam masalah sindrom baharu yang dinamakan ‘ketagihan internet.’
Menurut Menterinya, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini, untuk memastikan matlamat negara berjaya dalam impian untuk merealisasikan Ekonomi Digital, capaian 5G mesti dilakukan dalam tempoh tiga tahun ini, meliputi sekurang-kurangnya 80 peratus capaian dalam kawasan-kawasan padat penduduk di seluruh Malaysia.
Faktor ini penting jika Malaysia mahu menarik pelabur-pelabur asing yang amat diperlukan dalam merealisasikan impian Ekonomi Digital yang menuntut semua bentuk usaha dan kerja merentas sempadan global.
Pengalaman melaksanakan projek 4G sebelum ini yang menunjukkan masa lapan tahun barulah kejayaan 80 peratus tercapai, tidak boleh dibiarkan berulang, kerana perdagangan dan perniagaan global merupakan pergerakan yang menuntut kecekapan dan keberkesanan yang pantas sifatnya.
Jika tempoh yang sama terus dijadikan tanda aras untuk kejayaan capaian 5G, besar kemungkinan Malaysia akan kempunan untuk menarik pelaburan asing yang dikehendaki.
Khabarnya, dalam bulan Mac depan, KKMM bersama-sama dengan Kementerian Kewangan, akan membentangkan kepada Kabinet Malaysia berkaitan perkara berkenaan, terutama sekali menyinggung penglibatan Digital Nasional Berhad (DNB).
DNB merupakan jentera khas yang khusus diamanahkan untuk melaksanakan kejayaan pelaksanaan 5G, yang baru-baru ini telah mengumumkan kewujudan 4G dalam bahagian-bahagian tertentu Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur mulai 14 Disember 2021.
Berlandaskan pengalaman itu, DNB kini beriltizam untuk mengakselarasikan capaian 5G meliputi 80 peratus penduduk menjelang 2024.
Pada masa yang sama, KKMM mahu golongan ibu bapa membantu memainkan peranan bagi menangani masalah kurang kawalan masalah ketagihan internet dalam kalangan generasi muda yang, menurut kajian Cybersecurity Malaysia (CSM), menimbulkan masalah sekuriti siber.
Menurut Kajian Tanda Aras Kesedaran Sibersekuriti 2021/2022 oleh CSM, bagi tempoh antara 16 November hingga hingga 3 Disember 2021, tahap ketagihan internet dalam kalangan generasi muda di Malaysia agak tinggi jika dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia.
Menurut kajian yang diusahasamakan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia itu, antara kesan-kesan negatif sindrom ketagihan itu termasuklah lewat tidur, kanak-kanak memilih untuk lebih berinteraksi dengan rakan sebaya mereka melalui telefon pintar sahaja, serta sifat cepat marah apabila ditegah menggunakan telefon pintar itu.
Selain masalah itu, generasi muda juga terdedah dengan isi kandungan internet yang tidak sesuai, selain risiko-risiko yang timbul daripada transaksi atas talian.
Dalam membina generasi digital ini peranan institusi keluarga amat penting, dan inilah yang perlu turut difokuskan oleh KKMM.