BAKAL DIRASMIKAN… Dato Sri Karim Abdul Rahman Hamzah menunjukkan tanda bagus di Muzium Budaya
Borneo yang bakal dirasmikan pada Mac depan. • Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Muzium Budaya Borneo akan dirasmikan pembukaannya pada 4 Mac tahun ini setelah hampir dua tahun tertangguh disebabkan penularan pandemik Covid-19.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perasmian Muzium Budaya Borneo itu akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 8.00 malam.
Abdul Karim berkata, acara pada hari perasmian akan dimulakan di peringkat luar dengan ucapan akan diberikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan beliau sendiri.
“Acara seterusnya akan dilanjutkan dengan pertunjukkan pemetaan video (projection mapping) yang akan memancarkan pemetaan (mapping) itu ke arah muzium ini bagi menunjukkan sejarah Sarawak dari mula sampai sekarang,” katanya pada sidang media di Muzium Kebudayaan Borneo di sini, semalam.
Mengulas mengenai majlis perasmian nanti, Abdul Karim memberitahu seramai 350 tetamu sahaja dibenarkan untuk menghadiri majlis dengan pematuhan ketat Prosedur Operasi Standard (SOP) daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Bagi pengunjung yang datang pada 4 Mac, beliau berkata mereka akan dibahagikan kepada lapan kumpulan dan setiap seorang daripada mereka akan diberikan tingkat tertentu untuk dikunjungi selain akan ditemani pemandu arah.
“Setelah perasmian, muzium ini akan dibuka kepada umum pada 9 Mac dan kita menggalakkan mereka yang ingin datang untuk mendaftar secara atas talian kerana pihak muzium hanya membenarkan 500 orang sahaja boleh berada di dalam bangunan dalam satu masa,” katanya.
Menurut Abdul Karim, apabila dibuka kelak, bangunan yang berkelas dunia ini bakal menjadi muzium terbesar di Malaysia dan Borneo dan akan menjadi muzium kedua terbesar di Asia Tenggara.
Katanya, muzim ini agak canggih dan apabila dibuka kepada orang awam, pengunjung akan dibawa melihat artifak yang dipamerkan supaya pengunjung dapat mengetahui lebih dalam berkenaan sejarah dan dimana datangnya artifak tersebut.
“Selain itu, muzium ini berlainan dari muzium lama kerana mempunyai barang-barang di ‘showcase’ termasuk lampu yang mana lampu-lampu di galeri tertentu boleh mengikut jejak kaki kita dan sebagainya.
“Ia akan menjadi muzium yang sangat menarik untuk keluarga dan sudah tentu anak-anak akan suka untuk berkunjung ke sini,” katanya sambil berharap agar pengunjung yang datang menjaga kebersihan dan artifak yang terdapat dalam bangunan ini.
Dalam pada itu kata Abdul Karim, muzium ini berbeza dengan muzium lama kerana di muzium baharu ini akan mempamerkan bahan-bahan budaya etnik yang terdapat di Sarawak seperti tikar, tembikar, pasu dan sebagainya.
Katanya, bagi tiga bulan pertama selepas perasmian nanti pengunjung tidak akan dikenakan sebarang caj kemasukkan sementara ia akan dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi sehingga 4.45 petang bagi hari biasa, manakala hujung minggu dan cuti umum mulai jam 9.30 pagi sehingga 4.30 petang.
Oleh SYAMIMI HUSNA