SERAMAI 370 petugas kebersihan melakukan pembersihan besar-besaran di sekitar Petropolis yang dipenuhi lumpur tebal akibat banjir dan tanah runtuh yang berlaku.• Foto AFP
RIO DE JANEIRO: Jumlah korban akibat hujan lebat yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh di bandar Petropolis meningkat kepada 165 orang, ketika satu lagi ribut membadai wilayah berhampiran sehingga meragut dua nyawa.
Pasukan keselamatan dan penduduk tempat terus mencari mangsa yang dtimbus tanah runtuh di Petropolis dan Presiden Brazil, Jair Bolsonaro memyifatkan situasi semada di bandar itu seperti ‘dalam peperangan’.
Pihak berkuasa tidak dapat menjangka berapa banyak lagi jumlah kematian akan direkodkan selepas ini dan peluang untuk menemukan mangsa terselamat semakin tipis.
Sehingga kini, 28 kanak-kanak merupakan antara yang terkorban dalam bencana alam itu.
Dalam pada itu, cuaca buruk terus melanda Brazil, menyaksikan hujan lebat melanda negeri Espirito Santo di tenggara negara ini semalam.
Ribut itu mengorbankan dua orang di negeri tersebut yang bersempadan dengan Rio de Janeiro.
Seorang penduduk maut akibat ditimpa dinding runtuh di bandar Alegre dan seorang lagi dihanyutkan arus banjir ketika cuba mengalihkan kenderaan di bandar Nova Venecia.
Ribut itu turut memaksa lebih 1,200 penduduk meninggalkan kediaman mereka, selain beberapa rumah juga musnah.
Dalam tempoh tiga bulan lalu, sekurang-kurangnya 219 orang maut akibat ribut petir, terutamanya di Sao Paulo dan Bahia.
Selain itu, seramai 370 petugas kebersihan melakukan pembersihan besar-besaran di sekitar Petropolis yang dipenuhi lumpur tebal akibat banjir dan tanah runtuh yang berlaku.
Pejabat datuk bandar pula menasihatkan supaya orang ramai kekal berada di rumah bagi membolehkan operasi pembersihan dilakukan dengan lancar.
Pihak berkuasa setakat ini sudah menemukan lebih 300 kenderaan yang dihanyutkan di sekitar bandar itu. – AFP