EKONOMI PULIH DARIPADA PENGUCUPAN… Sektor pembuatan mengukuh 13.2 peratus tahun ke tahun
(y-o-y), meningkat daripada pertumbuhan 7.5 peratus yang dicatatkan pada 2020. Dalam sektor ini, keluaran merentasi semua kluster menunjukkan peningkatan, dengan kluster kejuruteraan ketepatan, elektronik dan kejuruteraan pengangkutan mencatatkan pertumbuhan keluaran terbesar.
SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 7.6 peratus untuk keseluruhan 2021, pulih daripada penguncupan 4.1 peratus pada 2020, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.
Menurut MTI, sektor pembuatan mengukuh 13.2 peratus tahun ke tahun (y-o-y), meningkat daripada pertumbuhan 7.5 peratus yang dicatatkan pada 2020.
“Dalam sektor ini, keluaran merentasi semua kluster menunjukkan peningkatan, dengan kluster kejuruteraan ketepatan, elektronik dan kejuruteraan pengangkutan mencatatkan pertumbuhan keluaran terbesar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, sektor pembinaan mengembang 20.1 peratus tahun ke tahun, pulih daripada penguncupan 38.4 peratus tahun sebelumnya, disokong oleh kerja-kerja pembinaan sektor awam dan swasta.
Industri pengeluaran perkhidmatan meningkat sebanyak 5.6 peratus tahun ke tahun berbanding penguncupan 5.1 peratus sebelum ini, katanya.
Kesemua sektor perkhidmatan juga telah mencatatkan pengembangan, kecuali sektor pentadbiran dan perkhidmatan sokongan, kata kementerian itu.
Bagi suku keempat 2021, ekonomi Singapura berkembang sebanyak 6.1 peratus tahun ke tahun, menyederhana daripada pengembangan 7.5 peratus pada suku sebelumnya.
Pada asas pelarasan musim suku ke suku, ekonomi meningkat sebanyak 2.3 peratus, lebih cepat daripada pertumbuhan 1.5 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.
Mengenai prospek ekonomi untuk 2022, MTI telah mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 antara 3.0 peratus dan 5.0 peratus.- Bernama