ADUM LIU
BEKENU : Penduduk luar bandar menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri terhadap perlanjutan tempoh Penguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun depan.
Micheal Sait, 49 tahun dari Rumah Panjang Tr. Lingu ketika ditemui berkata, perlanjutan tempoh PKPB harus dilaksanakan supaya rantaian wabak Covid-19 dapat dihapuskan.
Katanya, di rumah panjang, penduduk memang risau tentang wabak Covid-19 dan kemasukan orang luar ke sini masih tidak digalakkan.
Daerah Subis yang masih dalam Zon Hijau harus dijaga dan sambutan Hari Gawai nanti hendaklah disambut bersama keluarga di sini sahaja.
Bahagian Miri yang kini sudah menjadi Zon Hijau merupakan satu berita gembira dan harus dikawal serta dijaga sebaiknya demi keselamatan semua, tambahnya.
Kapitan Pui Kuan Phen dari Batu Niah ketika dihubungi turut menyokong pengumuman Perdana Menteri dan menyifatkannya sebagai langkah terbaik untuk menghapuskan virus pembawa maut itu.
Katanya, untuk berjaya menghapus wabak Covid-19, masyarakat berbilang kaum harus memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan dengan duduk diam di rumah dan menjaga kebersihan diri.
“Di Batu Niah, setiap warga di sini dinasihatkan untuk mengguna penutup mulut dan hidung ketika berusan di kedai.
“Guna pencuci tangan yang betul untuk kebersihan ketika balik dari pekan demi keselamatan keluarga masing-masing,” jelasnya.
Sementara itu, dalam ucapan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin yang bersiaran langsung semalam berkata, beberapa minggu ke hadapan ini agak kritikal bagi negara.
Katanya, hasil pelaksanaan PKPB hanya dapat dilihat dalam tempoh beberapa minggu lagi. Jika berlaku peningkatan kes yang ketara dalam tempoh ini, kerajaan akan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD bagi kawasan-kawasan yang terjejas.
Justeru, amalkan penjarakan sosial, pakai penutup mulut dan hidung, sentiasa basuh tangan, gunakan hand sanitizer dan keluar rumah hanya jika perlu sahaja.