KETUA Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus bimbang wujudnya naratif palsu dalam kalangan beberapa buah negara di dunia kononnya pandemik Covid-19 sudah tamat.
Dalam sidang video mesyuarat khas yang diadakan di Washington pada Isnin (14 Februari) lepas, Tedros kesal naratif palsu sedemikian wujud di negara-negara yang mempunyai liputan vaksinasi tinggi serta kesan jangkitan Omicron yang rendah.
Kesalahfahaman sedemikian wajar dibendung serta-merta, katanya, kerana apa yang sebenarnya berlaku hanyalah kesannya berkurangan akibat tindakan pemvaksinan yang betul.
Pada masa yang sama masyarakat dunia wajar memahami dan menyebarluaskan hakikat bahawa bagi negara-negara yang masih rendah liputan pemvaksinannya, mereka seolah-olah ‘membuka peluang’ bagi varian-varian baharu yang dahsyat boleh muncul jika keadaan tidak diperbetulkan.
Tedros mengingatkan dunia sudah berupaya mengawal rebakan virus Covid-19 namun manusia sejagat harus juga sedar agar jangan mensia-siakan usaha ke arah itu akibat andaian dan persepsi yang sempit.
Katanya, apa yang berlaku di segelintir bahagian dunia ialah perlunya sokongan para pemimpin politik untuk mempergiathebatkan pemberian vaksinasi sesegera mungkin untuk terus membendung atau mengakhiri penularan virus Covid-19 atau luruan Omicron seperti yang sedang berlaku ketika ini.
Tedros berkata demikian ketika menyertai secara maya Mesyuarat Tindakan Global Covid-19 yang digerakkan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken.
Beliau menyeru semua negara agar menggigihkan vaksinasi dan menyokong sasaran global WHO untuk mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus pemvaksinan seluruh jagat raya, sambil memohon agar semua negara di dunia turut menyumbang kepada keperluan Akselarator Access to Covid-19 Tools (ACT) yang masih memerlukan pendanaan berjumlah AS$16 bilion dalam usaha untuk menyelamat nyawa manusia sejagat.