REVOLUSIKAN PERJALANAN UDARA… Sebagai tambahan kepada pesawat eVTOL, Avolon, melalui syarikat sekutu pelaburan dan inovasinya Avolon-e akan bekerjasama dengan AirAsia untuk mengkomersialkan pesawat eVTOL dengan pelepasan sifar dan membangunkan platform mobiliti udara dalam bandar (UAM) yang terkemuka dalam industri di Asia Tenggara.
KUALA LUMPUR: AirAsia Aviation Group Ltd (AirAsia), cabang penerbangan Capital A Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Group telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tanpa ikatan dengan Avolon, syarikat pemajakan pesawat antarabangsa untuk memajak sekurang-kurangnya 100 pesawat elektronik berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL) VX4.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata pesawat eVTOL akan membolehkan AirAsia merevolusikan perjalanan udara dengan menyediakan mobiliti udara lebih maju kepada penumpang baharu, seterusnya mengubah cara untuk mereka berhubung dengan lebih cekap.
“Sebagai tambahan kepada pesawat eVTOL, Avolon, melalui syarikat sekutu pelaburan dan inovasinya Avolon-e akan bekerjasama dengan AirAsia untuk mengkomersialkan pesawat eVTOL dengan pelepasan sifar dan membangunkan platform mobiliti udara dalam bandar (UAM) yang terkemuka dalam industri di Asia Tenggara,” katanya pada majlis menandatangani MoU secara maya semalam.
Beliau berkata, Avolon dan AirAsia akan membentuk kakitangan untuk memohon pensijilan tempatan, menyelidik peluang pasaran yang berpotensi dan keperluan infrastruktur untuk UAM.
Menurut Fernandes, AirAsia akan turut memanfaatkan aplikasi mudah alih perjalanan dan gaya hidupnya, airasia Super App untuk membantu menyokong dan membina platform perkongsian perjalanan eVTOL dengan Avolon.
“Kami percaya VX4 akan menjadi pesawat pilihan eVTOL dan teruja kerana bakal menjadi syarikat penerbangan pertama melancarkan perkhidmatan menggunakan pesawat ini di Asia Tenggara,” katanya sambil memaklumkan ia dijangka dilancarkan menjelang 2025.
Sementara itu, CEO Avolon Domhnal Slattery berkata, syarikat itu akan bekerjasama membangunkan platform perkongsian perjalanan dan menawarkan pesawat VX4 dengan pelepasan sifar, menjadikan AirAsia sebagai pengendali pilihan untuk perjalanan udara yang mampan di rantau ini.
Pesawat VX4 dengan kapasiti seorang juruterbang dan empat penumpang diunjur mempunyai kelajuan sehingga 321 kilometer (km) sejam dan terbang hampir senyap pada jarak melebihi 100 km.
Ia dijangka menawarkan mobiliti udara yang lebih maju kepada penumpang baharu dan mengubah perjalanan untuk mengembara.- Bernama