LEGASI, perkataan yang semakin popular, khususnya dalam kalangan golongan yang mempimpin atau merajui sesuatu entiti dalam apa-apa juga ranah kehidupan. Sama ada persatuan, organisasi, jabatan, kementerian mahupun jentera kerajaan, ‘pencipaan’ serta ‘peninggalan’ sesuatu legasi, menjadi sebutan, apatah lagi sekiranya legasi berkenaan meninggalkan impak yang signifikan dalam perubahan iklim sesuatu ranah. Ibarat suatu ‘ciptaan’ baharu yang memudahkan cara hidup masyarakat.
Apakah maksud legasi sebenarnya? Perkataan legasi berasal daripada kata legacie, yang diguna pakai lewat 14 tahun Masihi yang membawa maksud “body of persons sent on a mission,” dan bahasa Latin zaman pertengahan, iaitu legatia, dan daripada bahasa Latin legatus yang bermaksud “ambassador, envoy, deputy,” kata nama yang diguna pakai sebagai kata past participle perkataan legare yang ditakrifkan sebagai “send with a commission, appoint as deputy, appoint by a last will“. Menurut Kamus Merriam-Webster, kata legacy ditakrifkan pula sebagai, something (such as property or money) that is received from someone who has died;something that happened in the past or that comes from someone in the past; a gift by will especially of money or other personal property; something transmitted by or received from an ancestor or predecessor or from the past; a candidate for membership in an organization (such as a school or fraternal order), who is given special status because of a familial relationship to a member. Manakala, andai dirujuk Kamus Dewan edisi keempat, perkataan legasi merupakan kata Indonesia Belanda yang membawa pengertian, ‘perwakilan negara di luar negara (tarafnya lebih rendah daripada kedutaan besar).
Bersandarkan takrifan yang dihuraikan, jelas bahawa perkataan legasi yang diguna pakai secara meluas kini, lebih bersandarkan pada takrifannya dalam bahasa Inggerisnya, iaitu something transmitted by or received from an ancestor or predecessor or from the past. Dalam konteks wacana ini, sesuatu yang diwariskan, sama ada dalam bentuk gagasan, dasar, falsafah mahupun pemikiran. Dari segi peluasan skopnya, sesuatu yang berbeza daripada bentuk atau unsur yang tipikal sifatnya.
Kerancakan serta ‘kenanaran’ menampilkan sesuatu yang berbeza, di samping menjadi bual bicara yang malar segar, kini seakan-akan menjadi suatu kemestian dalam kalangan golongan ini, dan malah golongan-golongan cendekiawan dalam bidang-bidang tertentu. Pembudayaan amalan yang memacu akal fikir para ‘pengejar legasi’ untuk memerah otak mencari sesuatu pembaharuan yang bukan sahaja bakal memperkukuh serta menganjak kedudukan mereka, akan tetapi meletakkan nama mereka dalam senarai pencetus legasi yang sebelumnya. Lantaran hal yang sedemikian, pencarian sesuatu unsur yang mampu diistilahkan sebagai legasi semakin dibudayakan.
Dalam sejarah tanah air, hal sedemikian sememangnya terkesan, khususnya dalam ranah siasah yang memperlihatkan rakaman gelaran-gelaran tertentu diberikan kepada pemimpin utama jentera pentadbiran. Gelaran yang diasaskan berlandaskan dasar-dasar yang digagaskan serta cuba diterapkan untuk mencapai sesuatu matlamat yang disasarkan. Pada kelazimannya, apa-apa yang digagaskan membawa impak besar yang mengubah iklim pembangunan fizikal, mental dan spiritual masyarakat bagi mengubah landskap kemajuan dan kemakmuran negara secara umumnya. Hal yang dilihat wajar dan bersesuaian dengan konsep ‘pemimpin yang memimpin’.
Namun demikian, tidak semua yang digagaskan yang ingin dijadikan legasi itu, menjadi kenyataan atau berjaya diterjemahkan. Lantas, menghadirkan suatu bentuk halusinasi atau fatamorgana yang menghadirkan bayangan muluk, tetapi tidak terlihat secara zahirnya. Apa-apa yang dibentangkan dalam kerangka pelan tindakan sememangnya strategik dan terancang penuh ketelitian. Akan tetapi, disebabkan berlaku ‘kegelinciran’ semasa perjalanan atas landasan yang telah dibina, penzahirannya tidak mampu dilaksanakan secara berkesan. Situasi yang menimbulkan kesan sampingan yang bertentangan dengan tujuan asal, yang kemudiannya menjerumuskan bukan sahaja jentera pentadbiran ke jurang ‘kemusnahan’, akan tetapi turut mencalarkan catitan sejaran negara secara umumnya, khususnya dalam konteks ranah kenegaraan. Lantas legasi yang muluk, bertukar menjadi suatu legasi yang hodoh, mengaibkan serta menjadi igauan ngeri.
Dari segi pelarasan tujuan atau matlamat pewarisan sesuatu legasi, sering timbul persoalan, adakah hal sedemikian itu berupa suatu wawasan yang terbit daripada keikhlasan dan ketulusan untuk menghadirkan sesuatu yang mampu mengubah landskap dan iklim kehidupan masyarakat, di samping menganjak kedudukan negara secara umum? Atau mungkinkah amalan berkenaan berupa suatu tuntutan atau ‘legasi dalam legasi’ semata-mata? Pun mungkinkah juga sekadar penjelmaan fatamorgana yang menyihir pandangan cuma? Sememangnya sukar untuk meneka secara tepat matlamat sebalik sesuatu legasi. Dalam situasi tertentu, sesuatu gagasan bukan hadir dari akal pemikiran individu yang menggagaskannya, akan tetapi cetusan minda individu-individu yang ‘dipertanggungjawabkan’ sebagai ‘penasihat khas’. Lantas, sejauh manakah kefahaman individu yang kononnya menggagaskannya akan konsep legasi yang sedemikian itu? Terpulang kepada diri masing-masing untuk menilai ketelusan, keikhlasan dan ketulusannya.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!