USAHA untuk meneruskan rangkaian jalan raya merentasi sempadan antara Malaysia dengan Negara Brunei Darussalam nampaknya satu petanda yang baik bagi rakyat ketiga-tiga buah negara dalam pulau Borneo ini.
Hasil perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Selasa (15 Februari) lepas telah membuahkan persetujuan antara kedua-dua negara untuk meneruskan kesepakatan dan perundingan bagi mengkaji dan menyiapkan cadangan pembinaan Lebuh Raya Antara-Borneo berakhir dengan keputusan yang amat positif sekali.
Menurut kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media selepas pertemuan itu, setakat ini, 77 peratus kerja-kerja pembinaan sedang dalam proses berterusan, manakala fasa pertama laluan dari simpang Kuala Baram sebelah Miri menuju ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujoh, akan bermula tahun hadapan.
Kedua-dua negara turut mencapai persetujuan untuk meneruskan segmen kedua pembinaan jalan-jalan baharu, di samping mempertingkatkan laluan-laluan yang ada melibatkan kepanjangan 74 kilometer melalui Limbang dan Lawas. Segmen ini sedang dalam proses perekaan dan pemerolehan tanah.
Rangkaian sistem jalan raya utama yang dinamakan Lebuh Raya Antara-Borneo ini nanti bakal menghubungkan Kalimantan (di sebelah Indonesia), Negara Brunei Darussalam dan Sarawak serta Sabah (Malaysia).
Keadaan ini sudah tentulah bakal menjadikan pulau Borneo sebuah pulau yang hebat dari aspek kemajuan pembangunan, lebih-lebih lagi dengan wujudnya ibu kota baharu Indonesia bernama Nusantara di Utara Penajam Paser dan Kutai Kartanegara di Kalimantan Tengah.
Pemindahan ibu kota ke Nusantara itu bakal membawa persaingan yang positif bagi Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, memandangkan impian Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo adalah untuk membina sebuah ibu kota yang hijau, bebas pencemaran serta keadaan mesra-alam yang optimum.
Sudah tentu gerakan beliau itu turut mengilhamkan Brunei dan Malaysia untuk setanding, setara dan secemerlang mungkin, agar pulau Borneo bukan setakat gah sebagai pulau ketiga terbesar dunia, malahan bakal menjadi sebuah pulau tergemilang dan makmur.