KAPTEN Kuching City, Joseph Kalang Tie telah bersedia diletakkan di mana-mana posisi terutamanya dalam membantu dua penyerang import baharu itu nanti.
KEHADIRAN dua penyerang import asing baharu skuad Kuching City FC pada musim ini bakal membantu memantapkan lagi persediaan menghadapi saingan Liga-M musim ini.
Kapten Kuching City FC, Joseph Kalang Tie menyifatkan kehadiran dua penyerang terbabit iaitu Abu Kamara dan Keanu Marsh-Brown ibarat sinar baharu kepada skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim bagi memperkuatkan barisan hadapan pasukan itu.
“Kehadiran kedua-dua pemain tersebut yang beraksi di posisi serangan akan memberi peluang kepada barisan kejurulatihan untuk merencana strategi serta taktikal baharu musim ini.
“Ia sekali gus menjadi tonik terbaik untuk mengharungi saingan Liga Malaysia yang bermula tidak lama lagi,” katanya.
Joseph yang berusia 34 tahun itu berkata beliau kini telah bersedia diletakkan di mana-mana posisi terutamanya dalam membantu dua penyerang import baharu itu nanti.
“Saya tidak kisah untuk bermain di mana-mana posisi sekalipun, terpulang kepada jurulatih (Irfan) kerana itu adalah strategi beliau dan beliau lebih tahu apa kelebihan dan kekurangan dalam diri pemain.
“Tahun lepas saya lebih banyak menjadi penyerang sokongan dan juga berada di bahagian sayap kanan iaitu posisi lama saya sebelum ini, dan saya sokong sahaja apa yang akan ditetapkan oleh jurulatih berdasarkan taktikal yang akan dilakukan beliau,” ujarnya.
Beliau percaya pada musim ini percaturan yang lebih berbeza daripada musim lepas, serta yakin skuad The Cats mampu berada di kedudukan yang lebih baik sekali gus ingin melihat pasukan itu layak ke pentas Liga Super buat julung kalinya pada musim depan.
“Memang ini sasaran kita sebenarnya sejak tahun lepas lagi, tetapi disebabkan banyak kekangan daripada segi persiapan dan sebagainya, jadi saya yakin musim ini kita akan merealisasikan impian pengurusan untuk melangkah ke pentas Liga Super musim depan.
Pada musim ini, Kuching City telah mengikat tiga pemain import baharu iaitu Kamara dari Liberia, Marsh-Brown dari England dan Yuki Tanigawa dari Jepun yang juga pernah beraksi bersama pasukan ini pada musim 2020.
Hanya seorang pemain import dikekalkan iaitu pemain pertahanan, Aylton Alemao dari Brazil.