SIDANG MEDIA… Dato Sri Richard Riot Jaem ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat
ke atas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Bangunan Dewan Undangan Negeri
(DUN) pada Isnin lepas.
KUCHING: Syarikat dari Jepun, Korea Selatan dan Taiwan berminat untuk melabur dalam industri tenaga solar di negeri ini.
Menurut Duta Khas Malaysia ke Asia Timur, Datuk Seri Richard Riot Jaem, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat tersebut yang dijangka membawa membawa pelaburan bernilai RM2 bilion ke Sarawak.
“Saya tidak mahu mendedahkan nama syarikat tersebut namun untuk makluman syarikat ini sudah menghantar ‘letter of intent’ (surat niat). Jadi mereka bukan main-main.
“Mereka mahu melabur RM2 bilion berdasarkan ‘letter of intent’,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.
Menurut Richard Riot, beliau telah menjelaskan kepada Ketua Menteri perancangan yang akan dilaksanakan untuk Sarawak.
Katanya, jika pelaburan tersebut menjadi realiti, ia sesuatu yang akan memberi impak ekonomi kepada Sarawak dan Malaysia.
Mengenai kunjungan hormat itu, beliau berkata ia bertujuan berkongsi dengan Ketua Menteri peranan beliau sebagai Duta Khas ke Asia Timur.
Katanya, sebagai anak jati Sarawak, menjadi tugas beliau untuk bukan sahaja membawa pelaburan ke Malaysia malah ke negeri ini.
Selepas kunjungan tersebut, Richard Riot turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Oleh JAEKQLEYN YACHO