“Rasakan kau manusia!” Aku terkejut. Darahku menyirap naik. Mataku terbeliak. Suara itu betul-betul di telingaku. Belum sempat aku menoleh, satu pukulan angin hinggap di pipiku. Aku terpelan- ting ke kanan dan terjelepok ke tanah. Aku mengerang kesakitan. Nasibku baik, sistem pertahanan badan membantu menyelamatkan mukaku. Namun nyawaku berkurang secara mendadak kepada satu kuasa antibodi lagi.”
Dengan keadaan badan yang lemah tidak berdaya, Leftenan AstroZeneca cuba membalas balik. Namun keupayaan dirinya telah terbatas. Batuk dan sakit kepala yang ditanggung oleh Leftenan AstroZeneca menyebabkan aliran nafas mula tersekat-sekat dan kemudiannya tidak sedarkan diri. Melalui pemeriksaan RTK, alangkah leganya apabila melihat hasil keputusan Leftenan AstroZeneca. Pihak tentera musuh tidak berada dalam tubuhnya. Dia masih mempunyai peluang dan kesempatan untuk terus melaksanakan misi perjuangan yang diarahkan oleh Ketua Komander Kem Pertahanan Wilayah Darul Hana. Tetapi mampukah dia beraksi sedangkan berada dalam keadaan tidak berdaya? Leftenan AstroZeneca sudah siap siaga dengan persediaan, termasuk menelan pil vitamin D. Pihak musuh yang tidak kelihatan boleh menyerbu pada bila-bila masa sahaja jika seseorang itu cuai dan lalai. Sama ada dikuarantin atau tidak, musuh yang menakutkan itu pasti menanti.
Di akhir cerita, Leftenan berjaya menewaskan satu persatu tentera musuh dengan senjata sanitizer semasa dalam kuaran- tin di rumah. Pihak musuh digambarkan berwajah seperti zarah yang dikelilingi bentuk bucu seperti mahkota. Sungguh menakutkan. Ada tanda pada baju celoreng merahnya dengan tulisan Coronavirus. Demikianlah Benjamin Asin memberikan rupa wajah virus itu dan lakarannya hampir sama dengan apa yang telah dilihat melalui media massa, hanya ada sedikit tambahan untuk menjadikannya sesuai dengan fiksyen kreatif. Bebas daripada mod kuarantin, belum membawa makna yang besar. Leftenan AstroZeneca boleh menarik nafas lega. Namun, itu hanyalah kejayaan kecil dan pihak musuh bernama virus COVID-19 masih terus berleluasa di mana-mana andai masyarakat tidak mematuhi langkah kawalan dan penjagaan diri sebagaimana yang dinasihatkan oleh pakar perubatan bertauliah. Tempoh berkurung dua tahun yang dialami oleh masyarakat dunia sudah cukup menyeksa mereka secara psikologi.
Walaupun masih sederhana dan dangkal jalan penceritaan- nya, namun hasil karya Benjamin Asin ini wajar dipuji kerana menawarkan pengalaman berbeza daripada apa-apa yang sudah lazim dibaca dalam karya tentang COVID-19. Cerpen ini merupakan percubaan naratif yang kreatif dan menyerlahkan usaha pengarangnya untuk mencari sudut pandangan baharu dalam membina naskhah berkaitan isu semasa. Namun jika dibantu dengan beberapa maklumat tambahan dan jalan cerita yang menarik, saya yakin naskhah Mod Kuarantin ini pasti lebih menyengat dan mencabar. Benjamin Asin telah memberikan peranan kepada nama-nama jenis vaksin untuk diangkat sebagai watak-watak yang tugas- nya adalah untuk memastikan serangan virus COVID-19 dibasmi dari muka bumi. Bukankah hal itu sungguh unik dan relevan dengan tema naskhah? Idea yang ingin dikembangkan oleh pengarang sudah cukup baik, hanya tinggal lagi bagaimana untuk menyampaikan ceritanya supaya tampak lebih meyakinkan. Apakah naskhah karya Benjamin Asin menepati apa yang diistilahkan dengan sains fiksyen?
Dalam sebuah artikel yang terbit (dalam talian) di akhbar Berita Harian, tulisan Muhammad Fakhruddin Safian Shuri bertajuk Perbetulkan Tanggapan Konsep Sains Fiksyen, dijelaskan serba ringkas takrifan karya fiksyen sains, konsep dan sifatnya yang membentuk ciri-ciri spesifik naskhah sains fiksyen. Bukan hal baharu, karya-karya bercorak sains fiksyen telah bertapak di negara kita sejak dekad 1970-an lewat karya Mohd. Ariffin Siri, Rubaidin Siwar, Mohd Ismail Sarbini dan seterusnya diteruskan oleh pengarang-pengarang kontemporari yang sudah tentu menyerapkan pelbagai suntikan baharu – falsafah dan pemikiran – untuk mempertingkatkan tahap kompleksiti ke dalam karya. Ted Chiang, sebagai contoh, merupakan bintang sensasi baharu dalam penulisan sains fiksyen pada masa kini. Malahan cerpennya, Story of Your Life, telah diadaptasi ke layar perak dengan tajuk Arrival (ditayangkan pada tahun 2016) di bawah arahan Dennis Villeneuve. Sentuhan psikologi, emosi, kekeluargaan dan ke- manusiaan telah meninggikan nilai artistik kepada kandungan filem itu.
Elemen-elemen keanehan
seperti makhluk asing dari angkasa lepas, pengembaraan ke planet Marikh, serangan virus maut dalam sektor perubatan, penceroboh dari spesies berbeza, kecanggihan komunikasi, senjata ciptaan terkini yang sukar diindera secara konvensional dan latar futuristik memperkaya jalur imaginasi seseorang pengarang yang berkecenderungan menulis kisah-kisah di luar daripada lingkungan kebiasaan melalui pendekatan sedemikian. Sama ada sastera yang berbentuk ortodoks atau spekulatif, ia sama-sama memeriahkan langgam penulisan karya kreatif dan menyumbang evolusi idea khazanah kesusasteraan kebangsaan. Tidak ada garis pemisah ketara dalam teks sastera, seandainya karya bercorak sains fiksyen -yang kononnya tidak dianggap sebagai sastera serius – bahkan meluaskan sudut pandang baharu dalam memperlihatkan situasi kemanu- siaan semasa, sebagaimana yang diperlihatkan dalam filem Arrival.
Saya memetik artikel tulisan Muhammad Fakhruddin Safian Shuri yang telah disentuh sebelum ini, sebenarnya, apa yang lebih penting ialah persediaan penulis sebelum menghasilkan karya fiksyen sains seperti mendapatkan maklumat dan membuat penyelidikan berkaitan bidang sains yang ingin dike- tengahkan ke dalam karya, serta peka dengan hubung kait antara bidang sains dengan kemanusiaan yang boleh menjadi per- soalan yang menarik dalam karya. Pendek kata, ia bukan berdasarkan kelainan semata-mata.
Sekurang-kurangnya apa yang diusahakan oleh pengarang dalam naskhah Mod Kuarantin mengimbuh sedikit kelainan. Pengarang memiliki sudut berbeza tentang fenomena yang melanda dunia sekarang. Sejujurnya dalam ranah kesusas- teraan, ia bukanlah teknik baharu dalam naskhah berbentuk sains fiksyen. Nama-nama vaksin yang diangkat oleh pengarangnya memang pilihan yang bijak agar ceritanya tambah lebih dekat dengan keadaan semasa. Barangkali dengan pendekatan sedemikian, pembaca akan sedar betapa dahsyatnya apabila virus COVID-19 meresap ke dalam badan seseorang. Perjuangan Leftenan AstroZeneca bersama- sama dengan sekutunya meru- pakan simbol kepada usaha pihak kerajaan yang bersungguh- sungguh membela nyawa rakyat. Biarpun usaha yang diambil belum menyerlahkan kejayaan seratus-peratus, namun keadaan mula beransur-ansur kembali kepada sediakala. Betapa perit dan sengsaranya Leftenan AstroZeneca ketika terlantar di katil dan sungguhpun begitu, misi harus dilaksanakan walau nyawa menjadi taruhan. Di dunia nyata, kita boleh menyaksikan betapa teruknya anggota-anggota barisan hadapan yang menjadi tulang belakang semenjak virus Covid-19 menyerang setiap pelosok negara.
Secara kesimpulannya, naskhah Mod Kuarantin masih boleh diikuti dan mampu difaha- mi oleh pembaca seadanya. Pengarang telah menunjukkan sikap caknanya sebagai pengarang terhadap isu terkini. Syabas. Zaman pengarang dianggap sebagai pengkhayal dan asyik dengan masalah remeh-temeh, sudah bukan menjadi sandaran modal lagi untuk bersaing dalam arena penulisan kontemporari. Malahan naratif dalam Mod Kuarantin dikawal dengan rapi dan teratur. Itu yang paling pen-ting dalam sesebuah naskhah. Jalan cerita yang mudah juga memberikan kejelasan untuk pembaca mengikuti fokus temanya.
Dalam lapisan kedua naskhah Mod Kuarantin, pengarang seperti melontarkan persoalan halus yang terlindung di balik serangan mengejut wabak COVID-19. Adakah virus itu diciptakan secara sengaja? Dan untuk apa agendanya? Itulah ciri-ciri karya fiksyen spekulatif yang cuba memancing taakulan pembaca. Saya mencadangkan agar Benjamin Asin membaca buku karangan Noam Chomsky bertajuk Who Rules The World yang menganalisis dengan ter- buka situasi perkembangan dunia dari sudut pandangan seorang intelektual awam.
Umum menyedari menulis naskhah berbentuk realisme me-mang sukar dikarang andai tiada sumber cerita dan maklumat- maklumat yang diperlukan untuk mengukuhkan struktur. Apatah lagi apabila seseorang hendak menulis dari suatu bidang yang bukan menjadi autoriti dan kepakarannya. Walaupun demikian, pengarang naskhah telah memberikan bahan-bahan yang berkaitan dengan subjek cerita- nya dengan maklumat-maklumat yang tersebar melalui dalam ta- lian. Kesan-kesan fizikal yang dialami oleh mereka yang disahkan positif dipaparkan selayaknya. Itulah mustahaknya pembacaan yang menjadi pelantar kepada pembinaan naratif. Semakin jauh pembacaan seseorang penulis demi memperdalam subjek yang hendak ditulis, maka, semakin luar biasalah tahap kerja penu- lisannya.