KEADILAN tidak membezakan dari segi kedudukan, pangkat dan darjat.
PROSES perundangan berupa suatu kaedah penimbangtaraan terhadap apa-apa juga kes salah laku jenayah, tidak kira seberat mana mahupun melibatkan mana-mana individu, bagi mencapai suatu keputusan yang saksama sebelum sesuatu sabitan dibuat dan hukuman dijatuhkan. Dalam sistem perundangan negara, Perlembagaan Persekutan berupa dokumen ‘induk’ yang bertindak sebagai rujukan apabila timbul apa-apa juga kesangsian, pertikaian mahupun ketidakpastian tentang pentafsiran mana-mana klausa dalam mana-mana akta.
Akta berupa dokumen perundangan yang memperincikan bukan sahaja tentang apa-apa bentuk salah laku atau jenayah serta hukumannya, malah menjelaskan fungsi serta matlamat penubuhan sesuatu organisasi atau kementerian, bidang-bidang kuasa dan peraturan-peraturan tertentu. Suatu rang undang-undang (RUU) terlebih dahulu dicadangkan dan digubal sebelum dibentangkan, diperdebat serta diperhalusi dalam sidang Parlimen. Sesuatu RRU, sama ada RUU awam, persendirian, hibrid atau tenpatan, akan hanya menjadi akta setelah diluluskan setelah melalui proses pembacaan sebanyak 3 kali sebelum diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk diwartakan dan penguatkuasaannya diamalkan.
Lantaran hakikat yang sedemikian, apa-apa juga bentuk akta yang diguna pakai dalam proses penimbangtaraan, pelaksanaan dasar dan peraturan, telah setidak-tidaknya, dibahaskan secara terperinci dan mendalam dengan melihat keberkesanannya, kewibawaannya serta kebolehpercayaan dalam konteks penegakan keadilan dan kesaksamaan. Tidak ada sesiapa yang mengatasi kedautan undang-undang (no one is above the law) dan keadilan tidak seharusnya diamalkan semata-mata, akan tetapi harus disaksikan diamal secara zahirnya (justice must not only be done, but also be seen to be done), dictum yang digagaskan oleh Lord Hewart, Lord Chief Justice England dalam kes Rex lwn. Sussex Justices pada tahun 1924.
Berdasarkan kedua-dua kenyataan berkenaan, jelas bahawa apa-apa bentuk undang-undang yang dikuatkuasakan, bertujuan untuk mengawal sebahagian daripada komponen kehidupan manusia dalam konteks pengawalan dan pengekalan ketenteraman, keamanan dan keharmonian kehidupan bermasyarakat. Tidak kira sama ada bentuk ‘hukum’ berkenaan berupa hukum yang digariskan dalam konteks keagamaan, mahupun yang ‘dibuat’ oleh manusia, fungsinya serupa. Namun, sejauh manakah sistem perundangan di dunia ini mampu menegakkan unsur keadilan yang mencakupi setiap daripada kalangan ahli masyarakatnya tanpa mengira ras,anutan agama, pangkat dan darjat? Persoalan yang bukannya pertama kali ini dilontarkan, akan tetapi telah kerap kali talun-menalun, namun talunannya seakan-akan dituntun pawana jauh ke samudera, lantas menghilang.
Sememangnya wujud kewajaran persoalan yang sedemikian dilontarkan bagi menjamin kesaksamaan dan keadilan buat setiap daripada kalangan ahli masyarakat terpelihara dan terjamin. Kewajaran yang bukan bukan berupa ‘suka-suka’ atau hearsay, akan tetapi berlandaskan dan bersaksikan beberapa ‘situasi’ dan ‘keputusan’ yang kurang menyenangkan, membimbangkan serta meragukan. Aspek keraguan di pihak kanta taakul masyarakat, yang berupa landasan dalam penimbangtaraan apa-apa bentuk pertuduhan kes mahkamah, iaitu, keraguan munasabah (reasonable doubt).
Malah, keputusan beberapa kes yang melibatkan individu-individu berprofil tinggi, dilihat bersifat terlalu ‘lembut’ (linient) sehingga menimbulkan kesangsian masyarakat tentang aspek kesamarataan dalam sistem perundangan, khususnya yang melibatkan sabitan dan hukuman. Malah, hal yang sedmikian turut mendapat perhatian masyarakat dunia secara umumnya. Situasi yang menimbulkan istilah ‘jerung’, ‘kluster kayangan’, ‘kluster mahkamah’ dan seumpamanya. Haruskah masyarakat dipersalah jika berpandangan sedemikian? Daun tidak kan bergoyang, tanpa kehadiran angin yang meniupnya, demikian antara peribahasa Melayu lama yang mentamsilkan keadaan sedemikian.
Penegakan keadilan seharusnya berlandaskan kepada aspek akauntabiliti dan integriti, di samping melayan setiap tertuduh adalah sama dari segi kedudukannya di muka pengadilan, iaitu manusia biasa. Tidak seharusnya wujud penyempadanan dari segi pangkat dan kedudukan. Pangkat dan kedudukan sering membataskan dan menjejaskan proses penimbangtaraan yang seadil-adilnya. Wujudkah keadilan dalam situasi seorang ibu tunggal yang terdesak untuk kelangsungan hidup anak-anaknya yang kelaparan, mencuri sebuku roti misalnya, dijatuhi hukuman setimpal dengan kesalahannya sedangkan individu yang sabit kesalahan mencuri beratus ribu ringgit sebalik peniraian kedudukannya, masih berlegar-legar bebas menunggu kes rayuan? Contoh yang dipaparkan hanya satu daripada yang nyata terjadi. Subjek yang sensitif untuk diperincikan, akan tetapi situasi sedemikianlah yang ‘disaksikan’ berlaku. Penulis menyerahkan kepada diri masing-masing untuk menilainya.
Hakikatnya, konsep kedaulatan undang-undang seperti yang diperuntukkan dalam Rukun Negara wajar diterapkan, seperti penerapan teras-teras lain yang disenaraikan bagi menjamin keadilan dan kesaksamaan dikekalkan dan dipertahankan bagi menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat secara umumnya. Tidak ingin lagi kita mendengar ‘bisikan’ bahawa sistem perundangan negara ‘diperkotak-katikkan’. Pun tidak mahu terjadi ‘kehilangan’ kepercayaan masyarakat terhadap sistem perundangan negara. Memetik kata-kata dalam sebuah buku karya Gina Luv, ‘kebebasan, kemerdekaan dan keadilan tidak seharusnya memiliki persempadanan, apa-apa yang tidak memisahkan kita, menyatukan kita’ (freedom, liberty and justice should hold no barriers: what doesn’t divide us, will unite us. Selami dan taakuli.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!