ADALAH satu cadangan yang baik untuk mengusahakan pewujudan lebih banyak Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di peringkat daerah di seluruh Sarawak.
Setakat ini, PAWE yang dikendalikan oleh Kementerian Wanita, Kanak dan Kemajuan Komuniti berhasrat untuk menambah lagi bilangan 13 PAWE yang ada kepada 45 dalam masa terdekat.
Hal ini bersesuaian sekali memandangkan jumlah golongan yang mencapai gelaran di bawah kategori warga emas sudah mencecah 345,000.
Peningkatan bilangan golongan itu memerlukan pengedalian yang sistematik melalui institusi yang terurus seperti PAWE agar warga tua mudah terarah untuk menyesuaikan diri dengan usaha pembelajaran sepanjang hayat agar golongan berkenaan masih relevan untuk membuat sumbangan yang signifikan dalam masyarakat.
Lagipun, cara masyarakat berurusan dengan warga emas berbeza dari satu tempat ke satu tempat, bergantung pada cara dan budaya masyarakat tertentu, sama ada berlandaskan etnisiti, mahupun adat resam serta tata cara agama masing-masing.
Ada kelompok yang betul-betul prihatin terhadap kebajikan warga emas secara semula jadi, ada juga yang melakukannya beralaskan ‘hipokrisi’, dan ada pula segelintir pihak yang seolah-olah meletak warga emas bagaikan melukut di tepi gantang.
Dari aspek hak asasi manusia, penjagaan dan kecaknaan terhadap warga emas memang diiktiraf.
Dari satu sudut pula, ada dalam kalangan warga emas yang ‘tidak selesa’ dengan penjagaan PAWE berkemungkinan atas sebab keegoan dan seumpamanya. Apa-apapun jua hakikatnya, dalam sebuah masyarakat yang ulung ketamadunannya, keprihatinan terhadap golongan tua merupakan tatasusila yang diiktiraf umum.
Sesungguhnya Malaysia menghala ke arah Negara Menua (Ageing Nation) menjelang 2030. Kita tidak mahu warga tua kita menjadi beban kepada masyarakat pada ketika mencapai usia tua setelah banyak menyumbang tenaga dan bakti sepanjang hayat mereka sewaktu muda.
Institusi seperti PAWE juga wajar dipertingkatkan ruang lingkup aktivitinya supaya menjadi wadah yang sesuai untuk menjajarkan pengetahuan warga emas agar relevan dengan peredaran zaman.
Pada zaman digital ini, sudah tentulah cakupan ruang lingkup yang perlu warga emas fahami adalah perubahan iklim kerja kontemporari.
Warga emas terdiri daripada pelbagai latar belakang – baik latar belakang akademik, mahupun pengalaman mentah yang dilalui masing-masing.
Pengendali yang ditugaskan untuk mengurus setiap PAWE wajarlah tahu dan mahu memahami pekuliariti kelompok di tempat masing-masing, serta menyesuaikan cakupan perkara PAWE masing-masing untuk menggeraktindakkan pusat masing-masing mengikut kesesuaian penghuninya.
Biarlah warga emas terus mencurahkan bakti mereka kepada masyarakat pada hari-hari terakhir mereka. Semoga usaha sedemikian boleh dijadikan ‘azimat’ berguna untuk generasi penerus.