POKOK Ijuk dikategorikan di bawah tumbuhan nadir (jarang-jarang ada atau didapati ganjil) di Malaysia.
Dalam bahasa Inggeris pokok ijuk dikenali sebagai palm sugar, arenga palm, areng palm dan gomuti palm.
Di Sabah, selain dikenali dengan nama ijuk, pokok ini juga disebut sebagai pokok aren.
Di Kalimantan, pokok ini dipanggil enau. Kita di Malaysia mengenali perkataan “enau” daripada pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” yang membawa maksud keadaan “mementingkan diri”.
Pepatah ini dikaitkan dengan makna sebagaimana sifat pokok ijuk memiliki sifat kemandirian yang tinggi dalam persaingannya bagi membolehkannya untuk terus hidup di hampir semua habitat.
Kamus Dewan edisi keempat mendefinisikan “ijuk” sebagai sejenis serabut yang berwarna hitam pada pangkal pelepah enau (boleh dibuat tali dan atap).
Di Sarawak, pokok ijuk paling banyak dijumpai di Song (dalam Bahagian Kapit) dan di Lubuk Antu (Bahagian Sri Aman). Di daerah Song dan Lubuk Antu terkenal dengan air ijuk atau tuak ijuk yang diusahakan secara kecil-kecilan oleh tukang tanduk.
Di pekan Song, terdapat tempat jualan yang dikhaskan untuk menjual produk ijuk.
Hasil daripada pemerhatian, pengamatan dan pengalaman inilah, seorang guru tempatan, Philip ak Beginda yang berasal dari rumah panjang di Rumah Aut, Nanga Temalat, Song telah menghasilkan sebuah buku berjudul “IJUK” yang berjaya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur pada 2019.
Philip ak Beginda merupakan orang tempatan kelahiran Nanga Temalat, Song yang berjaya menamatkan pengajian ke peringkat Master of Sains (Educational Management).
Buku setebal 100 muka surat itu adalah dalam Siri Tumbuhan Nadir DBP.
Pelbagaikan kegunaan ijuk
Dalam prakata bukunya itu, Philip menjelaskan: “…produk ijuk yang dihasilkan hanyalah dalam bentuk air ijuk sahaja dan masih belum dipelbagaikan.
“Keadaan ini tidak banyak membantu pengusaha ijuk dari segi pemasaran. Bagi mencapai hasrat tersebut, maka perlu dibuat satu kajian berbentuk penulisan untuk mempopularkan dan mencari kaedah mempelbagaikan kegunaan ijuk.
“Langkah ini dapat membantu memperluas pengetahuan dan pasaran ijuk pada masa hadapan untuk dimanfaatkan oleh semua.”
Di Indonesia, ijuk telah dikomersialkan secara meluas, termasuklah banyak kilang didirikan untuk memproses gula ijuk. Gula ijuk dapat mengurangkan kandungan glukosa dalam darah jika dibandingkan gula putih yang sering dikaitkan dengan penyakit kencing manis atau diabetes.
Penyelidikan juga banyak dilakukan di Filipina tentang “kaong” (ijuk). Bagi Indonesia dan Filipina, produk ijuk boleh tampil dalam bentuk kosmetik, hiasan dan peralatan.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Philip Beginda, ijuk berpotensi besar untuk dijadikan sebagai sumber utama dalam penghasilan biobahan api (etanol). Penggunaannya sebagai bahan bakar petrol pada kenderaan dihasilkan apabila bioetanol dicampurkan dengan premium yang dikenali sebagai gasohol dalam nisbah 10:90.
Kualiti etanol yang dihasilkan dikategorikan sebagai fuel grade ethanol (FGE) dengan kadar etanolnya sebanyak 99 peratus.
Serat ijuk juga boleh digunakan dalam menghasilkan kon blok untuk mengukuhkan simen jalan, seperti yang pernah dikajiselidikkan oleh Yuwono S. di universitas di Indonesia pada 1990.
Kegunaan-kegunaan lain serat ijuk termasuklah sebagai bahan fiber komposit, pengadang radiasi, pencegah anai-anai, serta pelbagai guna dalam industri makanan dan juga bidang perubatan.
Khazanah alam
Ijuk adalah khazanah alam yang tidak ternilai manfaatnya kepada manusia. Justeru, adalah satu keadaan tragik sekiranya potensinya tidak diterokai sepenuhnya di Malaysia.
Philip Beginda menganggapnya sebagai “pohon emas” dari aspek kegunaan dalam kesihatan mahupun kegunaan umum yang dapat dimanfaatkan bermula dari akar hingga ke hujung pucuknya.
Saranannya adalah agar ijuk cuba dirungkaikan nilai komersial lainnya selain daripada tuak, yang boleh dijadikan bahan asli dalam pembuatan sumber makanan atau minuman yang lain tanpa mengira bangsa atau agama.
Perusahaan ijuk secara komersial dapat dijadikan sebagai industri desa.
Cabaran
Menurut pengamatan penulis buku ini, kebanyakan generasi muda, termasuklah mereka yang menetap di luar bandar, mempunyai pengetahuan yang cetek tentang pokok ini kerana ia tumbuh secara liar dan tersembunyi di celah-celah pokok lain.
“Saya mendapati penghuni rumah panjang agak ramai yang berkumpul pada setiap petang untuk menikmati minuman air ijuk atau tuak ijuk, yang diusahakan secara kecil-kecilan oleh tukang tanduk. Begitu juga di pekan Song, didapati ramai penggemar minuman ijuk di pasar tamu yang disediakan khas oleh Majlis Berkuasa Tempatan. Hasil pemerhatian, perbualan dan perkongsian idea, saya dapati bahawa perusahaan ijuk mampu memberikan pulangan yang baik. Perusahaan ijuk boleh dijadikan sebagai pekerjaan alternatif yang mampu menambah pendapatan penghuni rumah panjang dan penduduk luar bandar secara keseluruhannya,” katanya.
Walaupun pokok ijuk mempunyai tahap kemandirian yang cukup baik di samping memiliki kemampuan hidup secara liar, namun, pokok ini masih terdedah kepada ancaman kepupusan akibat sikap manusia sendiri yang kurang prihatin.
Pokok ijuk juga terdedah kepada pemusnahan persekitaran akibat aktiviti penebangan hutan secara berleluasa. Kurangnya pengetahuan tentang kegunaan dan manfaat pokok ijuk menyumbang kepada aktiviti penebangan. Hal ini mengakibatkan pokok ijuk semakin kurang kelihatan di sesetengah tempat.
Perladangan Ijuk
Indonesia dan Filipina sudah lama menanam pokok ijuk secara komersial.
Perladangan ijuk di Malaysia telah dirintiskan di Tawau, Sabah sejak tahun 1993 oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh serta beberapa orang rakan kongsi beliau dan telah berjaya menghasilkan sirap ijuk dan gula ijuk.
Kejayaan awal itu telah menyaksikan produk ijuk berjaya di eksport ke luar negara seperti Amerika Syarikat.