DUA pejalan kaki menggunakan pelitup muka ketika menyeberangi jalan di Oxford Street di pusat London. England bakal membatalkan perintah kuarantin selepas diuji positif Covid-19 jika tahap jangkitan kekal stabil.• Foto AFP
LONDON: England akan membatalkan keperluan perintah kuarantin selepas diuji positif Covid-19 akhir bulan ini jika tahap jangkitan kekal stabil, ujar Perdana Menteri Boris Johnson secara tidak dijangka mengumumkannya pada Rabu lalu.
Langkah yang dicadangkan itu akan menjadi salah satu pelonggaran peraturan Covid-19 yang paling dramatik yang diambil oleh mana-mana negara setakat ini dalam wabak itu berikutan Johnson menggandakan strategi cuba ‘hidup bersama Covid-19’.
Bagaimanapun, ia berkemungkinan menjadi kontroversi, dengan pakar kesihatan memberi amaran kepada kebanyakan dunia masih perlu diberi vaksin dan ahli politik pembangkang United Kingdom (UK) bertanya sama ada penasihat saintifik kerajaan menyokong perubahan yang dirancang.
Johnson yang terpengaruh dengan pendedahan jelas pelanggaran peraturan Covid-19 di Downing Street yang menyebabkan desakan agar beliau berhenti, sebelum ini berkata dia berhasrat untuk menamatkan peraturan kuarantin pada 24 Mac depan.
Tetapi, ketika berucap kepada penggubal undang-undang sebelum Parlimen memasuki cuti berehat bermula semalam hingga 21 Februari, beliau akan membawa perubahan itu sebulan lebih awal dan mendapat sorakan daripada sekumpulan rakan Ahli Parlimen Konservatif yang semakin letih dengan sekatan itu.
“Adalah hasrat saya untuk kembali pada hari pertama selepas rehat separuh penggal bagi membentangkan strategi kami untuk hidup bersama Covid-19.
“Dengan syarat trend semasa yang menggalakkan dalam data berterusan, kami akan dapat menamatkan sekatan domestik terakhir, termasuk keperluan undang-undang bagi kuarantin jika diuji positif sebulan lebih awal.” kata Johnson kepada Parlimen.
Jurucakap Johnson kemudian memberitahu pemberita bahawa ia wajar dengan penurunan jumlah kes dan kadar kemasukan ke hospital, tetapi menyatakan perintah bagi kuarantin boleh dikenakan semula dengan segera sebagai tindak balas kepada varian baharu yang berbahaya.
Kerajaan UK hanya bertanggungjawab ke atas dasar kesihatan di England, manakala Scotland, Wales dan Ireland Utara menetapkan peraturan mereka sendiri.
England menarik balik hampir semua sekatan Covid-19 pada akhir Januari lalu dengan pelitup muka dan pasport vaksin tidak lagi diperlukan di tempat tertutup.
Terdahulu. kerajaan mengumumkan 66,183 jangkitan baharu pada Selasa lalu dan 314 kematian baharu akibat virus itu menjadikan jumlah keseluruhan negara itu hampir 159,000 kematian, salah satu angka tertinggi di Eropah.-AFP