KETUA Polis Johor Datuk Kamarul Mamat (kanan) menunjukkan rampasan mesin bitcoin ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, semalam. Tujuh ditahan bersama rampasan dadah ecstacy, magic mushroom bernilai RM1.04 juta di Johor Bahru Sabtu lepas. • Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Polis menum- paskan satu sindiket mengedar dadah menggunakan perkhidmatan kiriman cepat selepas memberkas tujuh individu dan merampas sejumlah dadah bernilai RM1.04 juta, Sabtu lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lima lelaki tempatan dan dua wanita warga asing berusia 22 hingga 56 tahun itu ditahan dalam tujuh serbuan di sekitar sini bermula 3.00 petang hingga 11.00 malam.
Beliau berkata pihaknya me- rampas 3.02 kilogram (kg) serbuk ekstasi bernilai RM151,050 dan 17.70 kg magic mushroom bernilai RM885,100 serta wang tunai berjumlah RM21,850 di samping menyita tiga kereta bernilai RM113,800.
“Modus operandi sindiket yang telah beroperasi sejak November 2021 itu adalah dengan menghantar dadah menggunakan perkhidmatan kiriman cepat untuk pasaran Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, dua daripada mereka yang ditahan didapati positif dadah dan lima suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.
Katanya, kesemua individu itu direman hingga 12 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu Kamarul Zaman berkata satu sindiket pe- merasan melibatkan ugutan dan penyebaran video bogel berjaya ditumpaskan pihaknya, susulan penahanan tujuh individu me- nerusi ‘Op Bugil’ pada 16 Januari lepas.
Beliau berkata empat lelaki dan tiga wanita, berusia 25 hingga 54 tahun, ditangkap dalam enam serbuan berasingan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.
Katanya sindiket itu memperdaya mangsa, kebanyakannya lelaki berusia 20an hingga 40an, untuk melakukan panggilan video sambil berbogel dan membuat aksi lucah menerusi aplikasi MiChat, WeChat dan Whatsapp.
“Sindiket berkenaan kemudiannya akan menggunakan rakaman itu untuk mengugut mangsa dan jika mangsa tidak bayar, rakaman itu akan ditularkan di media sosial,” katanya.
Kamarul Zaman berkata hasil tangkapan itu pihaknya berjaya menyelesaikan 25 kes berkaitan jenayah ugut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Sementara itu katanya 368 aduan berkaitan ugutan penyebaran video bogel membabitkan anggaran kerugian RM485,013, direkodkan sejak Januari 2021 sehingga kini. – Bernama