KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merangka pendekatan lebih agresif pada tahun ini dalam mengeratkan dan menguatkan peranan, sumbangan serta penglibatannya dalam pengembangan ilmu melalui perancangan dan pembentukan kerjasama rakan-rakan strategik di universiti-universiti pengajian tinggi di Kalimantan, Indonesia.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi berkata, dengan pengumuman Nusantara di Palangkaraya, Kalimantan Timur sebagai ibu negara Indonesia yang baharu, UNIMAS juga komited untuk terus menempa nama dan melonjakkan keberadaannya di antara barisan institusi pengajian tinggi yang terulung di wilayah Borneo.
“Kerjasama strategik ini amat penting dalam usaha memantapkan pelbagai jalinan kerjasama, bukan hanya dalam aspek akademik tetapi juga dalam aspek-aspek lain yang boleh memberi manfaat kepada pelajar, warga universiti dan masyarakat keseluruhannya di kedua-dua buah negara.
“Antaranya, kebersamaan dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan dan penerbitan, perkongsian sumber mobiliti penyelidik dan pelajar, serta penganjuran ata penyertaan ekspo penyelidikan dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Naib Canselor UNIMAS 2022 di DeTAR PUTRA UNIMAS, Kota Samarahan, semalam.
Tambahnya, UNIMAS yakin, kerjasama dan komitmen yang akan dimeterai ini bakal meneroka program-program kerjasama yang boleh diperkembangkan dari semasa ke semasa.
“Selain daripada memperluaskan bidang kerjasama, universiti berharap kolaborasi ini bakal menjadi wadah bagi para penyelidik berkongsi penemuan dan hasil penyelidikan terkini serta bertukar pandangan dalam permasalahan semasa,” ujarnya.
Selanjutnya, kolaborasi ini akan membuka ruang perkongsian pengalaman untuk mencari atau menzahirkan pendekatan yang terbaik dalam menangani sesuatu isu.
“Impak keberhasilan kerjasama ini dilihat bakal menyemarakkan lagi kegiatan ilmiah dalam kalangan para penyelidik di institusi-institusi pengajian tinggi di rantau ini secara amnya, dan di UNIMAS khususnya,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri baru-baru ini telah melancarkan Yayasan MYSDG. Tujuannya adalah untuk merapatkan jurang pembiayaan dan memudahkan inisiatif bersama oleh pelbagai pihak berkepentingan bagi menterjemah aspirasi SDG kepada tindakan praktikal melalui kerjasama pelbagai pihak.
“Justeru, dalam amanat Menteri Pengajian Tinggi, beliau turut menekankan tentang Education for Sustainable Development (ESD) yang merupakan pembolehdaya utama dalam mencapai SDG.
“Oleh itu, kita perlu mengambil peluang ini dengan menyatukan semua kekuatan dan mengoptimumkan kepakaran sedia ada di UNIMAS untuk mencapai keseimbangan persekitaran masyarakat dan ekonomi khususnya di Sarawak dan Malaysia, amnya,” katanya lagi.
Bagi menarik kedatangan pelajar antarabangsa untuk mengikuti program pengajian yang ditawarkan oleh UNIMAS, universiti akan mewujudkan kampus baharu yang merupakan satu kaedah pemangkin dalam pengantarabangsaan sesebuah universiti.
Penubuhan kampus satelit di Cyberjaya adalah ibarat pintu gerbang yang mampu menarik pelajar-pelajar dan komuniti antarabangsa agar dapat membawa jenama UNIMAS ke peringkat global.
Kampus Cyberjaya menawarkan fleksibiliti dan mobiliti dalam usaha pendidikan melangkau benua, ataupun ‘cross-border curriculum’.
Selain itu, kampus ini bertindak sebagai jendela promosi UNIMAS bagi para pemegang taruh yang belum berpeluang menjejak kaki ke Bumi Kenyalang. Dengan adanya kampus satelit Cyberjaya ini juga, UNIMAS akan dapat memperkasakan agenda edu-tourism.
Oleh NUR AIN OTSMAN