KUCHING: Sarawak terus mendahului apabila 12,301 daripada jumlah 62,809 kanak-kanak di seluruh negara yang menerima suntikan vaksin Covid-19, adalah dari negeri ini setakat 9 Februari lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Program Vaksinasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Sarawak telah menyumbang sebanyak 40 peratus peningkatan jumlah pemberian vaksin dos pertama negara.
“Jumlah kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang layak untuk diberi vaksin di Sarawak ialah seramai 286,000 iaitu 10.1 peratus daripada jumlah populasi di Sarawak dan setakat 9 Februari, peratus liputan dos pertama vaksinasi dikalangan kanak-kanak di negeri ini adalah seramai 12,301 orang iaitu sebanyak 4.1 peratus.
“Sarawak negeri yang ke hadapan dalam negara hari ini malah pencapaian Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) adalah 4.6 peratus sedangkan Sarawak melonjak 4.1 peratus dan saya difahamkan semalam peningkatan negara 40 peratus adalah datang dari negeri ini,” katanya selepas melakukan lawatan kerja pelaksanaan PICKids di Klinik Kesihatan Batu Kawah, di sini semalam.
Katanya lagi, Pihak Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) akan berusaha untuk memperkasa PICKids melibatkan pusat pemberian vaksin (PPV) sekolah selewat-lewatnya 14 Februari ini.
“Kita akan fokus kepada PPV sekolah, maka selepas mesyuarat CITF-C pada Jumaat, kita akan keluarkan satu kenyataan berhubung pelaksanaannya yang dijangka mulakan di seluruh negara selewat-lewatnya 14 Februari ini.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus mensasarkan 70 peratus kanak-kanak yang layak dalam sistem pendidikan diberikan dos pertama dalam tempoh dua bulan ini,” katanya.
Setakat 8 Februari, Sarawak telah mencapai peratus liputan dos 1,876,285 orang ataupun 91.9 peratus populasi dewasa 18 ke atas dan juga 259,923 orang ataupun 88.7 peratus bagi remaja 12 hingga 17 tahun.
Untuk keseluruhannnya, 75.8 peratus populasi di negeri ini telah menerima suntikan lengkap dos vaksin sementara 84 peratus mereka yang layak telah menerima dos penggalak.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.
Oleh AZREEN KERIA