PROGRAM pendidikan Literasi Fungsian (PLF) di Jabatan Kemajuan Masyarakat
( KEMAS ) telah bermula pada tahun 1961 dengan dimulakan melalui penubuhan Bahagian Pelajaran Dewasa di Semenanjung Malaysia.
Menurut Pegawai KEMAS Marudi, Hamisah Saadi pada tahun 1963 kelas ini diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.
Bermula tahun 2010, Unit Literasi Kemas telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan program “Outreach PLF yang dikenali sebagai “Literasi For Adults Skill” (LEADS) dengan melantik anak tempatan sebagai tenaga pengajar.
Tenaga pengajar ini akan dilatih sebelum memulakan bagi memastikan mereka benar-benar bersedia dan memahami penggunaan modul yang akan digunakan di dalam kelas.
Bagi memastikan sasaran Kemas dalam pembasmian buta huruf, kelas Pendidikan Literasi Fungsian versi 2.0 PLF2.0 telah diperkenalkan pada tahun 2015, manakala sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas PLFV2.0 ini diambilalih oleh Pemaju Masyarakat Tabika.
Bagi Tahun 2021, Bahagian Pembangunan Komuniti telah menetapkan pembukaan kelas sebanyak 30 buah kelas LEADS dan 70 buah kelas PLF 2.0 dengan sasaran peserta seramai 900 orang di seluruh Sarawak.
Jelas Hamisah, bagi memberikan penghargaan kepada para peserta kedua-kedua program ini, hanya peserta yang berjaya menamatkan kelas ini sahaja akan diberikan sijil penyertaan oleh pihak KEMAS.
Ia bagi menghargai dan meraikan kejayaan mereka yang berjaya menamatkan kelas selama tiga bulan untuk kelas LEADS dan dua tahun untuk kelas PLF hakiki.
Bagi pencapaian KEMAS Baram pada tahun 2021, kuota pembukaan kelas LEADS hanya sebuah kelas sahaja iaitu kelas LEADS Rumah Julau Sungai Kelabit Atas Beluru Bakong dengan jumlah peserta 15 orang dan kelas PLF Hakiki sebanyak enam buah kelas iaitu PLF Kampung Dagang, PLF Kampung Pemindahan dan PLF Sungai Selejau dengan jumlah peserta seramai 30 orang di bawah didikan kakitangan KEMAS yang terlatih iaitu Cikgu Siti Salmah, Cikgu Rita dan Cikgu Ros.
Lanjutan daripada itu pihak KEMAS juga amat mengalu-alukan kepada semua Ketua Kaum untuk bekerjasama denghan bagi membantu mengenalpasti penduduk kampung sekeliling yang tercicir dari sekolah yang berusia 40 tahun sehingga 60 tahun ke atas dan masih lagi belum menguasai aspek membaca, belum kenal nombor-nombor dan belum mampu menulis, lebih-lebih lagi dalam era digital yang kini amat menekankan penggunaan internet yang lebih pantas dan sebagainya.
Dalam pada itu menurut beliau sebagai langkah dan inisiatif kerajaan ingin membantu rakyat pedalaman agar sejajar dengan kemajuan negara-negara lain yang sudah lebih jauh ke hadapan.