PELAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengharam penjualan rokok serta semua produk berkaitan merokok terhadap warganegara yang lahir selepas 2005 amat dialu-alukan.
Demikian reaksi masyarakat umum selepas Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin menyatakan dalam kenyataannya yang dikeluarkan sempena Hari Kanser Sedunia pada Jumaat (4 Februari) lepas yang KKM sedang mengkaji pelaksanaan pengharaman serta peruntukan-peruntukan berkaitan dalam Akta Kawalan Tembakau dan Merokok untuk dibentangkan dalam Parlimen.
Di Kuching Society for Cancer Advocacy and Awareness (SCAN), melalui presidennya, Sew Boon Lui, telah menyokong bahawa tindakan KKM itu berupaya mengurangkan kematian akibat kanser dalam masa akan datang.
Menurut SCAN, 27 peratus daripada kematian kanser di dunia adalah berkaitan akibat penggunaan tembakau dan alkohol. Di Malaysia pula, tambahnya, 90 peratus daripada perokok bermula sebelum usia 18 tahun.
Malah, Sew yakin, kemudian nanti, apabila usaha awal itu berjaya, pengharaman merokok secara umumnya dapat dijadikan realiti.
Kerajaan sepatutnya bertindak tegas dalam pengharaman merokok di tempat awam, terutama sekali di tempat-tempat makan.
SCAN juga menyarankan agar semua perokok yang ada berhentilah merokok, sambil juga menyarankan agar pendidikan tentang kesedaran mengenai bahaya kanser diperhebatkan pada semua peringkat.
Kanser, atau barah, adalah penyakit nombor dua paling bahaya selepas penyakit jantung.
Sejak 4 Februari 2000 semasa Persidangan Kanser Sedunia yang diadakan di Paris, Union of International Cancer Control (UICC) telah mengisytiharkan tarikh 4 Februari setiap tahun sebagai Hari Kanser Sedunia.
Di Sarawak, gerakan itu mendapat sokongan padu pihak kerajaan yang berhasrat untuk membina sebuah Pusat Jantung Sarawak. Baru-baru ini kerajaan Sarawak telah menerima peralatan pengesan Tomografi Berkomputer Pelepasan Foton Tunggal (SPECT) Siemens yang berongkos RM11.63 juta. Ini bukti jelas sokongan terhadap perkhidmatan bantuan kanser sebagai iltizam yang bersungguh-sungguh.
Harus disedari dan diterima hakikat bahawa rawatan kanser amat mahal dan majoriti besar rakyat Malaysia tidak mampu untuk mendapatkannya walaupun dibantu oleh liputan insurans.
Bagi Sarawak, walaupun ada dalam kalangan pakar perubatan kita memiliki kepakaran dalam mengendali penyakit kanser, tanpa kemudahan-kemudahan yang dapat diperolehi secara tempatan, kos untuk mendapatkan rawatan ke Semenanjung Malaysia mahupun ke Singapura sudah pasti memakan belanja yang amat mahal dan tidak praktikal untuk dicapai oleh semua pihak.
Kita harus bertindak bijak agar tidak menyesal kemudian.