JANA PENDAPATAN… Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sebastian Ting Chiew Yew (dua dari kanan) mendengar taklimat daripada Abdul Aziz mengenai Projek Tanaman Sayuran Hidroponik yang diusahakan oleh Persatuan Orang Kurang Upaya Fizikal Miri (POKUFM).
Projek Tanaman Sayuran Hidroponik Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) Fizikal Miri (POKUFM) yang diwujudkan pada tahun lalu, memberi ruang dan peluang kepada OKU untuk terus membuktikan kemampuan diri daripada kekurangan yang ada.
Projek tersebut dijalankan di pusat aktiviti POKUFM di Piasau Camp, Jalan Pantai di sini.
Menurut Setiausaha POKUFM, Abdul Aziz Brahim, golongan OKU harus diberi peluang untuk merealisasikan potensi mereka.
“POKUFM memulakan projek tanaman sayur hidroponik pada Disember 2021 dengan tujuan menyediakan persekitaran yang menyokong OKU di pusat persatuan kerana peluang pekerjaan untuk golongan ini adalah sedikit,”katanya.
Abdul Aziz mendedahkan projek itu pada mulanya adalah secara percubaan dan hanya melibatkan 100 pot tanaman sayur.
“Tanaman pertama telah dituai baru-baru ini dan mendapat sambutan menggalakkan daripada rakan dan orang ramai yang datang ke pusat ini untuk membeli sayur-sayuran itu.
“Kami telah menjual hasil tuaian pertama dan berjaya memperoleh sekitar RM450,” katanya.
Menurutnya, hasil jualan digunakan semula untuk membiayai projek hidroponik seterusnya.
Kejayaan POKUFM melaksanakan projek tersebut telah menarik perhatian
Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sebastian Ting Chiew Yew.
Ting telah melawat pusat itu dan memuji usaha persatuan untuk menyampaikan kemahiran dan pengalaman pertanian hidroponik kepada OKU.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada POKUFM bagi tujuan perbelanjaan utiliti dan aktiviti tahunan.
Selain menanam sayur hidroponik, pusat ini turut mengusahakan tanaman nanas di belakang bangunan pusat tersebut.
Sebanyak 1,200 pokok nanas kini ditanam di belakang pusat berkenaan yang terletak di sepanjang Jalan Pantai di sini.
POKUFM merupakan sebuah pertubuhan yang diasaskan oleh beberapa Orang Kurang Upaya (OKU) kategori Fizikal dengan sokongan masyarakat yang prihatin melihat keadaan dan hala tuju masa depan mereka yang berada di Miri.
Sehingga kini keahlian POKUFM seramai 29 orang dengan 16 OKU kategori fizikal, tiga OKU kategori masalah pendengaran dan enam orang sukarelawan.
Oleh LIONG CHAI LING