KUCHING: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing (gambar) mempersoalkan keputusan Men- teri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang masih enggan membenarkan orang ramai memilih jenis vaksin memandangkan jumlah kes baharu positif Covid-19 di seluruh negara kini mencecah lebih 10,000 kes.
Tiong menerusi satu kenyataan berkata, semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, ramai yang mengadu terutamanya para ibu bapa dan pelajar yang mengatakan bahawa mereka tidak dapat memilih vaksin jenis Sinovac ataupun Sinopharm keluaran dari negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebaliknya hanya diberikan vaksin Pfizer sekali gus menyebabkan orang ramai hairan.
“Keadaan ini seolah-olah menunjukkan bahawa Menteri Kesihatan dan Pfizer mempunyai hubungan yang tidak boleh dipisahkan? Jika tidak, kenapa enggan menawarkan vaksin Sinovac dan Sinopharm kepada rakyat?
“Ke mana hilangnya hak rakyat untuk membuat pilihan? Adakah ini cara yang berkesan untuk menggalakkan orang ramai menerima vaksin? Saban hari kita diberitahu bahawa 99 peratus kes positif Covid-19 adalah dalam kategori ringan dan Yang Berhormat (YB) Menteri Kesihatan serta Ketua Pengarah Kesihatan sedang menangani wabak ini.
“Namun, dari segi pencegahan dan kawalan, boleh dikatakan tiada apa pun yang dilakukan secara serius sehingga kita menyaksikan peningkatan kes positif Covid-19 naik mendadak melebihi 10,000 kes hanya dalam masa seminggu sahaja,” tegasnya.
Dalam kenyataan sama, Tiong menyifatkan Khairy tidak ubah se- perti seorang kapten di atas kapal yang mahu karam yang mana apabila keadaan menjadi semakin serius, beliau masih lagi dilihat seolah-olah berpeluk tubuh yang hanya meminta orang ramai sekadar bertenang dan tidak menyebut tentang angka kematian.
“Ini menyebabkan saya tertanya-tanya, sama ada Khairy mengambil peduli tentang hidup mati orang ramai? Adakah beliau hanya mula terasa apabila Covid-19 ini memberi kesan kepada orang di sekelilingnya?
“Wabak ini semakin serius di seluruh negara jadi, apa tindakan Khairy sebagai Menteri Kesihatan yang bertanggungjawab? Mengapa masih tiada perancangan untuk melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa bagi pencegahan wabak yang semakin membimbangkan ini?
“Hari ini (semalam) kes positif Covid-19 di Selangor sahaja sudah mencecah 2,490 kes, kenapa tidak ambil tindakan terhadap kluster sedia ada? Jika ia adalah kluster jangkitan dari kilang, tapak pembinaan atau lain-lain lokaliti, apa sebenarnya yang KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) perlu lakukan? Cukup sekadar dengan langkah pertahanan? Lagipun, tiada satu pun kluster jangkitan ini sepatutnya berlaku, kerana semua ini tidak ada kaitan dengan gelombang musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Tambah Tiong, sekiranya jangkitan tersebut berpunca daripada pengembara yang pulang dari luar negara sehingga menyebabkan jangkitan dalam komuniti, apakah tindakan KKM khususnya dari segi kawalan pintu sempadan, jalan tikus dan sebagainya? Jika kawalannya baik, kenapa varian Omicron boleh tersebar?
Dalam pada itu, Tiong menekankan bahawa memerangi wabak tersebut tidak boleh hanya bergantung pada sesi sidang media semata-mata sebaliknya perlu memberitahu orang ramai mengenai hala tuju dan langkah pencegahan yang berkesan untuk memerangi wabak tersebut.
“Jika tidak, keputusan untuk membuka pintu sempadan adalah sesuatu yang sia-sia kerana pasti tidak mendapat sambutan, tiada siapa berani datang ke Malaysia termasuk pelabur asing. Justeru, langkah-langkah pencegahan wabak sebegini amat mengecewakan dan meletihkan, malah lebih angkuh dengan mengeluarkan kenyataan untuk hidup bersama Covid-19 dan hanya menunggu masa meninggal dunia,” ujarnya.