E-SUKAN atau lebih dikenali dengan panggilan ‘E-Sport’ dalam kalangan generasi muda, semakin berkembang seiring dengan kemajuan teknologi dan kemunculan platform komunikasi.
Permainan video, pemainan telefon pintar dan permainan komputer yang sebelum ini dianggap sebagai satu hobi kesukaan kanak-kanak dan remaja sahaja dan hanya mendatang kerugian serta membuang masa kini mula mendapat perhatian orang ramai.
Keadaan tersebut secara tidak langsung mengubah landskap dan menjadikan E-Sport sebagai salah satu kerjaya yang menjanjikan pulangan pendapatan lumayan.
Misalnya, dengan menggunakan platform media sosial popular iaitu Facebook, penstriman permainan membuka peluang kepada pemain untuk menjana pendapatan menerusi mekanisme kiriman bintang.
Bukan itu sahaja, beribu-ribu pekerjaan juga tercipta dalam industri ini termasuk pemain, jurulatih, pengurus acara, pengadil, pereka permainan, media dan penulis, pakar pemasaran dan sebagainya yang berkaitan.
Maka, tidak hairanlah jika e-sukan yang jelas mampu pacu pertumbuhan ekonomi baharu tergolong dalam senarai kategori utama industri kreatif.
Baru-baru ini, Kelab E-Sport Xiphos menganjurkan Xiphos Offline Tournament 1.0 di Bintulu yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh anak-anak muda tempatan.
Kamarul Ariffin, 25, merupakan ketua kumpulan Devaju yang menjadi juara bagi Kategori PUBG pada pertandingan itu berkata, penganjuran aktiviti sedemikian menjadi tumpuan lebih-lebih lagi setelah sekian lama hanya menyertai pertandingan dalam talian susulan pandemik Covid-19.
“Sebab itu saya dan pemain lain amat teruja dan gembira. Tambahan pula, ini merupakan kali pertama kumpulan saya memenangi pertandingan secara ‘offline’ kerana sebelum kami hanya dapat bermain secara dalam talian,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang menyuarakan sokongan penuh beliau ke atas penganjuran sukan itu ketika berucap pada majlis penutupan pertandingan tersebut.
Menurutnya, aktiviti sukan elektronik sedemikian mampu mengasah bakat dan kemahiran golongan belia yang berminat melangkah lebih jauh dalam bidang tersebut.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kelab Xiphos kerana berjaya menganjurkan acara esport yang luar biasa di Bintulu kerana E-Sport adalah hobi yang sangat popular dalam kalangan anak muda Gen-Z.
‘Sebenarnya bukan sahaja anak muda, malah ramai orang dewasa yang bekerja dan orang tua minat bermain. Ini malah menjadi satu cara untuk mencari rezeki apabila pemainnya bagus dan menang dalam kejohanan esports. Hadiah kebanyakannya sangat menarik.
“E-Sport juga secara rasminya merupakan salah satu acara SUKMA. Jadi saya berharap lebih banyak lagi acara seperti ini boleh dianjurkan pada masa hadapan untuk mengintai dan melatih lebih ramai pemain berpotensi untuk mewakili Bintulu dalam SUKMA,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya lagi, para pemain perlu bijak dalam mengimbangi gaya hidup dengan menguruskan masa antara permainan dan bekerja serta tidak lupa untuk melakukan senaman fizikal di luar.
Oleh CAROLYNE UTIH