SEMEMANGNYA manusia amat bertuah kerana dikurniakan otak yang memiliki sifat keanjalan (plasticity), iaitu keupayaan luar biasanya untuk membentuk struktur serta fungsinya selaras dengan perubahan, sama ada dalaman tubuh badan, mahupun persekitaran luaran. Bahagian luaran yang membentuk sebahagian besar otak yang dikenali sebagai cortex mampu membuat pelarasan sedemikian.
Sifat keanjalan ini menjelaskan fungsi otak yang biasa seperti ke- upayaan kita mempelajari, di samping mengubah perlakuan. Hal sedemikian ini amat ketara pada peringkat kanak-kanak, yang mengupayakan mereka untuk pantas ‘menerima’ input baharu. Dalam konteks orang dewasa, keanjalan otak dikaitkan de- ngan kaedah pemulihan daripada kehilangan deria motor (sensory motor deprivation), kecederaan periferi (peripheral injury) dan kecederaan otak. Di samping itu, hal sedemikian turut ditautkan dengan mengurangkan kesakitan kronik (alleviating chronic pain) di samping perkembangan ke- upayaan menggunakan anggota prostetik seperti tangan robotik bagi golongan paraplegik, atau peralatan bagi golongan tunanetra dan tunakerna.
Sifat keanjalan neural atau saraf inilah membolehkan manusia me- laraskan pemikiran untuk bertindak dalam kerangka pemikiran, sikap serta perlakuan yang berbeza. Segala input yang diterima oleh otak, akan mampu dizahirkan. Situasi yang sedemikian jelas di- buktikan oleh Roger Bannister, atlet dan ahli neurologi dari Britain, yang mencatat rekod kebangsaan dalam larian sejauh 1500 meter, semasa Sukan Olimpik 1952 di Helsinki. Walaupun mendapat tempat keempat, pencapaian ini mendorong beliau untuk menjadi orang pertama yang mampu mencatakan masa di bawah 4 minit bagi larian sebatu. Pada tanggal 6 Mei 1954, di balapan Iffley Road, Oxford, beliau telah berjaya me- lakukan catatan masa 3 minit 59.4 saat, suatu rekod baharu dalam sukan larian jarak sederhana. Walaupun rekod berkenaan hanya mampu bertahan selama 46 hari, namun, hal sedemikian membuktikan bahawa apa-apa juga yang
direncanakan mampu terzahir dengan pelarasan pemikiran, di samping keyakinan yang tinggi.
Untuk merencana perubahan serta mentransformasi landskap dalaman minda bukan sekadar menerapkan kaedah pemikiran secara positif serta mengenyahkan sikap pemikiran secara tipikal. Hal sedemikian tidak ubah seperti menyatakan kepada seseorang yang mengalami kecelaruan keresahan atau anxiety neurosis/disorder, “usah bimbang atau khuatir”. Gesaan yang yang tidak membawa apa-apa impak bagi meneduhkan keresahan yang bersarang dalam nubarinya.
Terdapat beberapa kaedah atau pendekatan yang mampu dite- rapkan untuk mencapai sesuatu keinginan bersandarkan pelarasan minda secara terfokus. Antaranya termasuklah;Pembayangan (visualization)
Banyak input yang diperoleh serta dipelajari daripada dunia sukan berhubung pencapaian yang memberangsangkan. Ahli sukan profesional memahami bahawa kemahiran atau keupayaan semata-mata tidak memadai untuk meletakkan diri mereka pada aras tertinggi mahupun untuk meme- cah rekod yang tercipta. Mereka memerlukan kelebihan (leverage), di samping kekuatan mental aras tinggi. Dalam konteks sukan tanah air, hal sedemikian terkesan dalam peribadi jaguh sukan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei. Bukan sahaja beliau memiliki tahap kemahiran yang ‘luar biasa’ dalam sukan berkenaan, akan tetapi, turut memiliki keyakinan, komitmen, tidak mudah mengalah, di samping kekuatan mental yang jarang- jarang terkesan pada atlet-atlet lain. Sifat yang meletakkan beliau pada suatu tahap berbeza dari- pada yang lain.
Minda sebenarnya tidak mampu membezakan antara yang zahir daripada yang bersifat bayangan atau ilusi. Anda boleh membayangkan diri anda berceramah di hadapan ahli korporat, berjaya mendapat kontrak, bermain golf atau sebagainya, dan minda anda akan memproses hal sedemikian seakan-akan perkara tersebut benar-benar berlaku. Situasi sedemikianlah yang disebut sebagai pembayangan atau visualization.
Pelarasan fokus atau tumpuan yang sedemikian menerbitkan suatu bentuk aliran tenaga. Pengaliran tenaga ini boleh dijadikan satu bentuk realiti dalaman seakan-akan anda mengalami dan mengecapi kejayaan yang diidam-idamkan. Pembayangan sebegini, pada kelazimannya akan memperkuat keyakinan, kegigihan dan kemahuan untuk mencapai apa-apa yang dibayangkan. Sebaliknya, anda boleh melakukan pembaziran masa dengan berasa bimbang, membayangkan senario terburuk dan menyesali tentang sesuatu yang telah berlaku. Sikap yang mampu menghambat kejayaan anda dan selanjutnya membuat anda tidak bahagia.
Merangka pelan biru kejayaan
Untuk merangka pelan biru kejayaan, luangkan sekurang-kurangnya lima belas minit masa anda bersendirian tanpa ada apa-apa unsur gangguan.
Pertama-tama, tenangkan minda anda. Minda tanpa sedar (unconscious mind) tidak akan mampu dicapai sekiranya pemikiran anda berserabut atau berada pada tahap kepekaan yang tinggi. Minda memiliki 6 tahap gelombang otak yang berbeza. Sekiranya anda berada pada tahap aliran gelombang yang digetuskan oleh hormon stres atau tekanan, anda berada pada tahap julat beta, yang diterjemahkan sebagai kecelaruan. Pada tahap yang sedemikian, kemasukan apa-apa juga input baharu tidak akan mampu diserap.
Pejamkan mata anda dengan memberikan tumpuan pada aliran pernafasan. Relakskan bahu anda dan pastikan kedua-dua belah kaki mencecah lantai. Setelah andai mencapai suatu tahap ketenangan, bernafaslah dengan cara tempoh hembusan nafas lebih panjang daripada semasa menghela nafas. Bernafas cara begini mengge- rakkan sistem saraf pusat kepada tahap respons parasimpatetik yang memperlahankan gelombang minda untuk mencapai tahap gelombang minda theta, iaitu serupa hipnosis.
Fokus tentang apa-apa yang anda mahukan. Laraskan sepenuh tumpuan kepada pencapaian kejayaan dan bukan sebaliknya. Dengan berbuat demikian, anda membentuk suatu kerangka pelan biru yang bakal dicerna oleh minda yang secara tidak langsung menghadirkan aura positif dalam diri. Aura yang selanjutnya merantaikan tindakan positif mengarah kepada kejayaan.
Seperkara yang perlu diambil kira adalah pembayangan atau pemvisualan keupayaan diri anda pada tahap maksimum atau dalam erti kata lain, pencapaian yang terbaik. Apa-apa yang divisuali- sasikan, perlu lari daripada tanggapan kebiasaan atau tipikalisme. Visual yang menyerlahkan elemen kekuatan atau kekentalan peribadi, keyakinan serta kepercayaan ter- hadap kemampuan diri sendiri.
Tautkan visual sedemikian dengan rasa nikmat kepuasan, keyakinan atau kekuatan yang dirasai. Hal yang sedemikian akan melahirkan satu tahap pembaharuan secara fizikal dan mental, di samping ‘mendidik’ diri anda untuk bergerak ke tahap lebih tinggi. Amalan sedemikian perlu dibudayakan agar ‘melekat dalam sanubari. Ibarat kata-kata Arsitotle, ‘kecemerlangan hanyalah tabiat (excellence is merely a habit)’. Lantaran, proses pembudayaan sedemikian perlu dikekalkan, se- perti halnya dengan latihan yang dilakukan oleh atlet sukan tertentu. Tanpa adanya latihan yang berte- rusan, tahap pencapaian pasti akan menurun.
Pada hakikatnya, setiap daripada kalangan kita mampu mencapai tahap kecemerlangan serta me- nempa kejayaan yang dihasratkan. Prasyaratnya adalah keyakinan serta kepercayaan. Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa- masa tertentu, kita dihambat pelbagai masalah yang mampu melemahkan semangat serta menjejaskan prestasi. Namun, hal sedemikian tidak seharusnya dijadikan sebagai faktor penyekat kejayaan. Kemampuan untuk mendepani segala rintangan bergantung pada kekuatan minda. Minda yang dibentuk untuk menerima dalam laras pemikiran yang positif akan membuahkan hasil yang positif.
Otak ialah anugerah yang pa- ling unik dan berharga seandainya dijana secara betul dan berkesan. Pada kelaziman, kita ‘membiarkan’ diri dikawal oleh minda dan bukan sebaliknya. Lantaran kita tertewas oleh ‘desakan’ yang menempatkan kita dalam kepompong kelaziman. Serlahkan keupayaan. Bukalah gapura positiviti minda seluas- luasnya.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!