PULAU Borneo berpotensi menjadi sebuah pulau termewah di muka bumi pada satu masa yang tidak berapa lama lagi.
Kini, pulau yang ketiga terbesar di dunia ini, akan menyaksikan ibu kota baharu Indonesia berpindah dari Jakarta di Pulau Jawa ke wilayah Kalimantan Timur.
Kawasan seluas 56,180 hekar sudah dikenalpasti dan Parlimen Indonesia telah meluluskan pemindahan itu pada 18 Januari 2022 serta menamakan ibu kota baharu Indonesia dengan nama Nusantara.
Dengan perpindahan itu nanti maka Pulau Borneo akan me- nyaksikan kemeriahan penduduk Indonesia mengongsi sebuah pulau bersama-sama dengan Sarawak, Sabah, dan negara Brunei Darussalam.
Dalam kalangan masyarakat niaga, ramai melihat peluang untuk merancakkan ekonomi berkisar sekitar kerjasama erat antara Brunei, Indonesia, Malaysia, Brunei dan Filipina bakal semakin mendinamika, lebih-le-bih lagi dalam semangat kekitaan Kawasan Pembangunan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) yang selama ini memang mantap dan kejap dalam usaha kerja sama dalam semua bidang sosioeko- nomi, termasuk kebudayaan.
MENGAPA PINDAH?
Gagasan untuk memindahkan ibu kota Indonesia dari Jakarta ke satu tapak yang terletak 2,000 km di Pulau Borneo mulai rasmi digerakkan oleh Presiden Joko Widodo pada April 2019, setelah ramai dalam kepimpinan memikirkannya sejak berdekad sebelum itu.
Jakarta, dengan 30 juta penghuninya, sedang mengalami kebuntuan dari aspek pengawalan trafik yang cukup parah, manakala pencemaran persekitaran kota kosmopolitan itu dikatakan sudah mencapai tahap yang tidak sihat.
Lebih parah daripada keadaan itu semua ialah Jakarta sedang mengalami keadaan tenggelam, dengan dua perlima daripada kawasannya jatuh ke bawah paras laut dan sebahagian daripada kawasan tenggelam pada kadar 20 sentimeter setiap tahun. Menurut ramalan, seper- tiga daripada Jakarta bakal berada di bawah air menjelang tahun 2050.
Soal pemindahan ibu kota bukanlah sesuatu yang baharu. Malah Indonesia merupakan negara ketiga melakukannya selepas Malaysia memindahkan ibu kotanya dari Kuala Lumpur ke Putrajaya pada 2003 dan Myanmar dari Rangoon ke Naypyidaw pada 2006.
WAWASAN JOKOWI
Presiden Joko Widodo, mesra dipanggil Jokowi, memiliki wawasan politiknya untuk mengagihkan aktiviti-aktiviti ekonomi keluar daripada kepulauan Jawa yang merupakan pulau yang cukup sesak.
Lebih 60 peratus daripada penduduk Indonesia bermastautin di Jawa dan merupakan penyumbang kepada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia.
Kalimantan, yang merupakan bahagian terbesar dalam pulau Borneo, hanya memiliki 5.8 peratus daripada jumlah penduduk Indonesia dan menyumbang 8.2 peratus daripada ekonomi Indonesia.
Projek pembinaan ibu kota baharu itu dianggarkan melibatkan kos AS$34 bilion (bersamaan dengan 489 trilion rupiah).
Jokowi mahukan projek itu dimulakan sebelum pilihan raya presiden pada 2040. Pemerhati politik melihat inisiatif beliau itu sebagai usaha untuk mengu- kuhkan kedudukan beliau sebagai presiden sebuah republik pada tahun terakhir penggal terakhirnya.
Usaha beliau itu turut mendepani cabaran daripada kalangan aktivis alam sekitar yang tidak gemar melihat sebahagian lagi hutan hujan di Pulau Borneo ‘tergondol’ akibat pembalakan, perlombongan dan penanaman kelapa sawit.
Menurut kumpulan-kumpulan alam sekitar 30 peratus daripada hutan hujan Borneo sudah hilang dalam tempoh kurang daripada empat dekad, dan Orang Utan merupakan mangsa paling ter- kesan.
Namun, Jokowi bertegas dengan pendirian beliau. Nusantara akan dibina atas tapak seluas 56,180 hektar dalam wilayah Kalimantan Timur, manakala kawasan selebihnya sekitar 99,962 hektar lagi di- peruntukkan untuk perluasan dan pengembangan lanjut pada masa akan datang.
Jokowi mahu sebuah ibu kota baharu yang pintar mesra alam. Dia mahu sebuah kota yang hijau menggunakan tenaga hijau serta sifar emisi karbon dioksida yang sohor kini bagi dunia masa depan. Nusantara idaman Jokowi ialah sebuah kota futuristik yang memiliki arkitekturnya berbentuk burung garuda, yang merupakan lambang kemegahan negara Indonesia.
TENAGA AMAT DIPERLUKAN
Fasa pertama pembinaan Nusantara dijangka siap hanya sekitar 2045. Ketika proses pembinaan itu banyak keperluan yang perlu Indonesia gunakan, dan di sinilah kita melihat tempias peluang perniagaan turut memihak kepada Sarawak.
Kelebihan yang ada pada Sarawak ialah kita berupaya membekal tenaga elektrik, khususnya tenaga boleh diperbaharui melalui projek-projek empangan kita.
Pembinaan Nusantara sudah tentunya memerlukan banyak tenaga elektrik yang tiada rin- tangan, serta murah. Keperluan ini berlanjutan sampai bila-bila.
Ketika ini pun, khabarnya, Indonesia sudahpun mengimport tenaga elektrik dari Sarawak. Tahun lepas lebih 100 megawat elektrik diperlukan untuk kawasan-kawasan sempadan Kali- mantan Barat.
MANTAPKAN SEKURITI
SEMPADAN
Banyak kampung atau bandar sempadan di Sarawak ada kaitan dengan Kalimantan. Selama ini pun kita tahu akan sempadan Tebedu-Entikong, Serikin, Lemanak-Entimau dan beberapa lagi di Bahagian Kapit, Bario, Ba’Kelalan dan seumpamanya.
Pengwujudan tamu atau tempat berniaga sering diwujudkan di sempadan. Apabila Nusantara wujud nanti sudah tentu keadaan di sini pasti akan dipertingkatkan.
Sekuriti sempadan kita boleh diperhebatkan, bagi tujuan merukunkan pergerakan antara kedua-dua belah pihak, sambil pada masa yang sama dapat diwujudkan pertukaran barangan jualan antara kedua-dua negara.
Dari satu sudut, kita boleh berasa optimistik, masalah sosial mungkin akan berkurang berlaku di sempadan seperti masalah laluan ‘jalan tikus’, atau berlakunya penyeludupan barangan mahupun manusia di sempadan. Ini kerana Nusantara sudah pasti mampu memberi banyak pekerajaan kepada rakyat di Kalimantan dan masalah sosial seperti sebelum ini mungkin dengan sendiri- nya tidak berlaku lagi.
KONEKTIVITI
Seperkara yang Sarawak perlu fikirkan ialah untuk mewujudkan kemudahan konektiviti dari segi jalan darat, dan juga udara.
Beberapa penerbangan antara Sarawak dengan Kalimantan, atau Sabah dengan Kalimantan, yang sebelum ini pernah diadakan dan juga pernah ditiadakan, bolehlah difikirkan semula.
Laluan jalan darat antara Sarawak dan Sabah yang sedang dalam pembinaan boleh-lah difikirkan bagaimana untuk memperpanjangkan lagi ke kawasan-kawasan sebelah Kalimantan. Kerjasama erat antara Sarawak dengan Sabah dalam aspek ini banyak membawa manfaat. Kementerian Pengangkutan kita perlulah turut memperhebatkan pelabuhan laut agar keluar-masuk kapal-kapal dagang dapat dipermudahkan.
SEMANGAT
MEMAKMURKAN JIRAN
Hidup berjiran berbaik-baik-lah. Dalam aspek ini kita ingin menikmati semula satu dasar yang pernah digagaskan oleh Tun Dr Mahathir pada satu ketika dahulu iaitu: Makmurkan Jiran (Prosper Thy Neighbour).
Inilah semangat dan sikap yang patut wujud apabila Nusantara berada dekat dengan kita. Sebagai sebuah ibu kota sebuah negara yang besar, kita patut saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Lagipun, menjelang tahun 2030 Sarawak Insya-Allah akan menjadi sebuah wilayah termakmur dalam Malaysia.