LIMBANG: Masalah kekurangan bekalan telur ayam bakal di atasi apabila sekitar 2,850 papan dari Kuching sampai ke bahagian ini Selasa lepas.
Ketua Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bahagian Limbang, Pulnama Tarah berkata pihaknya memberi jaminan bekalan telur ayam yang sebelum ini mengalami kekurangan di pasaran dapat ditangani dengan pertambahan stok baharu daripada pembekal.
Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan melakukan pembelian panik kerana bekalan sentiasa ada di pasaran dan mudah diperolehi.
“Bekalan telur ayam di Limbang sudah pulih dan stabil oleh itu orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik,”katanya kepada media semalam.
Pulnama turut menasihati para peniaga agar tidak menaikan harga dan tidak menyorok bekalan.
“Tindakan undang-undang akan diambil jika didapati berbuat demikian di bawa Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan dan Akta Kawalan Bekalan.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan berhubung kenaikan harga telur kepada KPDNHEP,”ujarnya lagi.
Katanya pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan bekalan dan masalah kekurangan telur ayam dari pembekal di Kuching, Sibu dan Miri mengikut jadual sama seperti sebelum ini namun permintaan tinggi ketika musim perayaan menyebabkan berlaku kekurangan bekalan.
Oleh ADENG EDRUS