PENGGUNAAN media sosial untuk sokongan politik di Malaysia telah dilihat sebagai satu budaya baharu dalam mendekati rakyat di kawasan bandar.
Kemunculan media baharu hasil daripada perkembangan rangkaian internet telah menjadikan media tersebut sebagai agen demokrasi maklumat.
Menurut Setiausaha Sayap Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Cawangan Bakelalan Steve Lius, ia adalah bertepatan dengan peralihan budaya politik semasa dengan masyarakat kini lebih selesa menggunakan media sosial sebagai sumber perolehan maklumat politik terkini.
Katanya, kajian-kajian yang dilakukan pihak universiti di semenanjung Malaysia untuk mengenalpasti impak penggunaan media sosial terhadap politik di Malaysia serta menganalisis tahap penggunaan media sosial dalam menentukan pola sokongan rakyat ke atas parti politik dan calon politik di Malaysia.
“Kajian ini telah dijalankan dengan menggunakan pendekatan kuantitatif dimana kaedah tinjauan (survey) jadi pilihan dengan menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen kajian,” tegasnya.
Steve Lius yang juga Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia berkongsi maklumat yang mana antara hasil kajian adalah hampir dua pertiga daripada responden menggunakan akhbar (65.5%), diikuti media sosial (63.5%) dan televisyen (59.5%) bagi mencari dan membaca maklumat berkaitan dengan politik semasa di Malaysia.
Jelas beliau lagi, hasil kajian juga menunjukkan responden bersetuju bahawa media sosial berperanan dan mempunyai kelebihan dalam menyalurkan maklumat politik berbanding dengan media konvensional.
Ini kerana, katanya kajian ini mendapati responden menyatakan persetujuan secara sederhana tentang partisipasi politik melalui media sosial.
“Responden bersetuju bahawa media sosial membantu mempertingkatkan imej calon dan parti politik dengan mempamerkan aktiviti calon dalam memberi khidmat kepada rakyat.
“Ini sedikit sebanyak menunjukkan bahawa masyarakat pada hari ini sangat prihatin dengan apa yang dipaparkan di media sosial berkenaan perkara-perkara yang melibatkan politik semasa.
“Oleh itu, pemantauan terhadap maklumat politik yang dikongsikan di media sosial perlu dilakukan bagi memastikan maklumat tersebut bebas dari unsur hasutan yang boleh memecah-belahkan perpaduan,” ujarnya.
Sementara itu, katanya dalam konteks di Sarawak yang baharu sahaja melalui proses Pilihan Raya Negeri(PRN) ke-12 akhir tahun lalu jelas peranan media sosial lebih dominan di kawasan bandar.
Manakala, tambahnya medium perkongsian maklumat melalui media konvensional seperti akhbar dan televisyen masih relevan di luar-luar bandar dan kawasan yang berdepan isu internet.
“Apabila diperkecilkan skop peranan media sebagai komunikasi politik di Daerah Lawas pula mendapati akhbar-akhbar konvensional masih memainkan peranan besar menentukan kejayaan calon bertanding.
“Saya memberi contoh kegagalan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan lainnya pada PRN di Parlimen Lawas adalah kerana tidak adanya penglibatan rakan media dalam mempromosi mahupun menyentuh pasal calon-calon ini.
“Manakala di kawasan Bakelalan pula jelas sekali pendekatan media sosial oleh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan mengenepikan peranan rakan media cetak dan elektronik telah menbawa padah,” kata Steve.
Ini kerana, katanya calon yang diketengahkan tidak dikenali ramai dan hanya dikenali oleh pengundi luar yang berada di bandar-bandar utama di Sarawak.
Sehubungan itu, beliau melihat bahawa peranan rakan akhbar, rakan televisyen dan radio amat penting dalam memaparkan imej, aktiviti dan hala tujuan yang menjadi perjuangan calon daripada parti pemerintah iaitu GPS.
Malah, beliau melihat bahawa tangapan pihak luar yang cuba mementingkan medium media sosial untuk menghampiri pengundi di daerah Limbang dan Lawas ada kesilapan besar yang boleh membawa padah.
“Hakikatnya ialah kawasan ini merupakan kawasan luar bandar yang berdepan masalah liputan internet yang tidak konsisten dan rakyat masih perlu didekati secara langsung atau melalui medium media konvensional,” katanya.
Menyentuh mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Steve menjelaskan bahawa peranan media konvensional seperti akhbar, televisyen, radio dan risalah politik tidak harus diketepikan terus.
Oleh ADENG EDRUS