KUALA LUMPUR: Agensi Penggalakan Ekonomi Digital (depa) Thailand menerusi Projek Smart Economy Showcase atau Wadah Ekonomi Pintar, berjaya menjana lebih 27 juta baht (RM3.4 juta) dalam nilai ekonomi menerusi usaha memacu ekonomi digital di tiga wilayah rintis iaitu Ubon Ratchathani, Songkhla dan Phitsanulok.
Susulan pencapaian di wilayah terbabit, agensi berkenaan merancang untuk mengembangkan lagi aspek penerimagunaan teknologi dalam kalangan usahawan di negara tersebut.
Dalam kenyataan semalam, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif depa, Profesor Madya Dr Nuttapon Nimmanphatcharin berkata, aktiviti itu turut menyaksikan pewujudan pangkalan data merangkumi 1,560 usahawan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro.
“Sebanyak 90 syarikat pemula niaga digital telah menyertai acara Smart Economy Showcase itu manakala selain itu seramai 3,857 usahawan terlibat dalam aktiviti untuk meningkatkan kemahiran dalam teknologi digital dan keupayaan inovasi. Projek itu telah disertai oleh 8,951 peserta,” katanya.
Nuttapon berkata, agensi terbabit akan menilai hasil aktiviti yang dianjurkan pada tahun lepas dalam usaha perancangan kegiatan di masa depan untuk menggalakkan penerimagunaan teknologi digital dan inovasi di serata negara itu.
Menurutnya, depa juga tidak mungkin dapat mencapai kejayaan menguruskan projek berkenaan tanpa kerjasama daripada semua usahawan selain sektor kerajaan mahu pun swasta.
“Kami menyasarkan untuk menyokong usahawan dan orang ramai di kawasan terbabit bagi menambah kemahiran, pengetahuan dan keupayaan dalam melaksanakan teknologi yang dapat mengurangkan kos serta meningkatkan daya saing serta kualiti hidup.
“Acara ini membolehkan sektor awam dan swasta untuk mempunyai akses lebih baik yang bersesuaian dengan teknologi dan inovasi,” katanya.
Menurut Nuttapon, agensi itu telah membawa masuk sebanyak 90 syarikat pemula niaga digital Thailand bersama-sama usahawan selain mewujudkan ruang bagi membolehkan mereka saling berbincang dan melakukan padanan niaga.
“Aktiviti terbabit membolehkan syarikat pemula berkenaan menyelami aspek cabaran serta keperluan utama usahawan atau pengguna teknologi sebenar.
“Kami percaya ini merupakan satu langkah besar yang menyepadukan semua sektor berkaitan dalam membangunkan ekosistem digital sewajarnya bagi mewujudkan Bandar Pintar demi kemakmuran dan kelestarian ekonomi digital serta masyarakat yang bakal dilaksanakan,” katanya.- Bernama