KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia(MOT) Dato Henry Sum Agong telah merasmikan Majlis Penyerahan Model KOC Keretapi melalui ‘Industrial Collaboration Program (ICP), Projek MRT 2 di bawah seliaan TDA Berhad di UniKL MIDI, Kuala Lumpur.
Henry Sum amat yakin ianya dapat membantu melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berbakat, profesional dan berpengetahuan luas di dalam industri rel.
Majlis penyerahan tersebut jelas menunjukkan kesungguhan KTK DOM Railway sebagai pemain industri untuk terus memacu usaha bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan berkaitan rel tempatan yang bakal memberi manfaat yang besar kepada industri perkeretapian di negara ini.
“Dengan penerimaan Model KOC keretapi ini, saya berharap pihak UniKL dapat melakukan reverse engineering dan seterusnya dapat meningkatkan pengetahuan dan latihan amali mengenai reka bentuk keretapi, struktur, ergonomik dan juga reka bentuk dalaman keretapi.
Kaedah reverse engineering ini telah terbukti mampu membawa kepada kemajuan dan inovasi industri rel sesebuah negara seperti yang berlaku di China,” ujarnya.
Selain itu, pelbagai projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang diselaraskan oleh Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE) boleh dilakukan bagi mendapatkan alternatif baru yang boleh digunakan oleh industri rel tempatan dengan menggunakan sumber yang terdapat dalam negara untuk pembangunan rel masa hadapan.
Seterusnya Ahli Parlimen Lawas itu menyeru agar pihak universiti untuk terlibat aktif dalam pembangunan industri rel negara dengan melahirkan high skills engineering people yang dapat memenuhi permintaan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, selaras dengan globalisasi, ekonomi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global.
“Pihak kita amat berharap agar pemain industri dapat berkolaborasi dengan akademia agar dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang lebih berbakat, profesional dan berpengetahuan luas di dalam industri rel.
Semoga apa yang kita usahakan ini bakal membuahkan hasil dan memberi impak yang positif kepada industri rel negara dan apa yang penting, akhirnya ia dapat memberi manfaat kepada rakyat,” tambahnya.
Hadir sama Penasihat Khas Pendidikan kepada YBM KPLB Datuk Dr. Hj. Azhar Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif – Technology Depository Agency Berhad Dr. Sharoul Jambari, Pengerusi – Universiti Kuala Lumpur Prof. Emeritus Datuk Dr. Sukiman Sarmani, Pengerusi – KTK DOM Industries Malaysia Sdn Bhd Timothy John, Presiden – Universiti Kuala Lumpur Datuk Dr. Roziah Omar, Ketua Pegawai Eksekutif – MRT Corp. Datuk Mohd Zarif Hashim dan SUB – Bahagian Darat MOT Wan Mohd Asraf Wan Salleh.