PANDANGAN dalam konteks penilaian sesuatu berdasarkan penglihatan dan pemerhatian, amat subjektif sifatnya. Walaupun sesuatu yang dilihat berupa konsep yang sama, akan tetapi, bukan bererti tafsiran atau penjelasannya serupa. Seandainya diletakkan sesuatu objek di atas meja untuk dilihat oleh sepuluh orang, pasti akan terkesan sekurang-kurangnya dua atau tiga tafsiran atau penjelasan yang berbeza untuk memerihalkan tentang objek berkenaan.
Situasi sedemikian bukanlah aneh atau pelik, akan tetapi sesuatu yang lumrah. Pemerihalan yang sedemikianlah yang antara lain disiratkan dalam ungkapan, ‘rambut sama hitam, hati lain-lain’. Walaupun dalam konteks peribahasa ini menyentuh secara khusus tentang hati atau perasaan, tidak bermakna hal berkenaan tidak dapat ditautkan dengan pandangan atau persepsi. Bertitik tolak daripada pandangan mata, akan tersalur input dalam bentuk mesej kepada otak dan selanjutnya akan tersalur kepada nubari. Daripada situ, akan lahir penilaian dan pentafsiran berdasarkan ‘kemampuan’ daya fikir masing-masing, di samping membangkitkan reaksi emosi terhadap objek yang dilihat. Lantaran, apa-apa yang terpampang di hadapan mata, tidak semestinya ditafsir dalam kerangka penilaian atau mendatangkan kesan emosi yang serupa.
Apabila berbicara tentang subjek ini, penulis terimbau seni kata sebuah lagu lama, Ilham Pujangga nyanyian Ismail Haron, iaitu, ‘pandang yang satu kepada yang ramai, pandang yang ramai kepada yang satu’. Ungkapan berkenaan, jika ditafsirkan secara mendalam, membawa pengertian yang amat bermakna dan berguna dalam menempuhi kehidupan. Pada peringkat awal, penulis tidak sedikitpun terkesan apabila mendengar ungkapan berkenaan didendangkan. Suatu perkara yang lumrah memandangkan pada ketika itu, usia masih pada peringkat awal remaja, di samping itu, lagu hanya dianggap sebagai satu bentuk hiburan semata-mata. Lantaran itu, tidak wujud keinginan atau keterujaan untuk memahami dan mendalam apa-apa yang disiratkan sebalik seni kata berkenaan.
Namun, setelah mula berjinak-jinak dalam ranah kepenulisan, apa-apa yang tersurat, cenderung untuk ditafsirkan secara tersirat. Keterujaan untuk melihat perspektif yang berbeza, berupa cabaran bagi diri. Apatah lagi apabila diwara-warakan gesaan untuk berfikir luar daripada kotak kelaziman atau thinking out of the box. Apabila terdengar kembali lagu Ilham Pujangga didendangkan (bukan oleh penyanyi asalnya) dalam persembahan bangsawan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semasa extra turn suatu ketika dahulu, timbul keterujaan untuk menyelami secara mendalam apa-apa yang tersirat di sebalik ungkapan berkenaan. Bagi penulis, terselit falsafah mendalam yang perlu dirungkaikan.
Persoalan pertama yang timbul adalah, bagaimanakah penautan kaedah melihat atau memandang seseorang (ataupun objek) ditautkan dengan memandang kelompok manusia yang ramai (atau banyak)? Apakah kesignifikannya? Mungkin bagi berlainan orang, berlainan tafsirannya. Namun, bagi penulis, hal sedemikian membawa dua pengertian yang berbeza, akan tetapi kedua-duanya amat bermakna untuk memahami kehidupan, iaitu dari aspek ketuhanan, dan kemanusiaan.
Menghayati ungkapan berkenaan dengan melaraskan sisi pandangan dalam konteks ketuhanan dalam konteks agama Islam, aspek keesaan Allah yang disebut al ahad berupa teras bagi umatnya meletakkan ‘keyakinan’ bahawa tiada kuasa lain, selain-Nya, yang harus serta berhak disembah. Tuhan yang memiliki 99 nama (asma’ul husna), bersesuaian dengan sifat-Nya. Hakikat yang jelas tersurat dalam al-Quran, yang kira-kira bermaksud:
“Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Dia mempunyai Asma’ul Husna (nama-nama yang baik).” (Surah Thaa Haa : 8)
Surah yang menjelaskan tentang keesaan Allah yang memiliki 99 nama-nama terbaik. Tuhan yang mencipta alam semesta serta segala apa yang ada di dalamnya. Bersandarkan hakikat sedemikian, apabila terlaras pandangan kita sebagai insan biasa tentang keesaan-Nya, sewajarnya tidak terbias kanta pandang daripada melihat akan kewujudan bukan sahaja manusia itu sendiri, akan tetapi makhluk-makhluk, tumbuhan serta elemen-elemen lain yang tanpa sangsi, pun tanpa kita sedari, mentasdikkan keesaan-Nya, dengan kaedah yang tersendiri.
Namun, sebagai insan yang lemah, wujud kecenderungan manusia ‘melupai’ hakikat sedemikian akibat desakan serta godaan yang hadir dalam pelbagai bentuk, demi meneruskan kelangsungan hidup. Lantas, pandangan kepada Yang Satu yang ‘meminjamkan’ kehidupan itu, acap kali terbias. Apatah lagi untuk melihat keberadaan ‘komponen-komponen’ lain yang menjadi pelengkap dalam sketsa kehidupan yang teramat subjektif penentuan jangka hayatnya. Pelarasan pandangan kepada bentuk ‘keakuan’ lebih menguasai diri.
Hal yang sedemikianlah sebahagian daripada aspek yang turut terkait apabila ungkapan di atas dilihat dalam konteks kemanusiaan atau insaniah. Dalam pelbagai ranah, konsep kesatuan dan kekitaan berupa komponen yang mengikat kelompok manusia dalam kerangka ‘kekeluargaan’. Komponen yang mengarah kepada kesepaduan, kesepakatan, keharmonian serta kedamaian. Kesatuan dalam erti kata, satu entiti yang bergerak untuk menzahirkan suatu matlamat ke arah kebaikan, di samping mengelak daripada unsur kebejatan atau yang bersifat negatif. Kesatuan yang lahir daripada satu kelompok yang ramai bilangan ahlinya, sama ada yang berupa institusi kekeluargaan, organisasi, kepartian, mahupun kenegaraan.
Andai dilihat secara teorinya, dalam kerangka yang dinyatakan, setiap satunya memiliki ‘ketua’ yang menjadi ‘nakhoda’ yang dipertanggungjawabkan untuk mengemudikan bahtera perjuangan. Ketua yang memenuhi kriteria-kriteria tertentu yang melayakkannya untuk tujuan berkenaan. Ketua yang mampu melihat dari skop pandangan yang meluas, di samping mengambil kira keberadaan semua dalam entiti berkenaan. Apa-apa keputusan mahupun tindakan harus bersandarkan pada kehendak serta aspirasi secara menyeluruh dan bukannya bersifat ‘keakuan’ ataupun ‘pengelompokan’. Dengan erti kata lain, penerapan unsur keadilan untuk semua. Sifat seperti yang terkandung dalam konteks ketuhanan, iaitu al-‘adl. Demikian juga halnya dengan setiap daripada kelompok yang ramai tidak seharusnya bersikap keakuan dan melihat segala apa tuntutan dan kemahuan diri sendiri harus disantuni. Skop pemikiran wajar dilaraskan pada kewujudan diri dalam arena yang menampilkan kepelbagaian unsurnya.
Namun, persoalannya sejauh manakah kemampuan kita untuk menterjemahkan apa-apa yang disiratkan dalam ungkapan ‘pandang yang satu kepada yang ramai, pandang yang ramai kepada yang satu’ ini sebagai amalan? Sememangnya sukar untuk memberikan suatu jawapan yang tepat. Segala-galanya terletak pada kemahuan diri sendiri di samping penerapan aspek keimanan dan ketakwaan yang kukuh. Bukanlah penulis insan ‘warak’ atau ahli filsuf. Sekadar peninta ilham yang teruja untuk menyelami setiap apa yang tersirat sebalik ungkapan bermakna yang terucap dan tersurat. Pandangan yang semestinya tidak sekata dan senada dengan insan-insan lain.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!