PERKEMBANGAN mutakhir dalam arena politik di Sarawak ialah ura-ura Parti Bumi Kenyalang (PBK) untuk menubuhkan Barisan Borneo (BB) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Tegasan itu telah dizahirkan oleh presiden PBK Voon Lee Shan dalam satu sidang media yang diadakan pada 2 Februari (Rabu) lepas. Voon telah menzahirkan hasratnya untuk bergabung dengan parti-parti tempatan di Sabah, tetapi tidak menyatakan perincian tentang berapa buah parti, parti yang mana satu, dan seumpamanya.
Katanya, peluang untuk memenangi PRU-15 cukup cerah memandangkan di Sarawak ada 31 kawasan Parlimen manakala Sabah ada 25 kawasan. Bilangan itu, bagi beliau, cukup untuk menyalurkan suara rakyat kedua-dua buah wilayah di Pulau Borneo ini bagi memperjuangkan hal ehwal berkaitan kebebasan bagi kedua-dua wilayah.
Dalam kalangan pemerhati politik, impian itu sesuatu yang hak bagi PBK dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, namun tidak yakin hasrat itu dapat mewakili suara majoriti rakyat Sarawak.
Antara sebab yang digariskan oleh pesimisme terhadap gagasan penubuhan Barisan Borneo itu ialah PBK dikatakan belum memiliki wibawa untuk menerajui Bumi Kenyalang untuk menawarkan bentuk pemerintahan alternatif yang lebih baik daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Rata-rata pemerhati politik melihat sebarang usaha untuk menentang GPS dalam politik Sarawak mestilah bersyaratkan parti yang mahu mengusahakan inisiatif itu berupaya menawarkan alternatif yang lebih baik.
PBK muncul buat pertama kali dalam senario politik di Sarawak pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) pada 2021 dan telah ‘menduga’ keupayaannya dengan bertanding dalam 73 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tindakan itu dilihat sebagai tindakan yang berani bagi sebuah parti pembangkang yang muncul buat pertama kali kerana bilangan 73 itu merupakan bilangan terbesar dalam kelompok parti-parti pembangkang.
Parti Sarawak Bersatu (PSB) telah memperagakan 70 calon (dan menang hanya empat); Parti Tindakan Demokratik (DAP) 26 (menang hanya 2); Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) 15; Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) 11; Parti Amanah Nasional (Amanah) 8; Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) 5; Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 1; manakala kesemua 30 calon Bebas tewas.
Bukan sahaja PBK telah kalah kesemua kerusi yang dipertandingkan malah 67 daripada calonnya yang diketengahkan telah hilang deposit pilihan raya. Hanya Voon dan lima orang lagi calon lainnya berjaya mempertahankan taruhan deposit itu.