TAHUN Baharu Cina (TBC) merupakan perayaan ter- penting orang Cina bagi me- nyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan, iaitu Tikus, Lembu, Harimau, Arnab, Naga, Ular, Kuda, Kambing, Monyet, Ayam, Anjing dan Babi.
TBC melambangkan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baharu bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dibersihkan dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baharu. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermula- nya tahun baharu dan bagi menghalau kuasa jahat dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.
TBC diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan mengadakan jamuan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, da- ging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golo- ngan muda pula akan me lawat golongan tua dan me- nerima wang angpau bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum berkahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas pe- rayaan TBC, penutup pe- rayaan diraikan dengan Cap Goh Mei.
TBC disambut di negara- negara dan wilayah-wilayah yang diduduki oleh ramai masyarakat Cina seperti, China, Hong Kong, Indonesia, Macau, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand, dan juga di Pekan Cina atau China Town di
merata dunia. Tahun Baharu Cina juga disambut di tempat-tempat yang kuat dipe- ngaruhi dengan budaya Cina, antaranya termasuklah Korea, Tibet dan Bhutan, Mongolia, Vietnam, dan Jepun hingga tahun 1873.
Salah satu elemen yang menjadi tarikan ketika ma- syarakat Cina menyambut perayaan ini ialah tarian singa. Semasa sambutan TBC, menjadi kebiasaan tarian singa dipersembahkan sebagai memeriahkan lagi suasana. Kumpulan dari persatuan-persatuan tarian singa tempatan menda- pat tempahan yang lumayan untuk melakukan persembahan, sama ada di rumah-rumah orang perseorangan, premis-premis perniagaan mahupun di majlis-majlis keraian rasmi. Persembahan yang mempamerkan pergerakan akrobatik dengan iringan dentuman mercun menjadi tarikan umum.
Melihat dari aspek sejarah, tarian singa berkembang lebih daripada 1500 tahun dahulu. Singa bukanlah haiwan asal negara China. Berdasarkan catatan sejarah, singa pertama di negara China berupa hadiah kepada Maharaja Shun semasa pemerintahan Dinasti Han (2025m – 220m). Terdapat juga catatan yang melakarkan bahawa tarian singa berasal dari India. Dalam teks Purana, salah sebuah genre teks agama Hindu, Narasimha, makhluk berbadan separuh manusia dan separuh singa merupakan penjelmaan semula dewa Vishnu dan disembah sebagai ‘Tuhan Singa’. Namun, kemasukan unsur tarian singa dari India ke negara China tidak terca- tat secara khusus. Namun, lakaran singa muncul dalam seni lukis China pertama buat pertama kalinya semasa era Spring and Autumn Period (4 atau 6 SM) dan menjadi semakin popular semasa Dinasti Han. Ketika itu ‘singa pengawal diraja’ atau the imperial guardian lions mula diletakkan di hadapan istana sebagai pelindung.
Terdapat beberapa versi tentang asal usul tarian singa. Antara yang terkenal termasuklah kisah Singa dan Nian. Dipercayai bahawa suatu ketika dahulu, sejenis makhluk garang yang dikenali sebagai Nian muncul, menyebabkan penduduk sebuah perkampungan berada dalam ketakutan. Tiada se- siapa yang berani melawan makhluk tersebut. Akhirnya penduduk kampung meminta pertolongan singa untuk mengalahkan Nian. Singa menyerang dan mencede- rakan Nian. Nian bersumpah untuk kembali dan membalas dendam. Ketika Nian muncul sekali lagi, singa tidak mampu membantu. Penduduk kampung tempatan membuat replika singa daripada buluh dan kain. Dua orang lelaki dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan replika tersebut manakala penduduk lain memukul peralatan dapur. Apabila Nian melihat ‘singa’ dan mendengar bunyi riuh-rendah, Nian melarikan diri. Sejak itu, penduduk kampung mengulangi tradisi tersebut setiap tahun untuk me- ngusir unsur jahat.
Tarian singa hanya memerlukan dua orang; seorang mengendalikan bahagian kepala dan seorang pula bahagian badan dan ekor- nya. Pergerakan yang ditampilkan lebih bersifat seni mempertahankan diri, iaitu seni pertahanan kung fu. Tidak hairanlah sekiranya ahli kumpulan persatuan tarian naga juga merupakan ahli persatuan seni mempertahankan diri. Pergerakan kepala, mulut, mata dan badan mempunyai maksud tertentu yang memerlukan kemahiran untuk menterjemahkannya. Setiap pergerakan pula selari de- ngan irama muzik yang khusus. Kerjasama dan persefahaman antara kedua-dua orang penari harus berada pada tahap yang tinggi. Ahli yang mengendalikan bahagian kepala singa, harus ber- ada pada tahap kecerdasan yang maksimum memandang- kan bahagian tersebut agak berat. Kekuatan tangan dan kaki amat diperlukan. Bagi ahli yang mengendalikan bahagian badan dan ekor pula, dia harus peka dengan pergerakan rakannya. Kese- rasian yang tinggi memastikan persembahan yang sempurna dan mengagumkan, terutama sekali ketika me- ngadakan persembahan di hadapan tetamu kehormat atau sewaktu pertandingan.
Terdapat dua jenis persembahan tarian singa, iaitu ta- rian Utara dan Selatan. Ta- rian Utara dipersembahkan di dalam istana dan tempat-tempat umum. Singa Utara kebiasaannya berwarna merah, oren dan kuning (kadang-kadang bulu berwarna hijau bagi singa betina), berbulu kasar dan berjumbai-jumbai, dengan kepala berwarna emas. Tarian singa utara bersifat akrobatik dan sering mempamerkan aksi berani yang tangkas dan berbahaya. Tarian Selatan lebih bersifat simbolik. Tarian ini kebiasaannya dipersembahkan dalam upacara menghalau semangat jahat dan untuk memohon tuah dan kemewahan. Singa Selatan mempamerkan warna yang beraneka dan mempunyai mata yang besar, terdapat cermin pada dahinya dan tanduk di tengah-tengah kepala.
Gaya persembahan ta- rian singa Kantonis pula dapat dibahagikan kepada Fuo Shan (Gunung Buddha), He Shan (Gunung Bangau), Fuo–He, Jow Ga dan Singa Hijau. Fuo Shan menjadi pilihan kebanyakan pusat seni pertahanan diri kung fu. Persembahan ini memerlukan pergerakan yang agresif dan kekuatan kaki. Kemahiran ahli mempersembahkan tarian yang penuh bertenaga dan simbolik mampu memukau penonton, di samping memperlihatkan disiplin serta kerjasama yang utuh, bukan sahaja antara kedua-dua orang ahli, tetapi juga pemain muzik yang terdiri dari- pada gong, gendang dan simbal.
Semasa sambutan TBC, persatuan tarian singa akan melawat rumah persendirian dan premis perniagaan untuk mengutip chai ching. Angpau yang berupa sampul merah yang berisi wang akan diikat pada daun salad dan digantung di hadapan pintu. Singa akan membuat persembahan sambil menghampiri daun salad yang digantung, ‘memakan’ salad yang berisi angpau dan kemudian meluahkan salad tersebut tetapi ‘menelan’ angpaunya. Tarian singa ini dipercayai membawa tuah dan keuntungan kepada perniagaan dan sebagai ganjaran, para ahli akan dihadiahkan wang tersebut. Pada zaman dahulu, salad berkenaan digantung setinggi 15 hingga 20 kaki dan hanya penari yang memiliki tahap kemahiran seni mempertahankan diri yang tinggi mampu mengambilnya dengan beban kepala singa yang agak berat. Acara ini sering menjadi pertarungan, dan ganjaran lumayan disediakan. Ada ketikanya dua kumpulan dari persatuan yang berbeza beradu kemahiran untuk mendapatkan ganjaran tersebut. Kumpulan yang berjaya akan mampu menaikkan imej persatuan mereka. Namun sekarang, hal sedemikian tidak lagi berlaku dan ritual yang dilakukan lebih bersifat untuk memenuhi permintaan tuan rumah atau pemilik premis perniagaan.
Di negara kita, tarian singa dilihat sebagai rencah yang memeriahkan lagi sambutan perayaan TBC selain upacara perasmian premis perniagaan atau upacara sosial. Kehadiran kumpulan yang mempersembahkan tarian singa sering menarik perhatian umum kerana ke- tangkasan pergerakannya, keceriaan suasananya dan keunikan persembahannya, di samping iringan muzik yang nyaring serta permainan mercun yang menjadi salah satu komponen dalam persembahan berkenaan. Evolusi dan revolusi yang berlaku dalam persembahan tarian singa memperlihatkan persembahan berkenaan dilakukan atas tiang yang disusun de- ngan ketinggian yang berbeza. Persembahan sedemikian memerlukan kemahiran, ketangkasan serta semangat kerjasama yang amat tinggi.
Keputusan kerajaan membenarkan ta- rian singa dipersembahkan pada empat hari pertama TBC, dan sehari pada perayaan Cap Goh Mei sudah pasti menggembirakan masyarakat Cina, di sam- ping menambahkan kemeriahan perayaan TBC 2022, tahun Harimau Air, yang me- lambangkan sifat berdikari, berani, yakin, dinamik, gigih, bertenaga, cerdas, sanggup berkorban, setia, mudah disayangi, baik hati, idealistik dan serba boleh. Namun demikian, usah abaikan SOP yang ditetapkan.
Buat masyarakat Cina di seluruh negara, GONG XI FA CAI.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!