Jika anda anak kampung yang sering mengambil bahagian dalam aktiviti penanaman padi di sawah maka sudah pastinya anda mengenali satu kuih tradisional yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Iban iaitu kuih Sungkui.
Ini kerana kuih Sungkui wajib dihasilkan oleh para pesawah padi sehari sebelum berlangsungnya aktiviti penanaman padi di sawah dan dihidang bersama minuman panas seperti teh atau kopi ketika mereka sedang berehat sepanjang proses itu.
Justeru bagaimanakah kuih Sungkui ini dihasilkan? Penulis pada musim penanaman padi yang lepas berkesempatan untuk menyaksikan proses penghasilan kuih tradisional berkenaan dalam kalangan suri rumah di Kampung Selantik Ili di Pantu, Sri Aman.
Penghasilan kuih tradisional berkenaan dihasilkan secara gotong-royong dengan para kaum wanita itu terlebih dahulu menyediakan potong daun pisang yang kemudiannya dilumur dengan minyak masak.
Selesai sahaja kerja penyediaan daun pisang berkenaan para wanita tersebut kemudiannya beralih kepada kerja menggaul tepung pulut yang dicampur dengan sedikit tepung beras dan air untuk dijadikan sebagai doh.
Doh tersebut kemudiannya digaul dengan pewarna seperti merah jambu, hijau serta ungu dan dipisahkan kepada beberapa adunan doh yang lebih kecil sebelum kerja menghasilkan inti kuih Sungkui iaitu kelapa parut dilakukan.
Untuk menghasilkan inti kuih Sungkui tersebut, kelapa parut berkenaan perlu digaul dengan gula apong atau gula kasar (bergantung kepada kehendak penghasil) terlebih dahulu sehingga ia menjadi padu dan digoreng.
Inti-inti kelapa parut goreng tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam setiap adunan doh berkenaan dan dibentuk menjadi segi empat panjang sebelum ia boleh dibalut dengan daun pisang.
Peringkat terakhir penghasilan kuih Sungkui ini adalah pengukusan. Kesemua doh yang sudah dibalut dengan daun pisang ini disusun di tingkat-tingkat dalam periuk kukus dan dikukus antara 15 hingga 30 minit bergantung kepada jumlah doh berkenaan.
Doh kuih Sungkui yang sudah masak ini hanya perlu dibiarkan di dalam periuk kukus dan dipanaskan semula pada keesokan harinya iaitu ketika aktiviti penanaman padi atau lebih dikenali ‘nugal padi’ dalam kalangan kaum Iban ini mahu dimulakan.
Sememangnya tidak dinafikan bahawa rasa kuih Sungkui adalah sangat enak. Kehadiran inti kelapa goreng yang dicampur dengan gula apong sudah pasti menimbulkan rasa manis yang sensasi di saat kita menggigit Sungkui berkenaan.
Apatah lagi jika kuih Sungkui berkenaan dinikmati bersama teh. Hanya tiga kuih Sungkui sahaja sudah cukup untuk memberi tenaga kepada para pesawah yang mahu menyambung semula kerja mereka di sawah dari pagi hingga tengahari.
Penduduk di kawasan bandar mungkin tidak mengenali kuih Sungkui. Ia amat jarang didapati di pasar-pasar malam, pasar tamu atau ketika berlangsung aktiviti bazaar kerana ia cuma dihasilkan pada musim menuai padi.
Lagi pun carian di internet juga mendapati tidak berlaku perkongsian resepi untuk kuih ini. Untuk merasainya anda perlu pulang ke kampung dan menyertai aktiviti menanam padi dan itu pun jika orang tua kita mempunyai pengalaman untuk menghasilkan kuih tradisional itu.
Mungkin anda yang ada membaca artikel ini boleh mencuba sendiri untuk menghasilkan kuih Sungkoi di rumah bersama ahli keluarga masing-masing.
Justeru ambillah peluang untuk menghasilkan kuih tradisional ini. Mungkin anda memiliki kemahiran untuk mengubah resepi sesuatu kuih hingga menjadikan kuih Sungkui menjadi lebih enak, menarik dan tular di media sosial pada masa akan datang.
Oleh VALENTINE NGUMBANG