ANDAI disebut nama Czeslaw Milosz, mungkin ramai yang tidak mengetahuinya. Penyair, penulis prosa, penterjemah dan diplomat yang berasal dari Poland ini ialah penulis buku The Captive Mind (1953). Penulis tertarik untuk memetik salah satu ungkapan yang beliau utarakan, iaitu, Language is the only homeland, atau dalam bahasa Melayunya, ‘bahasalah satu-satunya tanah air’.
Pandangan Czeslaw menyirat tafsiran yang amat mendalam andai dilihat serta ditaakuli dari sisi pandangan yang holistik. Namun, jika dilihat secara literal, mungkin tidak akan meninggalkan kesan mendalam yang mampu menyuntik kesedaran tentang kepentingan bahasa dalam kehidupan manusia secara menyeluruh. Bahasa, seperti yang disebut beliau, tidak mengkhusus kepada sesuatu bahasa, akan tetapi apa-apa juga bahasa yang sememangnya wahana primer dalam proses komunikasi, baik secara lisan, tulisan, mahupun dalam bentuk isyarat, sama ada yang zahir atau sebaliknya. Tanpa bahasa, komunikasi pasti tidak akan terzahir.
Cuba bayangkan situasi tidak wujud bahasa langsung. Bagaimanakah manusia mampu menzahirkan apa-apa juga hasrat, keinginan atau perasaan antara satu dengan yang lain? Pemikiran pun tidak akan wujud. Pun begitu juga halnya dengan perasaan atau emosi. Sukar bukan? Mungkin hal yang sedemikian tidak mungkin berlaku, namun, demikianlah hakikatnya jika tidak wujud apa-apa bentuk bahasa sekalipun di dunia ini. Suasana akan jadi sepi. Dengan wujudnya bahasa, tercipta istilah atau perkataan untuk menerangkan sesuatu konsep. Daripada situ pula, timbul kesepakatan menerima pakai istilah yang dibentuk. Rantaian daripada situ, terzahir komunikasi dan berkembanglah ketamadunan manusia.
Memandangkan dunia amat luas dan terdapat pelbagai bangsa, kaum, puak, ras, etnik dan sebagainya, kesepakatan penerimaan pelbagai istilah untuk menerangkan sesuatu konsep tercapai secara semula jadi. Walaupun dalam bahasa-bahasa yang berbeza penjelasan konsep berkenaan disebut dalam cara berlainan, namun hakikatnya, konsep yang dijelaskan tetap serupa. Sebagai contoh, istilah ‘lembu’ dalam bahasa Melayu, disebut cow dalam bahasa Inggeris, vache dalam bahasa Perancis, kuh dalam bahasa Jerman, mucca dalam bahasa Itali, so dalam bahasa Korea dan baqara dalam bahasa Arab. Hakikat yang jelas, walaupun berbeza kaedah dan cara sebutannya, konsepnya tetap sama, iaitu, sejenis binatang ternakan jenis mamalia ungulat dalam subfamili bovinae yang dipelihara untuk mendapatkan susu dan dagingnya. Jelas.
Bagi sesebuah masyarakat, perkataan yang terbentuk memiliki sejarah yang tersendiri yang menyelitkan keunikan yang mengesankan bagi penuturnya kerana hal yang sedmikian itu bertaut rapat dengan nilai estetika. Namun demikian, terdapat beberapa perkataan yang terpaksa ‘dipinjam’ untuk memerihalkan sesuatu konsep yang sama ada ‘asing’, mahupun tidak wujud dalam iklim kehidupan sesebuah masyarakat. Dalm situasi sebegini, lazimnya berlaku penyesuaian dari segi pengejaan sesuatu istilah, khususnya yang bersifat teknikal, bersesuaian dengan dengan sistem ejaan yang diguna pakai oleh masyarakat yang meminjam. Untuk menyelami hal yang sedemikian secara mendalam memerlukan penelitian dan kajian dalam bidang etimologi, salah satu cabang ilmu linguistik untuk mengetahui keunikan asal usul sesuatu perkataan.
Lewat makalah ini, penelusuran perbincangan lebih kepada mengaluri sungai bahasa Melayu (termasuk rumpunnya) yang terbit daripada mata air jiwa sebuah bangsa yang bukan kepalang hebatnya. Bahasa yang telah dituturkan berabad lamanya dan pernah dijulang sebagai lingua franca suatu masa dahulu. Bukan tujuan untuk bernostalgia, seperti apa-apa yang dinyatakan oleh beberapa individu berprofil tinggi bahawa sikap sedemikian tidak membawa apa-apa nilai tambah dalam konteks pemacuan kendara negara dalam arena persaingan sengit di litar perlumbaan sains dan teknologi. Persaingan untuk menempatkan negara atas podium kemenangan menjulang trofi keunggulan. Namun, sesekali wujud keperluan kita membelek catatan sejarah untuk ‘mengesan’ kesilapan yang dilakukan untuk menjadikan kita lebih matang dalam apa-apa juga perencanaan dan tindakan pada masa hadapan.
Andai dibuat perbandingan akan kedudukan bahasa Melayu duhulu dengan kini, sememangnya wujud jurang yang amat lebar. Penobatan dan pemartabatan bahasa Melayu pada masa dahulu disepakati atas faktor kesedaran yang amat tinggin dalam kalangan masyarakat, tanpa mengira kaum. Bahasa Melayu bukan sahaja dilihat sebagai bahasa pemersatu dan perpaduan bangsa, akan tetapi diyakini dan diakui akan keupayaannya menggalas tanggungjawab sedemikian.
Namun kini, sisi pandangan masyarakat dipesongkan dengan sogokan secara halus tentang pemerihalan kepentingan memecah keluar daripada kepompong kebangsaan dan kewilayahan bagi mendepani dunia. Dengan berbuat demikian, negara akan bergerak maju dan mampu bersaing untuk mendominasi kedudukan yang paling tinggi dalam strata kedudukan negara-negara maju. Oleh hal yang sedemikian, salah satu prasyarat untuk menerjah keluar adalah kuasai bahasa komunikasi dunia, dan konteks ini, bahasa Inggeris. Bahasa yang penutur aslinya sekitar 379 juta berbanding Mandarin, 918 juta; Hindi, 314 juta; Sepanyol, 460 juta; dan Arab 245 juta. Namun demikian, berupa bahasa dominan dengan penutur keseluruhan (termasuk bukan penutur aslinya) 1.132 juta, diikuti Mandarin, 1,117 juta.
Penulis tidak sama sekali menyanggah pandangan serta pendapat golongan berkenaan. Memang ada kebenarannya. Namun demikian, perlu juga disedari bahawa dalam pada kita mengukuhkan penguasaan terhadap bahasa yang disifatkan sebagai bahasa pertuturan global, jangan pula kita meminggirkan, menyingkir, memijak malah memperleceh serta memperlekeh bahasa yang ternobat sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara.
Selepas negara mencapai kemerdekaan, kesepakatan dicapai untuk memartabatkan serta menobatkan bahasa Melayu sebagai asas pengukuhan semangat kebangsaan yang utuh. Selaras dengan hal sedemikian itu dan bagi menjamin perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk, bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi melalui peruntuka Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar bagi memudahkan penerimaan ilmu dalam bahasa yang difahami umum. Namun, pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain tidak sama sekali disekat atau dilarang. Belajarlah dan kuasailah mana-mana bahasa sekalipun sebagai nilai tambah dalam pengukuhan peribadi dan percambahan ilmu. Andai mampu biarlah lebih fasih dan lebih ‘pekat’ sebutannya daripada penutur aslinya.
Bukanlah penulis bersikap purist seperti yang pernah dilontarkan beberapa individu tertentu, antaranya termasuklah dalam kalangan pembuat dasar. Akan tetapi, penulis melaraskan pandangan berdasarkan kewajaran peminggiran bahasa Melayu semata-mata untuk menerapkan nilai tambah dari segi kebolehpasaran generasi muda hari ini, khususnya, dalam bursa pekerjaan. Kewajaran berlandaskan bahawa pengilmuan bukan bergantung seratus peratus pada penguasaan bahasa. Proses pengilmuan lebih bergantung pada konsep pemahaman serta kemahiran atau skill.
Kuasailah bahasa tertentu, akan tetapi seandainya masih kabur akan ilmu yang diterapkan melalui bahasa berkenaan, tiada gunanya. Ibarat mendendangkan lagu rap Barat, akan tetapi tidak memahami maksud atau mesej sebalik liriknya yang bercelaru. Demikianlah juga halnya dalam penerjahan pasaran pekerjaan dunia, tidak membawa impak yang mengesankan sekiranya, pelantikan berkenaan sekadar sebagai ‘kuli’ pada tuan yang tidak pun fasih berbahasa Inggeris, akan tetapi luas pengetahuan, jauh pandangan, tinggi nilai motivasi dan kreativitinya.
Tuntasnya, pemartabatan serta penobatan bahasa Melayu seharusnya disetarakan dengan usaha pengukuhan penguasaan bahasa Inggeris. Suatu matlamat yang bukannya sukar untuk dicapai dengan penyusunan semula kaedah pengajaran dan pembelajaran. Sesungguhnya bahasa Melayu itulah citra tanah air kita. Fikir-fikirkan.