RISIKO kematian akibat kanser di Amerika Syarikat (AS) menurun hampir satu pertiga dalam tiga dekad, hasil daripada diagnosis awal, rawatan yang lebih baik dan kurang perokok, kata analisis pada hari Rabu.
Kadar kematian kanser bagi lelaki dan wanita turun 32 peratus daripada kemuncaknya pada 1991 hingga 2019, kata Persatuan Kanser Amerika (ACS) dalam laporan tahunannya yang dikeluarkan baru-baru ini.
Penurunan itu mewakili kira-kira 3.5 juta jumlah kematian yang dapat dielakkan.
“Kejayaan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kurang orang yang merokok yang mengakibatkan penurunan dalam kanser paru-paru dan kanser berkaitan merokok yang lain,” katanya, sambil menambah bahawa kanser paru-paru menyebabkan lebih banyak kematian berbanding jenis lain.
Data menunjukkan kadar penurunan semakin pantas. Pada 1990-an, risiko menurun satu peratus setiap tahun. Antara 2015 dan 2019, kadar itu menyusut dua kali lebih cepat, yakni kira-kira dua peratus setahun.
“Penurunan yang ketara dalam kadar kematian kanser menunjukkan kuasa pencegahan, pemeriksaan, diagnosis awal, rawatan, dan potensi keseluruhan kami untuk bergerak lebih dekat ke dunia tanpa kanser.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, lebih ramai penghidap kanser paru-paru sedang didiagnosis apabila kanser itu berada pada peringkat awal dan akibatnya hidup lebih lama,” jelas laporan ACS.
Pada 2004, hanya 21 peratus individu yang didiagnosis dengan kanser paru-paru masih hidup selepas tiga tahun. Pada 2018, jumlah itu meningkat kepada 31 peratus.
Dalam pada itu, memperbaiki rawatan dan pemeriksaan awal juga membantu mengurangkan kadar kematian, tetapi perbezaan dalam hasil kanser berterusan.
ACS melaporkan bahawa kadar survival kanser adalah lebih rendah untuk orang kulit hitam berbanding orang kulit putih untuk hampir setiap jenis kanser. Wanita kulit hitam adalah 41 peratus lebih berkemungkinan untuk mati akibat kanser payudara berbanding wanita kulit putih, walaupun mereka empat peratus kurang berkemungkinan mendapatnya.
Bagi orang India Amerika dan Orang Asli Alaska mempunyai insiden kanser hati tertinggi berbanding mana-mana kumpulan kaum/etnik utama di AS – risiko lebih dua kali ganda berbanding orang kulit putih.
ACS mengaitkan jurang itu kepada ketidaksamaan dalam kekayaan, pendidikan, dan taraf hidup keseluruhan yang berpunca daripada perkauman struktur yang bersejarah dan berterusan serta amalan diskriminasi.
Selain itu, pandemik Covid-19 juga mengurangkan keupayaan orang ramai untuk mengakses perkhidmatan kanser, termasuk pencegahan, pengesanan dan rawatan, kata organisasi itu.
“Kelewatan dalam penjagaan ini mungkin akan memburukkan lagi jurang kanser memandangkan beban yang tidak sama rata yang ditanggung oleh wabak itu ke atas komuniti kulit berwarna,” laporan itu memberi amaran, sambil menambah bahawa angka itu tidak mengambil kira jumlah wabak kerana data terkini yang tersedia adalah dari 2019.
Kanser adalah punca kematian kedua paling biasa di AS selepas penyakit jantung.
Pada 2022, ACS menjangkakan 1.9 juta kes kanser baharu dan hampir 610,000 kematian – kira-kira 1,670 kematian sehari.
Menurut organisasi itu, 42 peratus daripada kes kanser yang diramalkan berpotensi dielakkan kerana ia boleh disebabkan oleh merokok, berat badan berlebihan, minum alkohol, pemakanan yang buruk dan kurang aktiviti fizikal.
Presiden Joe Biden, yang kehilangan anak lelakinya, Beau, akibat kanser otak pada 2015, mahu menjadikan perjuangan menentang penyakit itu sebagai keutamaan, tetapi setakat ini ia ‘dikalahkan’ oleh usaha memerangi wabak Covid-19. – AFP