Kebelakangan ini, timbul keterujaan penulis untuk mengikuti perkembangan yang berlaku di Tanah Besar Semenanjung setelah sekian lama ‘bersuluk’ di Bumi Kenyalang, akibat kekangan dalam bentuk Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan pandemik Covdi-19.
Andai dahulunya, apa-apa juga perkembangan yang berlaku di ‘Malaya’ (istilah yang digunakan oleh masyarakat Sarawak), pantas berada di hujung jari. Akan tetapi selepas lebih daripada tiga tahun kembali menapak di tanah ‘tumpah darah’, ‘keterpisahan’ daripada penyaluran perkembangan terkini amat terasa. Tambahan, kesibukan mendepani amanah yang dipertanggungjawabkan, walaupun dari segi perkhidmatan sebagai penjawat awam telah tamat, pelarasan fokus pandangan beralih arah lebih kepada apa-apa yang berlaku di hadapan mata. Namun demikian, sesekali gerbang perkhabaran dijenguk lewat media sosial yang agak mudah diakses.
Terbit perasaan yang bercampur aduk ketika mata pandang serta mata taakul menyorot satu persatu ‘peristiwa’ yang dihadirkan oleh pelbagai ragam manusia dalam sebuah entiti gabungan Persekutuan yang ditasdikkan sebagai ‘Abang Long’ gabungan-gabungan lain. Hal yang menerbitkan pelbagai persoalan yang menghadirkan jawapan yang kabur dan penuh ketidakpastiannya. Persoalan dasar yang berlegar dalam minda penulis adalah, sudah hilangkah ‘aura’ kekuasaan sistem urus tadbir negara sehingga seakan-akan tidak berupaya untuk ‘meredakan pertikaian’ yang secara sengaja diwujudkan oleh puak-puak dan kumpulan-kumpulan berkepentingan serta kroni-kroni mereka? Lantunan getar laungan mereka menghadirkan gegaran yang mampu mengombang-ambingkan sebuah kerajaan!
Melihat secara mendalam, kepekaan tahap tinggi masyarakat tentang apa-apa yang berlaku dalam jentera kerajaan, mewujudkan suatu situasi yang diistilahkan sebagai kecenderungan untuk melakukan ‘penyelakan sisi kain’ orang lain. Maaf seandainya istilah ini agak kasar dan kurang sopan, akan tetapi, hal sedemikianlah yang berlaku. Selagi tidak ‘terdedah’ apa-apa juga keaiban atau kebejatan yang ‘tertirai’ sebalik kain orang lain, selagi itulah perbuatan sedemikian itu tidak akan ‘ditamatkan’. Pun sekiranya berakhir dengan jalan penyelesaian seperti yang dituntut, belum pasti seratus peratus akan lenyap isu berkenaan daripada diperkatakan di media-media sosial. Ibarat sebuah filem, akan dihasilkan sekuens yang dinanti-nantikan oleh para penonton (netizen) yang inginkan sesuatu yang bersifat ‘gempak’ dan menggemparkan.
Senario yang sedemikian memperlihatkan suatu trend ‘pembudayaan’ nilai yang kurang bersesuaian dengan pegangan hidup masyarakat yang tersohor dengan keramahan, kemesraan, kesantunan, di samping ketinggian nilai budi pekertinya. Sebagai contoh, amalan ‘berdemonstrasi’ yang mula membudaya dalam kehidupan masyarakat negara ini, khususnya di Tanah Besar Semenanjung. Tindakan sedemikian ditafsirkan sebagai kaedah rakyat untuk menyuarakan protes atau ketidakpuasan hati mereka secara terbuka. Ranah sedemikian berupa arena pihak-pihak tertentu untuk mengemukakan tuntutan mereka berlandaskan keyakinan dan kepercayaan bahawa apa-apa yang dilakukan itu benar, betul dan wajar, berlandaskan sistem demokrasi yang diamalkan. Benarkah sedemikian?
Andai diperluas skop penelitian, hal sedemikian berlaku semata-mata untuk memenuhi kehendak pihak-pihak berkepentingan, di samping sebagai platform untuk menampilkan diri sebagai ‘jagoan’. Tanpa sedar, individu dan kumpulan ini, sebenarnya dipergunakan dan dimanupulasikan oleh mereka yang berkeinginan untuk ‘menuai’ hasil yang menguntungkan diri mereka semata-mata. Tambahan, kegiatan sedemikian menimbulkan kekecohan, menjejaskan ketenteraman, serta mengganggu urusan insan-insan yang ingin mencari rezeki untuk memenuhi tuntutan kesinambungan hidupan. Lantas, membiaskan kanta pandang masyarakat terhadap isu yang berprofil tinggi serta berpanjangan dengan kekerapan penundaan yang bertahun-tahun lamanya. Wajarkah?
Senario sedemikian sekadar satu daripada pelbagai getaran yang dihadirkan dalam pelbagai kancah kehidupan di tanah seberang. Banyak lagi situasi-situasi yang memualkan sekiranya seseorang mempunyai masa senggang untuk melayari media sosial bagi mengetahui ‘perkembangan’ yang ‘menggegarkan’. Semoga hal yang sedemikian terbias daripada ‘menyinggahi’ nubari anak negeri bumi ini. Matangkanlah diri melihat sesuatu isu yang dibangkitkan. Nilai dan selami sedalam-dalamnya sebelum bertindak.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!