Setiap hobi yang digemari bukan semuanya mudah kerana ada diantaranya yang memerlukan ketekunan dan kesabaran dalam menunjukkan nilai yang ada dalam karya yang dihasilkan.
Berpegang teguh kepada matlamat untuk terus menggilap bakat yang ada dalam dirinya, Nelson Betie Gindie atau mulai dikenali oleh penulis menerusi akaun TikTok dengan nama @berthgrande, 20, bertekad untuk menghasilkan karya lukisan secara aktif.
“Saya pernah didatangi oleh seseorang yang menyatakan bahawa seni seperti ini tidak mampu untuk membawa seseorang perlu lebih jauh dan tidak diperlukan pada zaman moden kini dan ayat tersebut meskipun agak menyinggung perasaan, saya jadikan ia sebagai motivasi untuk terus berkarya dan menjadi pelukis yang lebih baik.
“Tidak semua orang akan suka terhadap benda yang kita lakukan namun, saya sentiasa mengingatkan diri saya untuk terus melakukan perkara yang mampu memberikan saya kegembiraan serta kejayaan yang tidak akan merosakkan diri sendiri dan orang lain,” ujarnya.
Nelson yang kini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Selangor peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Produksi Filem mengakui bahawa dirinya menjadikan Mohammad Hussein Enas dan Leonardo Da Vinci sebagai idola.
“Hussein Enas merupakan pelukis yang sangat mahir dalam melukis potret wajah manusia manakala Leonardo terkenal dengan lukisan Monalisa di mana ia juga antara lukisan kegemaran saya kerana sehingga kini ia masih menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada orang ramai.
“Saya pula lebih berminat untuk menghasilkan karya yang bertemakan sesuatu yang tradisional seperti potret manusia menggayakan pakaian tradisional kaum Iban iaitu ngepan dan sebagainya.
“Selain itu, saya turut berazam untuk berjaya dalam djunia bisnes dengan menjual lukisan tersebut dengan harga yang berpatutan dengan saiznya, ” jelasnya yang turut mengakui mempunyai impian untuk mewujudkan galeri seni miliknya.
Sementara itu, Nelson yang juga merupakan seorang bekas pelajar Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong berkata beliau turut menggunakan media sosial secara aktif untuk mempamerkan lukisan beliau kepada orang ramai.
“Saya menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikYok dan bahkan telah mula mewujudkan saluran YouTube saya sendiri bagi mempamerkan hasil karya yang telah saya siapkan.
“Setakat ini, saya telah menyiapkan 16 buah karya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun yang lalu dan saya menggunakan masa cuti dengan sebaiknya untuk memperbaiki hasil seni saya ke arah yang lebih baik,” katanya yang juga pernah mempelajari seni tersebut apabila masih menuntut di SMK Meradong.
Nelson dalam kesempatan tersebut turut menzahirkan terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikannya sokongan sama ada secara langsung atau tidak langsung di mana ia dijadikan beliau sebagai motivasi untuk terus berkarya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA