KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri ditugaskan untuk menambah baik program tindak balas pasca banjir.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, program tindak balas segera selepas banjir jabatan itu adalah satu perkara yang amat membimbangkan.
“Sarawak kini menghadapi musim tengkujuh. Akan timbul isu-isu hakisan, jambatan patah, jalan rosak dan lain-lain,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat pertamanya di pejabat Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) di sini, semalam.
Tegasnya, JKR Negeri Sarawak diminta untuk bertindak pantas terutama dalam menentukan kos pembaikan dan dimajukan kepada kerajaan untuk kelulusan.
“Ia adalah soal meletakkan mekanisme dan pembiayaan. Kita telah melihat keadaan banjir tahun lepas di Baram yang mana tidak banyak yang dilakukan.
“Jambatan merentasi Sungai Tutoh yang dihanyutkan masih belum diganti, mungkin disebabkan isu pembiayaan.
“Kita juga pernah melihat keadaan banjir baru-baru ini di beberapa negeri di Semenanjung. Tetapi, saya percaya Sarawak lebih bersedia jika dibandingkan,”ujarnya.
Tambahnya, penting bagi kerajaan untuk mempercepatkan komitmen penyampaian projeknya melalui jabatan itu.
“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, kerajaan telah melihat bagaimana rakyat telah mengundi secara besar-besaran untuk kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS)?.
“Penyampaian projek infrastruktur yang tepat pada masanya, khususnya di kawasan luar bandar, telah dipaparkan dalam manifesto pilihan raya ketika itu.
“Jadi, ia adalah harapan yang sangat besar daripada rakyat, tanggungjawab dan cabaran yang kita hadapi. Ini lebih-lebih lagi di mana bentuk muka buminya sukar dan lasak,” katanya.
Justeru, Uggah yakin mereka dapat melaksanakannya dengan sokongan, komitmen dan kerjasama semua.
“Kita mempunyai pakar dalam jabatan dan agensi berkaitannya dan penyampaian itu penting kerana kerajaan perlu menunjukkan beberapa pencapaian dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahannya,” ujarnya.
Turut hadir, Menteri Muda I, Aidel Lariwoo dan Setiausaha Tetap MIPD Datu Safri Zainudin.
Oleh JEAKQLEYN YACHO