KUCHING: Lapan agensi membabitkan 6,705 pegawai dan anggota dikerahkan bersiap-siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir susulan hujan lebat akibat Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata dari segi logistik, terdapat 286 bot, 115 lori, 247 kenderaan pacuan empat roda, tiga helikopter dan kenderaan amfibia telah disediakan bagi membantu mangsa banjir.
“Kita juga akan menyediakan 625 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan kapasiti 185,000 mangsa dan jumlah PPS ini akan ditambah jika perlu,” katanya pada sidang media, semalam.
Tambahnya, sebagai kerajaan bertanggungjawab, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Kerajaan Persekutuan pada hakikatnya telah bersiap bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana sejak November tahun lalu.
“Sekarang kita mahu mengingatkan semula semua residen dan agensi terlibat.
“Jentera bencana negeri iaitu JPBNS di peringkat negeri, bahagian serta daerah kini diaktifkan dan berdasarkan pengalaman yang luas bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya.
Jelasnya, bagi memastikan keperluan mangsa di PPS tidak terjejas, JPBN Sarawak telah mewujudkan satu depo simpanan besar di Kota Samarahan bagi menyimpan barang keperluan mangsa seperti tilam dan sebagainya.
“Kita juga telah mewujudkan tiga depo mini iaitu masing-masing satu di Kuching, Samarahan dan Miri,” katanya.
Uggah turut menasihati penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan acap kali banjir agar sentiasa berjaga-jaga sekali gus mematuhi arahan berpindah ke PPS jika diarah berbuat demikian.
“Jangan tunggu air naik sehingga ke paras bumbung, baharu nak pindah… itu sudah kritikal,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko banjir menyimpan dokumen penting dan barang berharga di tempat selamat.
“Kita dengan kerja sama Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memantau keadaan termasuk ramalan cuaca setiap hari supaya mereka yang tinggal di kawasan berisiko sentiasa berjaga-jaga.
“Hasil laporan daripada semua jabatan dan agensi terlibat juga menunjukkan mereka sudah bersedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir atau apa jua keadaan,” tambahnya.
Tambahnya, bagi kawasan atau kampung terletak agak jauh dari banjir, pasukan tindakan pantas komuniti diwujudkan yang akan memerhati serta mengawal keadaan sementara menunggu agensi atau jabatan bertanggungjawab tiba.
Oleh NUR AIN OTSMAN