KUCHING: Sebanyak 69 produk keluaran usahawan tempatan Sarawak berjaya diluluskan untuk dijual dan dipromosikan di Pasar Raya Besar Mydin di seluruh Semenanjung Malaysia.
Pengurus Besar Centexs Commercial, Mohamad Shahren Mohamad Yusri berkata, pihaknya menganggarkan lebih kurang 30,000 unit produk daripada 69 jenis produk yang telah diluluskan akan dipasarkan di semua pasar raya Mydin di seluruh Malaysia.
“Ini bermakna Mydin akan mengambil produk tersebut secara minimum iaitu sebanyak 100 unit untuk setiap produk dan kita akan menghantar produk ini setiap suku tahun atau empat kali dalam setahun ke Semenanjung Malaysia.
“Sekiranya ia mendapat permintaan yang baik dan menggalakkan, berkemungkinan ia akan melebihi 30,000 unit yang akan dihantar,” jelasnya yang turut mensasarkan jumlah usahawan tempatan mencecah 1,000 orang bagi mengambil langkah berkolaborasi dengan Centexs Commercial pada tahun ini.
Mengulas lanjut, Shahren mendedahkan kesemua produk tersebut adalah berbentuk sos, sambal dengan pelbagai jenis dan kategori, keropok, kerepek serta produk berbentuk minuman yang dibuat oleh usahawan tempatan di Sarawak.
“Pemasaran produk-produk ini ke Semenanjung Malaysia adalah berperingkat dan kita akan memulakannya dengan Kuala Lumpur terlebih dahulu dan Mydin akan membantu dalam mempromosikan produk tersebut dengan menyediakan satu ruangan khas bagi jenama Sarawak.
“Untuk makluman, Mydin di Sarawak sudah memulakan inisiatif ini iaitu terletak di Samariang di mana kita telah memulakan inisiatif bekerjasama dengan Mydin sejak 2019 dan memulakan inisiatif untuk memasarkannya ke Semenanjung Malaysia pada tahun ini,” tambah beliau yang juga berkata ia merupakan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED).
Menjelas lanjut, Shahren berkata lima produk daripada 69 produk tersebut dianggarkan bakal menjadi produk paling laris (best seller) iaitu linut segera, sirap gula pong, snek ikan terubok, air minuman tin iaitu ‘Teh C Special’ dan tebaloi.
Oleh RYNNA SHA’ERRA