SERIAN: Struktur bangunan Masjid Darul Salihin di daerah Serian yang rosak akibat insiden kebakaran Isnin perlu dipulihkan dengan segera bagi membolehkan penduduk di Kampung Sungai Menaul menjalani ibadah.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Haji Wang berkata, Masjid tersebut dilaporkan mengalami kebakaran pada sekitar jam 3.00 pagi, 3 Januari lalu.
Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung sebelum merebak ke bahagian-bahagian lain di dalam bangunan masjid berkenaan.
“Kita menerima makluman mengenai kebakaran masjid tersebut semalam dan telah meminta agensi-agensi berkaitan, termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pejabat Agama Islam Bahagian Serian dan Jabatan Kerja Raya untuk mencari jalan penyelesaian bagi memulihkan struktur bangunan yang telah rosak akibat insiden itu.
“Pihak kita akan mengambil perhatian mengenai perkara itu dengan lebih rapat serta memastikan jalan penyelesaian untuk membaik pulih keadaan bangunan masjid berkenaan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya.
Sementara itu, Ngaliman Darsono pula menyatakan bahwa kebakaran tersebut hanya disedari apabila penduduk mendapati bahagian hadapan masjid telah pun terbakar.
“Keadaan api marak dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan oleh pihak bomba.
“Buat masa ini, penduduk di kampung ini akan melakukan ibadah di dewan berhampiran masjid tersebut sehingga bangunan masjid berkenaan berjaya dibaik pulih sepenuhnya,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO