Selepas mendapat mandat pertama dan besar dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sarawak dilihat lebih yakin untuk membentuk Kabinet idamannya. Abang Johari mencipta sejarah dalam politik Sarawak selepas Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) berjaya memenangi 76 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Kemenangan ini memberikan mandat besar selepas 4 tahun pemerintahan Abang Johari. Sebelum ini, adalah daripada mandat Pehin Sri Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung. Selepas mendapat mandat sendiri, Abang Johari berpeluang mengetuai Kabinet yang terdiri daripada 10 orang Menteri sebagaimana termaktub keperluan jumlah tersebut dalam Perlembagaan Negeri Sarawak.
Sebagai negeri yang berstatus wilayah sejak sebelum pembentukan Malaysia hingga kini, Majlis Tertinggi Sarawak dikenali sebagai Kabinet Negeri Sarawak. Wilayah dalam konteks ini bermaksud region yang merupakan salah satu komponen sebelum membentuk Malaysia. Maka, sesuai dengan konteks ini, maka, Kabinet ini dianggotai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dikenali sebagai Menteri. Menteri pula bergantung pada kekananan jawatan akan dianggota oleh seorang atau dua orang Ahli DUN yang dikenali sebagai Menteri Muda.
Sudah tentu sistem ini berbeza daripada Selangor misalnya, Kabinet yang hanya dikenali sebagai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang mempunyai ahli-ahli Majlis Eksekutif dan lebih dikenali sebagai exco.
Keunikan Kabinet Sarawak
Ternyata Kabinet Sarawak yang ada merupakan kesinambungan sejarah politik negeri Sarawak. Terdapat 3 Timbalan Ketua Menteri, iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas (PBB); Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (PBB) dan Datuk Seri Prof. Dr. Sim Kui Hian (SUPP), masing-masing dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I, II dan III. Pelantikan ini mewakili tiga etnik utama di Sarawak, iaitu etnik Melayu, Dayak dan Cina. Manakala setiap Menteri penuh dibantu oleh Menteri muda.
Terdapat 24 menteri muda yang dilantik yang terdiri daripada beberapa aspek utama. Yang pertama terdiri daripada wakil rakyat daripada zon utara, tengah dan selatan Sarawak bagi memastikan setiap wilayah kawasan diwakili dan dapat dibangunkan serta tidak ada tempat yang terpinggir daripada pembangunan. Begitu juga dari segi etnik yang memancarkan kepelbagaian etnik, termasuk orang Ulu, Melanau, Bidayuh, Iban dan Melayu. Kesemua ini memancarkan kepelbagaian etnik yang mewakili anggota Kabinet Sarawak. Hal ini menunjukkan bahawa tidak ada mana-mana satu etnik pun dapat berkuasa jika tidak dapat bekerjasama dengan etnik lain di Sarawak.
Kesemua ini membawa kepada kerjasama yang erat antara etnik di Sarawak. Tanpa perpaduan yang utuh sesama mereka, tidak akan membentuk sebuah Kabinet idaman dalam sejarah politik Sarawak. Justeru, mana-mana pihak atau parti yang bermain dengan kad perkauman akan ditolak oleh rakyat Sarawak, sebagaimana dibuktikan dalam keputusan PRN Sarawak baru-baru ini. Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengamalkan politik kanan tengah atau moderat dapat diterima majoriti besar oleh semua rakyat Sarawak.
Kabinet Masa Depan Sarawak
Kabinet pertama Abang Johari sudah pasti dihasratkan sebagai Kabinet yang lebih cekap, padu dan ampuh. Tempoh yang sedikit lama diperlukan untuk merancang, memilih dan menyaring untuk memastikan yang terbaik berada dalam Kabinet. Sudah pasti, keanggotaan Kabinet yang terdiri daripada ahli yang mempunyai kewibawaan tinggi, mempunyai merit di samping membayangkan jenis pemimpin masa depan Sarawak.
Selaku Ketua Menteri, Abang Johari menerajui tiga kementerian, iaitu Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baru; Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar; Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar. Ketiga-tiga kementerian ini ialah kunci kepada pemacuan pembangunan yang menyeluruh seperti Kementerian Kewangan yang merancang, mengawal selia dan memastikan kedudukan kewangan yang berhemah dalam konteks perbelanjaan dalam pembangunan. Aspek ekonomi baru pula merujuk kepada penumpuan kepada aspek pembuatan, perkhidmatan dan teknologi bagi menghasilkan industri yang mempunyai nilai tambah, membolehkan teknologi yang dapat disesuaikan. Di sinilah terletak visi dan misi Ketua Menteri Sarawak untuk memajukan pembangunan dan menuju ke arah negeri maju pada 2030.
Kementerian Sumber Asli misalnya, sangat penting untuk mengawal dan menguasai sumber kekayaan khazanah Sarawak, termasuk dalam sektor minyak, gas asli, arang batu, logam, batu dan pasir. Ia melibatkan sumber luas seperti tanah dan air. Dari satu segi, sesiapa sahaja memegang jawatan kementerian ini merupakan juga sebagai pemegang kunci kepada kekayaan khazanah Sarawak dan sumber sedemikian ini perlu dimanfaatkan agar pembangunan di Sarawak bersifat lestari dan memastikan aspek alam sekitar dipelihara. Sejajar dengan itu, Ketua Menteri juga menjadi Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar.
Pelantikan Menteri Kanan
Dalam politik Sarawak, kekananan Ahli Kabinet terletak pada jawatan yang dipegang. Misalnya, jawatan Timbalan Ketua Menteri ialah jawatan kanan dalam Kabinet Sarawak selepas jawatan Ketua Menteri Sarawak. Selain itu, kekananan dan kepercayaan Ketua Menteri kepada pelapis pemimpin masa depan juga dapat dilihat dari segi jawatan yang disandang. Misalnya Awang Tengah Ali Hassan, selaku Timbalan Presiden PBB, selain memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak, beliau juga menerajui kementerian yang strategik, iaitu Menteri Kedua Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar. Selain itu, turut menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan.
Douglas Uggas yang merupakan Timbalan Presiden PBB sayap Pesaka, selaku Timbalan Ketua Menteri Sarawak, turut menerajui Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, selain menjadi Menteri Kedua Kewangan dan Ekonomi Baru. Abdul Karim Rahman Hamzah pula dilantik sebagai Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan, Selain itu, dilantik menjadi Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan. Secara tidak langsung hal sedemikian ini membayangkan betapa ia merupakan merupakan jawatan Menteri Kanan. Berdasarkan kekananan jawatan Kabinet yang diberikan, jelas memancarkan kepercayaan Ketua Menteri kepada tiga pemimpin masa depan Sarawak ini.
Barisan kabinet Sarawak terdiri daripada muka baharu dan lama, terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional dan pengurusan seperti peguam, jurutera, akauntan, perubatan, sains politik, pendidikan, agama dan sebagainya. Kepelbagaian latar belakang ini menjadikan segala pengalaman dan pengetahuan yang ada nanti, dapat dimanfaatkan dengan baik dalam pentadbiran Sarawak. Menurut Abang Johari sendiri, Kabinet yang diketuainya akan membimbing dan memupuk penyertaan pemimpin muda Sarawak dalam pentadbiran serta dasar-dasar negeri.
Sarawak Maju menjelang 2030
Kabinet sebagai sebahagian daripada badan eksekutif, memainkan peranan penting dalam aspek demokrasi. Kabinet berfungsi melaksanakan empat perkara utama, iaitu menentukan arahan utama untuk dilaksanakan oleh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri, menghalusi segala dasar kepada rakyat, memastikan kecekapan pentadbiran negeri untuk memastikan Sarawak maju menjelang 2030.
Sebagai Kabinet bertanggungjawab, prinsip konsensus atas segala keputusan sangat penting bagi menunjukkan semangat berpasukan yang utuh. Perkara yang penting, suku tahun pertama, atau 100 hari pembentukan Kabinet Sarawak, suatu penilaian prestasi perlu dibuat terhadap pentadbiran Abang Johari dan Kabinet dalam konteks memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan memastikan budaya kerja cemerlang dilaksanakan.
Penilaian prestasi terhadap kementerian dan jabatan, kepemimpinan perlu dinilai dalam konteks keberhasilan inisiatif dan penilaian rakyat terhadap Ahli Kabinet, kementerian, jabatan di bawah portfolio masing-masing, manakala wakil-wakil rakyat perlu dinilai dari segi pelbagai aspek, termasuk kekerapan turun ke padang, mesra rakyat dan peka kepada masalah setempat serta membawa pembangunan setempat.
Wakil rakyat perlu memastikan peruntukan pembangunan melimpah sampai kepada penduduk akar umbi memandangkan Sarawak merupakan negeri yang terbesar menyediakan peruntukan untuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), iaitu sebanyak 7 juta setahun bagi memastikan pembangunan setempat dapat dimajukan secara lebih rancak, telus, cekap dan berintegriti. Peruntukan besar ini diperkenalkan sejak pemerintahan Adenan Satem mengambil alih sebagai Ketua Menteri Sarawak. Malah, gaji wakil rakyat dan Ahli Kabinet Sarawak tertinggi di Malaysia bagi memastikan wakil rakyat dalam keadaan selesa dan tidak terjebak dalam gejala rasuah.
Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)