RAMAI yang pastinya masih ingat keberanian Awang Mahyan Awang Mohamed terjun ke Sungai Sarawak dari Jambatan Gantung Satok, Kuching selepas pasukan bola sepak Sarawak yang popular dengan jolokan ‘Ngap Sayot’ melangkah ke suku akhir Piala Malaysia pada tahun 1989.
Selepas 33 tahun, aksi tersebut kembali semula menggegar di ruangan media sosial semalam apabila Awang Putrayusrie Awang Redzuan bertindak untuk terjun ke Tebingan Sungai Batang Lupar selepas pasukan bola sepak Sri Aman FA yang popular dengan jolokan ‘The Sleeping Croc’ itu bergelar juara Liga SSC-FAS 2021 di Bintulu, Sabtu lalu.
Tindakan Awang Putrayusrie untuk terjun ke Sungai Batang Lupar dekat Waterfront Simanggang itu adalah untuk mengotakan janji kepada pemain-pemain serta penduduk Sri Aman amnya.
Tanpa teragak-agak, beliau mengepalai beberapa pemain terjun ke sungai pada pukul 5.30 petang semalam dengan disaksikan kira-kira 1,500 penyokong sekali gus mendapat liputan meluas media di seluruh negara.
Hanya lapan bulan saja Awang Putrayusrie membimbing skuad bola sepak Sri Aman, namun dalam tempoh sesingkat itu beliau berjaya merevolusikan pasukan berkenaan dan penantian lebih 30 tahun untuk bergelar sebagai juara akhirnya tercapai.
Bukan itu sahaja kebangkitan beliau bermula sebaik sahaja menerajui pasukan berstatus kelab, Datus United yang ditubuhkan pada Disember 2020, dimana pasukan veteran mereka bergelar juara sekaligus berjaya mencuri tumpuan dikalangan peminat-pemain bola sepak tempatan sehingga melonjakkan pasukan itu antara pasukan paling menyerlah ketika ini terutamanya dalam saingan Liga Sri Aman 2021.
Dengan kejayaannya mengemudikan pasukan Datus United, Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA) telah memberi mandat kepada beliau untuk menguruskan pasukan Sri Aman FA bawah 25 tahun, dengan nekad persatuan yang dinaungi oleh Presidennya, Datuk Francis Harden Hollis mahukan kejuaraan pertama ‘singgah’ di Bumi Simanggang berjaya direalisasikan.
“Pada mulanya saya hanya suka-suka dan tiada niat sekalipun untuk terjun ke Sungai Batang Lupar, kalau kami menjuarai Liga SSC-FAS yang seperti mana sedia maklum, sudah tiga dekad (30 tahun) penantian warga Sri Aman mengidamkan kejuaraan ini.
“Sebaik sahaja muncul sebagai juara, saya terpaksa mengotakan janji kepada pemain, peminat dan penduduk Sri Aman untuk terjun ke Sungai Batang Lupar. Alhamdulillah segalanya telah dipermudahkan,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Awang Putrayusrie berkata kejayaan pertama selepas 30 tahun ini adalah cukup bermakna kerana sebelum ini pasukan Sri Aman telah menempuhi zaman yang ‘malap’ kerana menjadi pasukan sebagai pelengkap jadual.
“Dengan kejuaraan ini saya harap ia menjadi titik-tolak serta pencetus kepada revolusi landskap bola sepak Simanggang dan mampu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak di bahagian ini.
“Kemenangan ini adalah untuk semua warga penduduk Sri Aman, pengurusan dan pemain yang tidak henti-henti menyokong serta memberi sumbangan untuk melihat pasukan ini mencapai kejayaan yang ditunggu-tunggu setelah sekian lama,” ujarnya.
Oleh ADI SAFARMAN