SALAH satu jawatan penting selepas jawatan Ketua Menteri Sarawak ialah jawatan Timbalan Ketua Menteri (TKM). Jawatan kedua penting dalam Kabinet Sarawak ini mempunyai susunan sejarah tersendiri.
Sebelum pengumuman kabinet baharu Sarawak yang dimenangi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya baru-baru ini, telah ada suara-suara menyatakan adakah kemungkinan wujud empat jawatan TKM Sarawak? Suara-suara seumpama ini menunjukkan bahawa jawatan itu mempunyai pemberat yang besar dalam politik Sarawak.
Sepanjang sejarah politik Sarawak sejak merdeka, jawatan TKM tidak pernah dibekukan dan tetap diwujudkan. Kewujudan jawatan ini merupakan satu toleransi antara parti kompenan dalam Kerajaan Sarawak.
Kabinet Pertama
Jawatan ini mula muncul apabila Kerajaan Negeri pertama dibentuk pada tahun 1963. Jawatan ini pertama kali disandang oleh James Wong. Ketika itu James Wong Kim Min merupakan calon bebas yang menang di Limbang.
Kemudiannya beliau menyertai Sarawak National Party (SNAP). Ketika itu hanya satu sahaja jawatan TKM diwujudkan.
Beliau memegang jawatan ini sehingga berlaku krisis dalam Kerajaan Sarawak pada tahun 1966. Apabila SNAP keluar daripada Perikatan Sarawak dan Tawi Sli menjadi Ketua Menteri, jawatan TKM tetap diwujudkan.
Jawatan ini disandang oleh Abang Abdul Rahim Abang Moasili. Beliau memegang jawatan ini sehingga tahun 1970. Pada tahun itu, situasi politik berubah dan berlaku tawar-menawar antara parti politik untuk berkuasa.
Dua Jawatan TKM
Keputusan pilihan raya 1970 membuka satu perubahan dalam penyatuan pelbagai kaum di Sarawak. Ketua Menteri ketika itu, iaitu Abdul Rahman Ya’akub, mewujudkan dua jawatan TKM.
Satu jawatan diberikan kepada Stephen Yong, iaitu pemimpin Sarawak United People’s Party (SUPP) dan yang kedua pula diberikan kepada Simon Dembab Maja sebagai TKM kedua. Simon adalah dari PESAKA.
Kewujudan dua jawatan TKM Sarawak ini membawa kepada perkongsian kuasa jelas antara semua kaum di Sarawak. Hal ini membawa kepada kestabilan politik Sarawak ketika itu.
Pengukuhan Kerajaan
Keputusan pilihan raya 1974 menyaksikan perubahan kepada pemegang jawatan TKM dan bilangan jawatan tersebut. Kekalahan Stephen Yong dalam pilihan raya tersebut menyebabkan beliau tidak dapat dikekalkan sebagai TKM Sarawak. Simon juga kalah dalam pilihan raya tersebut dan situasi ini membawa kepada kekosongan bagi jawatan tersebut.
Abdul Rahman Ya’akub mengambil keputusan untuk menamakan muka baharu untuk menjawat kedua-dua jawatan tersebut. Kuota SUPP telah diberikan kepada Sim Kheng Hong. Manakala PESAKA yang telah bergabung dengan Bumiputera, membentuk Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dan telah menamakan Alfred Jabu Anak Numpang.
Sementara itu penyertaan semula SNAP dalam kerajaan membawa kepada penambahan jawatan TKM. Dunstan Endawi anak Enchana dilantik sebagai wakil SNAP untuk menjawat jawatan TKM. Pertambahan ini membawa kepada penambahan bilangan jawatan tersebut kepada tiga.
Apabila Dunstan Endawi meletak jawatan sebagai TKM kerana dilantik sebagai Persuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, maka berlaku kekosongan bagi jawatan tersebut. Akhirnya jawatan tersebut diberi kepada Daniel Tajem untuk memenuhi kuota SNAP.
Daniel Tajem mengharungi cabaran besar sebagai TKM apabila berlaku krisis dalaman SNAP. Beliau yang tidak sehaluan dengan James Wong, iaitu Presiden SNAP ketika itu, menubuhkan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).
Ketua Menteri Sarawak ketika, itu iaitu Abdul Taib Mahmud, mengambil jalan tidak menyebelahi mana-mana pihak bagi mengendurkan krisis dalaman SNAP ini. Beliau mengekalkan Daniel Tajem sebagai timbalan beliau.
Kembali Kepada Dua
Apabila tercetusnya krisis Ming Courts yang membawa kepada pilihan raya 1987, kejayaan Abdul Taib Mahmud mendapat mandat baharu dalam pilihan raya itu membolehkan beliau mencorakkan semula susunan kepimpinan negeri.
Jawatan TKM dikurangkan kepada dua semula. Sim Kheng Hong dan Alfred Jabu kekal memegang jawatan tersebut. Pada tahun-tahun 1990-an, walaupun zaman tenang bagi Kerajaan Sarawak, namun ia merupakan era mencabar bagi SUPP.
Sim Kheng Hong mengambil keputusan untuk berundur daripada politik. Secara tidak langsung keputusan ini membawa kepada kekosongan jawatan TKM dari SUPP. Jawatan ini kemudiannya diisi oleh Wong Soon Kai.
SUPP dikejutkan dengan kekalahan Wong Soon Kai dalam pilihan raya 1996. Kekalahan Wong Soon Kai membawa kekosongan semula jawatan TKM dari SUPP. Tempat beliau kemudiannya diambil alih oleh George Chan.
Dua kepada Satu
Situasi ini kekal sehingga tahun 2010. Tahun itu menyaksikan George Chan kalah dalam pilihan raya. Kekalahan beliau ini membawa kepada kekosongan jawatan TKM daripada SUPP.
Kekalahan George Chan memberi kesan kepada kuota SUPP ini. Abdul Taib Mahmud mengambil keputusan untuk hanya menamakan Alfred Jabu sebagai TKM. Dengan itu jawatan TKM kembali kepada satu seperti yang berlaku pada tahun 1963.
Hal ini menunjukkan bahawa kekuatan sesebuah parti itu menjadi perkiraan untuk melantik seorang TKM. Kemenangan sedikit kerusi SUPP ketika itu menyebabkan peluang mereka mengekalkan jawatan TKM tipis.
Bertambah Tiga
Apabila Adenan Satem menjawat jawatan Ketua Menteri, jawatan TKM masih kekal satu. Hanya selepas pilihan raya 2016, apabila Barisan Nasional menang besar, membawa kepada pertambahan jawatan TKM.
Alfred Jabu pula mengambil keputusan untuk bersara daripada politik yang membawa kepada kekosongan jawatan tersebut. Alfred Jabu juga merupakan TKM yang paling lama dalam sejarah Sarawak. Berkhidmat sejak tahun 1974 hingga 2016, Alfred Jabu berjaya mengharungi cabaran politik dalam tempoh tersebut.
Dalam hal ini, Adenan Satem menamakan tiga muka baharu sebagai TKM Sarawak. Mereka ialah Douglas Uggah Embas, James Masing dan Abang Johari. Douglas Uggah Embas dan Abang Johari dari PBB, manakala James Masing pula dari Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Sementara itu, SUPP yang mampu membaiki kedudukannya dalam pilihan raya itu tidak diberi jawatan TKM. Presidennya, Sim Kui Hian hanya dilantik sebagai menteri dalam kabinet Adenan Satem.
Apabila Abang Johari dilantik sebagai Ketua Menteri selepas pemergian Adenan Satem yang meninggal dunia, jumlah TKM dikekalkan. Abang Johari telah melantik muka baharu sebagai timbalan beliau, iaitu Awang Tengah Ali Hasan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh beliau apabila dilantik sebagai Ketua Menteri.
Pada Oktober 2021, berlaku berita sedih apabila James Masing meninggal dunia. Pemergian beliau menjadi kehilangan besar kepada Kerajaan Sarawak. Namun demikian, jawatan beliau tidak diisi dan jawatan TKM kekal dua.
SUPP Bangkit
Pilihan raya 2021 merupakan satu pilihan raya paling manis bagi kerajaan pimpinan Abang Johari. Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin oleh beliau berjaya memenangi pilihan raya tersebut dengan kemenangan besar.
Kejayaan ini dikongsi sama dengan SUPP. SUPP bangkit semula sebagai parti kedua terbesar dalam gabungan tersebut. Kejayaan ini membawa kepada pelantikan Sim Kui Hian sebagai TKM bersama-sama dengan Douglas Uggah Embas dan Awang Tengah.
Pelantikan Sim Kui Hian ini membawa dua makna penting. Pertama, SUPP kembali menyerlah dan membolehkan mereka mengisi semula jawatan TKM. Kedua pula, Sim Kui Hian mengembalikan tugas yang pernah digalas oleh ayahnya, iaitu Sim Kheng Hong.
Secara keseluruhannya jawatan TKM mempunyai kisah tersendiri. Ada sebab dan kehendak kenapa jawatan ini masih relevan di Sarawak. Bilangannya pula tidak pernah melebihi daripada tiga.
- Dr Suffian Mansor, Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.