Pilihan raya ke-12 (PRN-12) telah selesai dijalankan dan keputusan siapa yang menang juga telah diumumkan. Syabas diucapkan kepada calon-calon yang terpilih dalam pilihan raya ini.
Dari segi sejarahnya parti yang berjaya menguasai kerajaan Sarawak tidak berubah. Dengan kata lain, politik Sarawak berada pada status quo. Apa yang berubah hanyalah penjemaan parti yang memenangi pilihan raya ini.
Kerajaan Pertama
Pada peringkat awal kerajaan yang pertama yang dibentuk di Sarawak ialah satu parti gabungan antara Pesaka Anak Sarawak (PESAKA), Sarawak National Party (SNAP), Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) dan Sarawak Chinese Association (SCA). Kelima-lima parti ini membentuk satu Pakatan yang dikenali sebagai Perikatan Sarawak (PS).
Dalam pilihan raya 1963, saingan PS pula ialah dari Parti Negara Sarawak (PANAS) dan Sarawak United People’s Party (SUPP). Beberapa calon bebas juga beradu mencari peluang melawan PS dalam pilihan raya tersebut.
Jenama PS ini diteruskan lagi pada pilihan raya negeri langsung yang pertama pada tahun 1969/1970. Namun demikian, PS ketika itu berpecah dua apabila PESAKA yang menyaingi PS dalam pilihan raya tersebut.
Pilihan raya tersebut menyaksikan kerajaan Sarawak pimpinan PS masih kekal dengan menerima SUPP sebagai ahli baharu dalam kerajaan. Pada tahun 1970-an ini juga berlakunya penjenamaan politik baharu peringkat nasional apabila Barisan Nasional (BN) diwujudkan.
Di Sarawak pula berlaku satu kerjasama baharu antara Parti Bumiputera dan Pesaka yang membentuk sebuah parti gabungan baharu yang dikenali sebagai Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). PBB dan SUPP kemudiannya menyertai BN dan menggunakan lambang baharu, iaitu dacing dalam pilihan raya negeri dan parlimen.
Kesinambungan Politik
BN Sarawak pimpinan Abdul Rahman Yaakub berjaya mengharungi cabaran besar pada tahun-tahun 1970-an. Saingan daripada SNAP pada tahun 1974 berjaya diatasi dengan jayanya, walaupun ada sedikit perpecahan dalam PBB dengan kemunculan BISAMAH.
SNAP kemudiannya menyertai kerajaan negeri dan BN. Penyertaan SNAP memperkukuhkan BN. Namun, cabaran kepada BN masih ada. Pertama muncul kumpulan serpihan daripada PBB membentuk Parti Anak Jati Sarawak (PAJAR). Parti pimpinan bekas anggota polis, iaitu Alli Kawi ini cuba menarik sokongan orang Melayu daripada PBB.
PAJAR gagal mengatasi PBB pada dua pilihan raya, iaitu pada tahun 1978 dan 1979. Kegagalan PAJAR ini tidak mematikan usaha mencabar BN dalam pilihan raya. Lewat tahun 1970-an, muncul cawangan Democratic Action Party (DAP) di Sarawak, dan pendaftaran parti baharu, iaitu Sarawak People’s Party (SAPO).
DAP muncul kerana berlakunya pepecahan dalam SUPP. DAP cuba menyaingi SUPP pada Pilihan Raya Parlimen 1979, tetapi gagal. Manakala saingan daripada SAPO pada tahun 1978 berjaya memenangi satu kerusi sahaja. Cabaran SAPO pada BN tidak kekal lama kerana parti tersebut gagal mendapat sokongan padu rakyat Sarawak.
Hanya DAP sahaja bertahan menjadi pencabar kepada BN selepas itu, tetapi hanya memenangi beberapa kerusi dalam tahun 1980-an hingga 2000. BN kekita itu tiada tandingan dengan mana-mana parti pembangkang. Mereka dengan mudah memenangi 2/3 kerusi DUN dan Parlimen.
Ribut Dalam Cawan
BN tidak mempunyai banyak masalah untuk mengekalkan kedudukannya walaupun berlaku krisis kepimpinan dalam SNAP. Krisis ini membawa kepada kemunculan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).
Pada pilihan raya tahun 1983, SNAP dan PBDS bertanding sesama sendiri. Hal ini tidak menjejaskan prestasi BN di bawah kepimpinan Abdul Taib Mahmud apabila masih berjaya mengekalkan 2/3 kerusi.
Abdul Taib juga telah melakukan satu inovasi baharu dalam BN Sarawak apabila mewujudkan BN Plus. BN Plus diwujudkan untuk membawa PBDS sebagai komponen baharu dalam BN.
Ming Court
Pilihan raya negeri yang paling mencabar bagi BN apabila berlaku krisis politik di Sarawak pada pertengahan tahun 1980-an. Ketika itu beberapa orang pemimpin utama PBB telah keluar parti dan membentuk parti baharu iaitu Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS).PERMAS diketuai oleh bekas Ketua Menteri Sarawak, iaitu Abdul Rahman Yaákub.
BN juga dikejutkan dengan pendirian PBDS untuk bersama-sama dengan PERMAS melawan BN. Buat kali pertamanya adanya gabungan parti pembangkang melawan BN. Mereka menggelarkan gabungan ini sebagai Kumpulan Maju.
Keputusan pilihan raya itu menyaksikan BN memenangi pilihan raya tersebut tetapi tidak dapat mempertahankan 2/3 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN). Kumpulan Maju mendapat 20 kerusi dan gagal mengalahkan BN.
Zaman Tenang
Selepas pilihan raya 1987 ini, BN kembali mengungguli kemenangan dalam setiap pilihan raya Sarawak. PBDS yang cuba melawan BN pada tahun 1991 pula masih gagal mengalahkan BN. PERMAS gagal memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya 1991.
PBDS kemudiannya menyertai BN semula dan ini memberi kekuatan semula kepada BN untuk menerajui Sarawak. Hal ini boleh dilihat dalam pilihan raya negeri 1996 apabila BN mempertahankan 2/3 kerusi dimenanginya.
Faktor yang menarik dalam pilihan raya negeri 1996 ini adalah kekalahan presiden SUPP kepada calon DAP. Hal ini merupakan satu keputusan yang mengejutkan dalam sejarah BN dalam pilihan raya Sarawak. DAP mampu memenangi tiga kerusi DUN pada pilihan raya tersebut.
Agenda Nasional
Krisis kerajaan pusat pada hujung tahun 1990-an telah merebak ke Sarawak apabila Anwar Ibrahim telah menubuh Parti Keadilan Nasional atau Keadilan. Keadilan telah berpakat dengan DAP dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk melawan BN di seluruh negara.
Ketiga-tiga parti peringkat nasional ini telah membentuk satu gabungan dan melawan BN Sarawak pada Pilihan Raya Parlimen 1999 dan Negeri pada tahun 2001. Namun demikian, mereka gagal untuk mengalahkan BN.
Walaupun pakatan antara pembangkang nasional ini gagal, tetapi keberadaan mereka kekal dalam setiap Pilihan Raya Negeri. Setiap Pilihan Raya Negeri, mereka gagal menjadi pencabar yang besar kepada BN sehinggalah mereka memberi cabaran sengit pada pilihan raya 2011.
Dalam pilihan raya tersebut, barisan pembangkang ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR). Keputusan pilihan raya ini masih memberi kemenangan besar kepada BN dan mengekalkan 2/3 kerusi. Manakala DAP berjaya mendapat 12 kerusi. Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula memenangi tiga kerusi. Keputusan ini merupakan pencapaian terbaik bagi pakatan parti nasional ini.
Etnonasionalisme
Prestasi gabungan pembangkang ini terganggu apabila BN Sarawak diketuai oleh Adenan Satem. Beliau merupakan seorang pemimpin yang popular dalam kalangan rakyat Sarawak. Perancangan pembangunan beliau yang menyantuni rakyat Sarawak jelas memberi kesan besar kepada kesinambungan BN untuk memerintah Sarawak.
Manakala gabungan parti pembangkang nasional berpecah apabila PAS tidak menyertai gabungan tersebut dan bertanding secara solo. Keputusan pilihan raya ini menyaksikan DAP hanya memenangi tujuh kerusi dan PKR mengekalkan tiga kerusi. Manakala BN pula mengekalkan kejayaannya dengan memenangi lebih daripada 2/3 kerusi.
Sejarah Pilihan Raya Negeri Sarawak sejak 1963 sehingga 2016 memperlihatkan satu kesinambungan pemerintahan Sarawak. Malahan, keputusan Pilihan Raya Negeri ke-12 ini juga memperlihatkan pengundi Sarawak daripada dahulu hingga ke hari ini memberi kepercayaan kepada kesinambungan ini untuk kestabilan dan pembangunan Sarawak.
* Dr. Suffian Mansor ialah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.